Ustazah Hayati: Dalam Sirah Terkandung Hukum Syarak
Oleh: Rahmah
Aktivis Dakwah Muslimah, Ustazah Hayati menyatakan bahawa dalam sirah Rasulullah SAW terkandung hukum syarak.
“Sirah adalah perjalanan hidup Rasulullah. Maknanya bila kita sebut sirah itu dia akan membahas tentang riwayat hidup Nabi Muhammad SAW. Tapi sebenarnya di dalam sirah itu terkandung hukum syarak,” ujarnya dalam program Ukhuwwah Mahabbah Fillah, Isnin (10/11/25).
Beliau menjelaskan bahawa sirah Rasulullah SAW sukar dipalsukan kerana ia diriwayatkan melalui sanad iaitu rantaian perawi yang terpercaya dan bersambung.
“Sirah, ia sukar untuk dipalsukan kerana sirah akan diambil melalui sanad-sanad yang tertentu dan dalam sirah sebenarnya akan terbit hukum syarak,” katanya.
Menurutnya lagi, dalam sirah Rasulullah SAW terdapat banyak peristiwa yang menjadi asas kepada hukum syarak dan bagaimana Rasulullah SAW melaksanakannya seperti perintah untuk mengerjakan solat, jihad dan sebagainya.
“Di dalam peristiwa Israk Mikraj itu, apa hukum syaraknya? Solat. Bila Nabi pergi berperang, apa hukum syaraknya yang ada di situ? Jihad. Itu sebabnya sirah Rasulullah SAW sepatutnya kita tahu. Sebabnya dari situlah kita tahu dari mana datangnya hukum syarak,” ungkapnya.
Sebagai perbandingan, beliau menjelaskan bahawa sirah tidak sama seperti sejarah malah sirah lebih penting kerana ia bukan sekadar peristiwa yang berlaku tetapi mengandungi pengajaran dan hukum syarak.
Tambahnya lagi, sejarah mudah dimanipulasi bergantung kepada siapa yang menyampaikannya di mana faktanya boleh diubah mengikut pandangan, kepentingan politik atau berpihak kepada golongan tertentu.
“Jadi sebenarnya sirah itu penting untuk umat Islam, berbanding dengan sejarah. Contohnya sejarah Negeri Perak, Pasir Salak, JWW Birch, Maharajalela dan sebagainya. Sebenarnya fakta sejarah itu ada yang betul ada yang tidak. Terpulang kepada siapa yang bercerita,” ungkapnya.
Lanjutnya lagi, “Sejarah negara kita ada dalam perpustakaan di London. Bayangkan sejarah kita orang putih yang ceritakan. Agak-agak apa yang mereka sampaikan? Mestilah disampaikan mereka yang betul, kita inilah yang salah. Kalau dari kita pula mesti kita nak kita yang betul. Kita mesti kata orang putih tu penjajah, betul tak? Jadi, sejarah itu benda yang boleh dimanipulasi ikut siapa yang sembang,” jelasnya.
Beliau melanjutkan dengan menerangkan pentingnya sirah dan pengajaran yang dapat diambil daripada kisah perang Mu’tah yang menjadi jalan pembuka kepada tersebarnya dakwah Islam ke luar jazirah Arab. Peristiwa ini juga telah membuktikan kehebatan iman, keberanian dan ketaatan para sahabat kepada Allah SWT dan RasulNya.
“Perang Mu’tah berlaku pada 8 hijrah. Perang inilah pembuka kepada wilayah Islam nak disebar keluar dari jazirah Arab. Apakah peristiwa yang berlaku hanya untuk diketahui sahaja? Jawapannya ialah tidak. Jadi, kenapa tiga orang sahabat yang dia tahu dia akan mati tetapi tetap pergi berperang? Sebab nak pertahankan Islam, nak berjihad. Itu semua hukum syarak,” katanya.
Sebagai kesimpulan, beliau menyeru hadirin untuk mencontohi keimanan para sahabat.
“Contohilah para sahabat dahulu kerana dengan keimanan mereka itu Islam datang kepada kita. Untungnya umat Nabi Muhammad yang barang siapa menyebut Laa ilaha ilallah Muhammadur Rasulullah, dia akan masuk syurga,” akhirinya.