Jurucakap HTM Seru Perdamaian Antara Kelompok di Sudan
Oleh: Syamsiyah Jamil
Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman menyeru kepada kelompok-kelompok umat Islam yang sedang berperang di Sudan supaya berdamai.
“Seruan kita kepada apa yang berlaku di Sudan itu adalah supaya mereka ini berdamai. Ini apa yang kita mampu lakukanlah,” katanya dalam program Kupas Tuntas bertajuk Memahami Konflik Sudan dan Solusinya di Facebook Jurucakap HTM, Jumaat (7/11/2025).
Beliau mengatakan demikian kerana ia adalah perintah Allah SWT yang jelas dalam al-Quran. Beliau membacakan ayat 9 surah al-Hujurat.
“Dan jika dua golongan dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai ia kembali kepada perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil, serta berlaku adillah kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”.
Lanjutnya, “Dengan kata lain, kalau dua-dua kelompok umat Islam berperang, tugas kita adalah untuk mendamaikan keduanya. Dan kalau dah dia orang dah setuju, dah sepakat dah nak berdamai, tiba-tiba langgar pula, maka perintah daripada Allah adalah perangi orang itu, perangi yang langgar persetujuan tu supaya dia kembali kepada perintah Allah. Dan kalau dia dah kembali, maka stop. Kita damaikan balik keduanya dengan adil,” jelasnya.
Beliau menerangkan bahawa pemimpin umat Islamlah yang sebenarnya mempunyai kemampuan untuk mendamaikan kelompok yang berperang.
“Pemerintah umat Islam lebih lagi, kemampuan dia sebenarnya untuk dia mendamaikan kedua-dua belah pihak,mana-mana pemerintah umat Islamlah. Tapi sekarang ini, tidak ada satu pemerintah pun yang peduli dengan apa yang berlaku di Sudan,” ujarnya.
Beliau mengatakan bahawa haram bagi umat Islam melakukan pemecahan atau pun pemisahan wilayah umat Islam walaupun tidak ada Khilafah.
“Kita dilarang untuk berperang dilarang untuk memecahkan wilayah kita, dilarang untuk membunuh satu sama lain walaupun tidak ada Khilafah,” tuturnya.
Dalam keadaan umat Islam bersedih dengan apa yang berlaku di Sudan, beliau mengatakan umat Islam boleh memuhasabah penguasa.
“Sebagai seorang Muslim, kita tidak ada kuasa untuk nak menghentikan perang ini tapi kita boleh melakukan muhasabah. Kuasa itu ada pada pemerintah,” ujarnya.
Namun, beliau menunjukkan pemerintah mengambil sikap tidak peduli.
“Malangnya pemerintah ini merupakan pemerintah yang tunduk kepada Amerika dan pemerintah yang menjaga nasionalisme masing-masing dan tidak mempedulikan apa yang berlaku di Sudan,” tuturnya.
Oleh kerana itu, beliau menyatakan bahawa umat Islam memerlukan Khilafah sebagai solusi kepada isu Sudan.
“Umat Islam wajib berusaha untuk menegakkan Khilafah kerana dengan adanya Khilafah ini lah, umat Islam akan mempunyai kekuatan, umat Islam tidak akan lagi berpecah-belah,” tegasnya.
Beliau memperlihatkan bahawa rakyat Sudan akan terus hidup dalam penindasan selagi Khilafah tidak ditegakkan.
“Tengok pada rakyat Sudan. Siapa pun yang tidak berusaha untuk menegakkan Khilafah, apatah lagi mereka yang berada dalam keadaan yang begitu tertindas, jadi mereka akan dibunuh dengan begitu sahaja, mereka akan dizalimi dengan begitu sahaja,” ujarnya.
Akhirnya, beliau mengatakan siapa pun yang berusaha untuk menegakkan Khilafah pasti mempunyai mafhum (kefahaman) mengenai penyatuan umat Islam.
“Maka tak mungkin untuk dia ni akan bergaduh, apatah lagi nak berperang satu sama lain. Sebab kita dah ada dah perjuangan untuk mempersatukan umat Islam. Kenapa pula kita nak bergaduh? kenapa pula kita nak berpecah kan?,” tegasnya.
Sumber: https://www.facebook.com/share/v/1AaLE7MgoF/