Perubahan Masyarakat Bukan Hanya Soal Individu Semata
Menanggapi pendapat popular yang menyatakan bahawa ‘perubahan masyarakat perlu dimulai dengan memperbaiki diri sendiri terlebih dahulu’, Aktivis Muslimah, Ustazah Iffah Ainur Rochmah, berpendapat bahawa hal tersebut tidak memadai untuk menyelesaikan masalah-masalah masyarakat secara menyeluruh.
“Pandangan bahawa perbaikan perlu dimulai dari diri kita sendiri ini adalah pandangan yang jamak, yang umum difahami, tapi kalau kita bercakap tentang soal kemiskinan, soal tidak terpenuhinya keperluan-keperluan asas, tentu ini bukan hanya soal individu,” jawabnya dalam segmen soal jawab Muslimah Tea Break bertajuk Masyarakat Muslim Ideal : Sudah Idealkah Kehidupan Umat Hari Ini? di laman Facebook Muslimah HTM, pada Sabtu (6/6/2026).
Menurutnya, banyak individu pada hari ini sebenarnya memiliki kemahuan untuk belajar dan kesungguhan untuk bekerja, namun menghadapi halangan lainnya.
“Banyak orang yang rajin belajar, dia teringin mendapatkan pendidikan yang lebih baik, dia juga sangat menginginkan pendidikan tinggi, tapi dia tak ada akses untuk mendapatkan pendidikan tinggi itu disebabkan oleh keterbatasan fasiliti,” katanya.
Demikian juga dalam membahas ketidakmampuan untuk memenuhi keperluan asas, seperti tempat tinggal dan makanan yang layak, beliau berpendapat bahawa kegagalan memenuhi keperluan asas tersebut tidak selalu disebabkan oleh sikap malas atau kurangnya kemahiran.
“Ini bukan kerana malas, bukan kerana dia tidak ada skill. Dia ada skill, dia ingin mempunyai pekerjaan, dia juga mahu bekerja apa saja. Tapi lapangan kerja tidak ada. Opportunity tidak ada. Maksudnya peluang untuk mendapatkan pekerjaan itu ternyata sangat sedikit,” ujarnya.
Oleh itu, menurutnya tidak ada perbaikan individu yang boleh berlaku sekalipun diperbaiki kerana masalahnya bukan sekadar permasalahan individu.
“Apatah lagi jumlah penduduk Indonesia yang jauh lebih besar, maka kita menyaksikan sepatutnya peluang untuk bekerja itu boleh lebih banyak kerana ada banyak sumber daya ya, ada natural resources, sama ada itu mining, perlombongan, pertanian, dan lain lain, yang semestinya ini dapat menyejahterakan. Dapat memberikan banyak pekerjaan. Tapi hari ini tidak betul! Nah, ini bererti masalahnya bukan hanya problem individu. Bukan yang kemudian kita boleh perbaiki dengan perbaikan individu,” tegasnya.
Beliau turut mencontohkan, “Dan mungkin kalau di Indonesia, kita menyaksikan sudah ada banyak sekali perubahan undang-undang, regulasi, sudah bersilih-ganti juga ketua pemerintahannya. Tetapi tidak kunjung ada perubahan yang signifikan pada keadaan masyarakat.”
Sehubungan dengan itu, beliau berpendapat bahawa masalah-masalah masyarakat memerlukan perubahan di peringkat yang lebih tinggi, khususnya yang berkaitan dengan dasar yang ditetapkan oleh pemerintah.
“Yang hari ini justeru kita perlukan itu adalah soal dasar kebijakan, soal policy making, yang dibuat oleh pemerintah yang dapat memberikan pemenuhan (terhadap) keperluan-keperluan,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya kesedaran masyarakat terhadap sistem yang diamalkan pada hari ini.
“Maka hari ini seharusnya ada sebuah kesedaran, (bahawa) sistem yang ada, regulasi yang ada, model pemerintahan yang ada, tak cukup mampu untuk menyejahterakan,” katanya.
Disamping itu, Iffah turut menilai kesejahteraan bukan hanya terletak pada aspek kebajikan material semata-mata.
Katanya, “Kalau ideal bagi umat Islam kan bukan hanya sejahtera, bukan hanya mampu memenuhi keperluan, tapi mendapatkan redha Allah, mewujudkan Khairu Ummah,” ujarnya.
Pada masa yang sama, dalam membicarakan konsep ideal society, Iffah mengajak umat untuk memperhatikan apakah sistem Islam, hukum-hukum syariat, dan Islam telah diterapkan atau belum.
“Kerana kalau tidak demikian, mungkin kita akan mencuba untuk melakukan perubahan, tapi perubahan kita hanya mengejar fatamorgana, hanya mengejar sesuatu yang tidak pernah bisa kita dapatkan,” simpulnya memperingatkan.
[] Aliya Ab Aziz
#MasyarakatMuslimIdeal #PerubahanMasyarakat