[Soal Jawab] Islam Menutupi Apa yang Sebelumnya
Soalan:
Dinyatakan dalam Kitab Muqaddimah ad-Dustûr Jilid I Fasal 95 sebagai berikut:
Adapun proses terhadap kes-kes yang berkaitan dengan orang yang menyerang Islam dan kaum Muslim, hal itu kerana ketika Fathu Makkah, Rasul SAW menumpahkan darah beberapa orang yang dahulunya menyerang Islam dan kaum Muslim pada masa jahiliah. Baginda menumpahkan darah mereka meskipun mereka bergantung pada penutup Kaabah. Perlu dicatat bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اْلإِسْلَامَ يَجُبُّ مَا قَبْلَهُ
“Sungguh Islam menutupi apa yang sebelumnya.” (HR Ahmad dan ath-Thabarani dari Amru bin al-‘Ash).
Maksudnya, orang yang menyerang Islam dan kaum Muslim dikecualikan dari hadis ini.
Saya menelusuri realiti kelompok orang tersebut. Saya mendapati bahawa sebahagian daripada mereka dahulunya seorang Muslim lalu murtad daripada Islam. Sebahagian lagi belum masuk Islam dan dibunuh. Siapa yang dahulunya Muslim lalu murtad, maka hukum asalnya adalah dikenakan hukuman atas kemurtadannya. Adapun orang yang tetap dalam kemusyrikan, dan dia termasuk orang yang dahulu menyerang Islam dan kaum Muslim, maka dijatuhkan hukuman mati atau diampunkan menurut pandangan Imam (Khalifah) kaum Muslim sebagaimana dinyatakan dalam pasal tersebut. Namun dalam kedua keadaan tersebut, tidak berlaku ke atas mereka prinsip bahawa “Islam menutupi apa yang sebelumnya”. Hal ini kerana kita mengetahui bahawa “Islam menutupi apa yang sebelumnya” berlaku bagi orang yang baru masuk Islam. Jika demikian, mengapa hadis ini dijadikan hujah dalam fasal tersebut? Perlu diperhatikan bahawa sebahagian Sahabat dahulu mengangkat pedang dan berperang melawan kaum Muslim seperti Khalid bin al-Walid dan Wahsyi bin Harb r.a., tetapi Rasul SAW tidak mengambil tindakan apa-apa terhadap mereka setelah mereka memeluk Islam.
Jawapan:
Nampaknya terdapat kekeliruan dalam memahami isu tersebut. Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ahmad dan ath-Tabarani daripada Amru bin al-‘Ash:
«إِنَّ الإِسْلامَ يَجُبُّ مَا كَانَ قَـبْلَهُ»
“Sesungguhnya Islam menutupi apa yang sebelumnya.”
Hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa yang masuk Islam daripada kalangan orang kafir, maka apa yang ada pada dirinya sebelum Islam dianggap seolah-olah tidak ada, iaitu dia tidak dipertanggungjawabkan atas perbuatannya sebelum memeluk Islam. Masuknya seseorang ke dalam Islam menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan sebelum itu kerana Islam menghapus apa yang terdahulu. Namun hakikatnya, Nabi SAW ketika Fathu Makkah menumpahkan darah beberapa orang yang dahulunya menyerang Islam dan kaum Muslim pada masa jahiliah. Baginda tetap memerintahkan agar mereka dibunuh meskipun mereka bergantung pada kain penutup Ka‘bah.
Dapat difahami disini bahawa mereka tetap dihukum atas tindakan mereka menyerang kaum Muslim, walaupun mereka telah memeluk Islam. Hal ini kerana sabda Nabi SAW “walaupun mereka bergantung pada kain penutup Ka‘bah” menunjukkan bahawa Baginda tidak mengecualikan keadaan masuknya mereka ke dalam Islam. Baginda tetap memerintahkan pembunuhan mereka dalam apa jua keadaan. Oleh itu, dapat difahami bahawa orang-orang yang menyerang Islam dan kaum Muslim dijatuhi hukuman atas perbuatan tersebut sekalipun mereka telah memeluk Islam. Maka hadis “Islam menutupi apa yang sebelumnya” tidak merangkumi mereka. Mereka dikecualikan daripada hadis ini, iaitu serangan mereka terhadap Islam dan kaum Muslim tidak ditutupi oleh Islam. Mereka tetap dihukum atas perbuatan itu. Urusan seterusnya diserahkan kepada Imam (Khalifah). Jika khalifah mahu, dia boleh memaafkan mereka, atau boleh menghukum mereka.
Kesahihan pemahaman ini ditunjukkan oleh riwayat Imam an-Nasa’i dalam Sunan-nya daripada Mush‘ab bin Sa‘ad daripada bapanya yang berkata:
Ketika Fathu Makkah, Rasulullah SAW menjamin keamanan orang ramai kecuali empat lelaki dan dua wanita. Baginda bersabda:
“Bunuhlah mereka meskipun kalian mendapati mereka bergantung pada kain penutup Ka‘bah: Ikrimah bin Abi Jahl, Abdullah bin Khathal, Maqis bin Shubabah dan Abdullah bin Sa‘ad bin Abi Sarh. Sementara itu, Abdullah bin Khathalin ditemui tergantung pada kain penutup Kaabah. Kemudian Said bin Huraits dan ‘Ammar bin Yasir berlumba-lumba untuk membunuhnya. Sa’id mendahului ‘Ammar dan dia lebih muda. Kemudian dia membunuhnya. Sementara itu, Maqis bin Shubabah ditemui oleh orang ramai di pasar dan mereka membunuhnya. Sementara itu, Ikrimah menyeberangi laut dan dilanda ribut. Penumpang di atas kapal berkata, “Berikhlaslah kerana tuhan-tuhan kamu tidak berguna bagi kamu di sini.” Ikrimah berkata, “Demi Allah! Tiada yang menyelamatkan aku dari laut kecuali keikhlasan dan tiada yang menyelamatkan aku di darat kecuali Dia, ya Allah. Sesungguhnya Engkau mempunyai perjanjian denganku. Jika Engkau mengampuni aku atas apa yang aku alami, aku akan datang kepada Muhammad SAW sehingga aku meletakkan kedua tanganku di tangannya. Sesungguhnya aku mendapati dia pemaaf dan mulia.” Kemudian dia datang dan masuk Islam. Sementara itu, Abdullah bin Sa’ad bin Abiy as-Sarh bersembunyi bersama Uthman bin Affan. Ketika Rasulullah SAW memanggil orang ramai untuk berbaiat, Uthman membawanya untuk berdiri di hadapan Nabi SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah, terimalah baiat Abdullah.” Baginda mengangkat kepalanya dan memandangnya tiga kali. Setiap kali baginda memandang, baginda tidak mahu. Namun, baginda kemudian menerima baiatnya selepas tiga kali. Kemudian baginda berpaling kepada para sahabatnya dan berkata, Tidakkah ada seorang yang bijak di antara kamu yang menentang lelaki ini ketika dia melihat aku menahan tanganku daripada menerima baiatnya lalu dia membunuhnya?” Mereka berkata, “Kami tidak faham, wahai Rasulullah, apa yang ada di dalam dirimu. Mengapa kamu tidak memberi isyarat kepada kami melalui matamu?” Baginda berkata, “Tidak sepatutnya bagi seorang nabi mempunyai mata yang berkhianat.”
Riwayat ini menunjukkan bahawa Rasul SAW sebenarnya mahu agar kaum Muslim membunuh Abdullah bin Abi Sarh, sedangkan dia datang dalam keadaan Muslim yang meminta untuk berbaiat. Ini membuktikan bahawa perintah penumpahan darah terhadap beberapa individu tersebut adalah bersifat mutlak; masuk Islam tidak melindungi mereka daripada hukuman itu. Namun, urusan mereka diserahkan kepada Imam (Khalifah). Jika dia mahu menghukum, ia dibolehkan; jika mahu memaafkan, juga dibolehkan. Maka, tidak dijatuhkan hukuman kepada orang yang masuk Islam yang sebelumnya menyerang kaum Muslim, asalkan Imam memaafkannya, sebagaimana yang berlaku kepada Ikrimah bin Abi Jahl.
Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam Kitab al-Ajhizah: “Kerana Rasul SAW pada akhirnya memaafkan sebahagian daripada mereka, seperti pemaafan baginda kepada Ikrimah bin Abi Jahl. Oleh itu, Khalifah boleh menghukum mereka atau memaafkan mereka…”
Semoga kekeliruan dalam memahami persoalan ini telah terangkat.
[Dikutip daripada Jawab Soal Syaikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah, 17 Rabi‘ul Awwal 1445H / 2 Oktober 2023M]
Sumber: https://alwaie.net/fikih/islam-menutupi-apa-yang-sebelumnya/
#soaljawab #hukumfikh #hukuman