Perang Saudara di Sudan Merupakan Isu Syurga dan Neraka.
Oleh: Syamsiyah Jamil
Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman menegaskan bahawa isu perang saudara dalam kalangan umat Islam merupakan isu syurga dan neraka.
“Umat Islam itu memang betul-betul dilarang oleh Rasulullah supaya jangan berpecah, apatah lagi berperang. Ini merupakan isu hidup dan mati, ini merupakan isu syurga dan neraka,” katanya dalam program Kupas Tuntas bertajuk Memahami Konflik Sudan dan Solusinya di Facebook Jurucakap HTM, Jumaat (7/11/2025).
Beliau mengatakan demikian ketika membincangkan solusi sebenar terkait perang saudara yang berlaku di Sudan.
“Kita sifatkan ini sebagai perang saudara. Jadi kalau perang saudara ini sebenarnya, secara umumnya kita semua fahamlah, itu memang haram. Jadi kita haram untuk berperang sama sendiri,” jelasnya.
Lanjutnya, haram bagi umat Islam menyakiti saudaranya apatah lagi berperang.
“Nak sakiti hati saudara kita pun dah haram, nak pukul dia haram, nak ambil harta dia haram, nak melakukan sesuatu secara fizikal pada dia pun haram, apatah lagi kita nak membunuh saudara kita. Itu haram,” tegasnya.
Beliau menyifatkan perang saudara yang berlaku di Sudan sebagai sesuatu yang dahsyat dan tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.
“Apa yang berlaku di Sudan itu dah di luar daripada batas kemanusiaan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa pembunuhan yang berlaku di Sudan sebenarnya mengundang seksaan yang dahsyat kepada pembunuh. Beliau membacakan ayat 93 daripada surah an-Nisaa.
“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasan ialah jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya,” ucapnya.
Beliau menunjukkan betapa besarnya dosa pembunuhan ke atas orang Muslim dan dahsyatnya balasan kepada pembunuh walaupun pembunuh itu adalah Muslim tetapi dia membunuh dengan sengaja.
“Allah tambah lagi, Allah kata Allah murka lagi kepada dia, Allah laknat dia lagi, Allah menyediakan azab yang begitu besar. Dah lah masuk neraka kekal, Allah laknat lagi, Allah sediakan lagi azab yang begitu besar bagi dia,” jelasnya.
Beliau mengungkapkan, Rasulullah SAW juga melarang perang saudara dan baginda mengkhabarkan bahawa di akhir zaman nanti akan berlaku fitnah di mana kaum Muslimin berperang sesama sendiri.
“Rasulullah melarang kita daripada terlibat dalam peperangan baik itu dari sudut kita sebagai individu, jangan terlibat. Kalau kita dibunuh semasa perang saudara, itu lebih baik bagi kita sebab yang membunuh tu akan pasti masuk neraka,” ujarnya.
Beliau menyimpulkan, isu Sudan adalah isu penting bagi umat Islam kerana ada keharaman bagi umat Islam berpecah-belah.
“Jadi sebab itu kita kata isu perpecahan umat Islam, peperangan sesama umat Islam ini merupakan isu besar, isu penting, isu serius, isu hidup dan matinya umat Islam, isu syurga dan neraka,” tegasnya.
Sumber: https://www.facebook.com/share/v/15vM4r99aT/