[Soal Jawab] Bolehkah Mengadakan Gencatan Senjata Dengan Musuh?
Soalan:
Apakah hukum mengadakan gencatan senjata dengan pihak musuh, sebagaimana yang dilakukan oleh Iran dengan Israel? Bolehkah mengadakan gencatan senjata secara tetap?
Jawapan:
Gencatan senjata, dalam istilah fikh disebut, “Hudnah”. Secara harfiyah, “Hudnah” ertinya, “Sukun” (diam)[1]. Adapun secara syarie, “Hudnah” adalah:
«أَنْ يَعْقِدَ الإمَامُ أَوْ نَائِبُهُ لِأَهْلِ الْحَرْبِ عَقْدًا عَلَى تَرْكِ الْقِتَالِ مُدَّةً بِعِوَضٍ وَ غَيْرِهِ »
Akad yang dilakukan oleh Imam (Khalifah), atau penggantinya, dengan musuh untuk menghentikan peperangan dengan had waktu tertentu, baik dengan kompensasi mahupun tidak.[2]
Prof. Dr. Rawwas Qal’ah Jie, menyatakan bahawa “Hudnah” adalah:
«الإتِّفَاقُ عَلَى وَقْفِ الْقِتَالِ بَيْنَ الْمُتَحَارِبَيْنِ مُدَّةً مُعَيَّنَةً بِعِوَضٍ أَوْ غَيْرِهِ مَعَ اسْتِمْرَارِ حَالَةِ الْحَرْبِ»
Kesepatakan kedua belah pihak yang sedang berperang untuk menghentikan peperangan dalam had waktu tertentu, baik dengan kompensasi atau tidak, diikuti dengan tetap meneruskan peperangan.[3]
Dua definisi di atas hampir sama. Bezanya, definisi yang dikemukakan oleh Dr. Mahmud ‘Abd ar-Rahman ‘Abd al-Mun’im dinyatakan adanya peranan Imam/Khalifah (ketua negara), atau yang menjadi wakilnya, untuk mengadakan perjanjian ini. Beliau memberi alasan, mengapa mesti Imam/Khalifah (ketua negara) yang mengadakan akad ini? Untuk membezakan antara “Hudnah” (gencatan senjata) dengan “Aman” (jaminan keamanan). Jaminan keamanan boleh diberikan oleh individu, sementara “Hudnah” hanya boleh dilakukan oleh negara.[4]
Oleh sebab itu, hukum mengadakan gencatan senjata antara kaum Muslim dengan kaum kafir itu boleh. Nabi SAW juga pernah mengadakan perjanjian damai dengan kaum Quraisy saat Hudaibiyah. Walau bagaimanapun, kebolehannya dibatasi dengan adanya kemaslahatan yang dituntut oleh jihad, atau penyebaran dakwah. Ini kerana, saat Nabi mengadakan Shulh al-Hudaibiyyah, sampai kepada beliau bahawa kaum Quraisy telah melakukan kesepakatan dengan penduduk Khaibar untuk memerangi kaum Muslim. Shulh al-Hudaibiyyah yang dilakukan tahun 6 H ini digunakan oleh Nabi SAW untuk mengikat tangan dan kaki kaum Quraisy. Akibatnya, ketika Nabi SAW kembali dari Shulh al-Hudaibiyyah, kemudian berangkat ke Khaibar untuk menundukkan orang-orang Yahudi di sana, kaum Quraisy tidak dapat membantu mereka, kerana telah diikat dengan Shulh al-Hudaibiyyah tersebut.
Pada saat yang sama, sekembalinya dari Shulh al-Hudaibiyyah Nabi SAW segera mengirim delegasi kepada sejumlah penguasa dan raja di Jazirah Arab untuk memeluk Islam. Semuanya ini menjadi bukti bahawa Shulh al-Hudaibiyyah ini dilakukan oleh Nabi SAW untuk kemaslahatan yang terkait dengan dakwah dan jihad. Dengan Shulh al-Hudaibiyyah, Nabi SAW dapat memerangi Khaibar dan menyampaikan dakwah kepada para penguasa dan raja di Jazirah Arab.
Oleh sebab itu, ketika kemaslahatan dakwah dan jihad ini tidak ada maka “Hudnah” tersebut tidak boleh. Sebab, ketika “Hudnah” itu dilakukan, ertinya peperangan yang diperintahkan mesti dihentikan. Sedangkan menghentikan peperangan yang diperintahkan itu tidak boleh. Dengan kata lain, kebolehan “Hudnah” itu dibatasi oleh keadaan yang boleh mengantarkan pada peperangan, kerana ketika “Hudnah” itu diadakan, sebenarnya keadaan peperangan tetap berlangsung.
Allah SWT berfirman:
فَلَا تَهِنُواْ وَتَدۡعُوٓاْ إِلَى ٱلسَّلۡمِ وَأَنتُمُ ٱلۡأَعۡلَوۡنَ وَٱللَّهُ مَعَكُمۡ وَلَن يَتِرَكُمۡ أَعۡمَٰلَكُمۡ ٣٥
“Maka janganlah kamu wahai orang-orang yang beriman berasa lemah sehingga mengajak musuh yang menceroboh untuk berdamai, padahal kamu golongan yang tertinggi. Bahkan Allah juga bersama-sama kamu dan Dia tidak akan mengurangi pahala segala amalan kamu.” [TMQ Muhammad (47): 35].
Jika kemaslahatan dakwah dan jihad tersebut benar-benar ada, sehingga “Hudnah” tersebut dilakukan oleh seorang ketua negara, maka tetap perlu dibatasi had waktunya. Demikian sebagaimana Shulh al-Hudaibiyyah yang dibatasi waktunya maksima 10 tahun. Oleh sebab itu, Mafhuum Mukhaalafah-nya tidak boleh mengadakan gencatan senjata tanpa batas. Jika tidak dibatasi dengan waktu, maka perjanjian ini menjadi batal, kerana melanggar ketentuan syariah, iaitu menghalangi pelaksanaan jihad. Padahal hukum jihad ini adalah fardhu.
Jika “Hudnah” ini telah disepakati dan sah secara syarie, maka kita wajib terikat, dan menghentikan peperangan terhadap musuh. Kesepakatan tersebut perlu diperhatikan sehingga had waktu yang telah ditetapkan, atau dikhianati oleh mereka. Pengkhianatan itu boleh terjadi melalui pernyataan atau tindakan mereka menyerang kaum Muslim, atau Ahli Zimmah yang ada di wilayah kaum Muslim, atau tindakan apapun yang melanggar ketetapan atau syarat yang ada dalam perjanjian tersebut. Kemudian, jika tidak ada pihak yang mengingkari pelanggaran tersebut, baik secara lisan mahupun tindakan fizikal, maka kesepakatan tersebut dinyatakan tidak berlaku lagi.
Jika negara khuatir musuh melakukan pengkhianatan, seperti menampakkan indikasi adanya pengkhianatan, maka itu juga sudah cukup untuk membatalkan perjanjian tersebut. Jika ini terjadi, maka boleh menyatakan perang kepada mereka pada bila-bila masa, baik siang mahupun malam hari. Sebab, ketika mereka sudah mengkhianati atau membatalkan perjanjian, maka kaum Muslim boleh memerangi mereka, dan secara automatiknya perjanjian dengan mereka terbatal.
Itulah yang dilakukan Nabi SAW ketika kaum Quraisy membatalkan perjanjiannya. Saat itu, apa yang sebelumnya diharamkan dinyatakan tidak berlaku lagi, sehingga Nabi SAW memerangi mereka dan menaklukkan Kota Mekah. Sebab, “Hudnah” ini adalah perjanjian sementara, yang dinyatakan batal ketika had waktunya habis, atau dibatalkan. Allah SWT berfirman:
فَمَا ٱسۡتَقَٰمُواْ لَكُمۡ فَٱسۡتَقِيمُواْ لَهُمۡۚ ٧
“Kerana itu selama mereka berlaku jujur kepada kamu, maka hendaklah kamu juga berlaku jujur kepada mereka.” [TMQ at-Taubah (9): 7].
Allah SWT juga berfirman:
وَإِمَّا تَخَافَنَّ مِن قَوۡمٍ خِيَانَةٗ فَٱنۢبِذۡ إِلَيۡهِمۡ عَلَىٰ سَوَآءٍۚ ٥٨
“Jika engkau (Muhammad) khuatir akan ada pengkhianatan dari suatu kaum, maka kembalikanlah perjanjian itu pada mereka secara sama.” [TMQ al-Anfal (8): 58].
Allah SWT juga berfirman:
وَإِن نَّكَثُوٓاْ أَيۡمَٰنَهُم مِّنۢ بَعۡدِ عَهۡدِهِمۡ وَطَعَنُواْ فِي دِينِكُمۡ فَقَٰتِلُوٓاْ أَئِمَّةَ ٱلۡكُفۡرِ إِنَّهُمۡ لَآ أَيۡمَٰنَ لَهُمۡ لَعَلَّهُمۡ يَنتَهُونَ ١٢
“Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia, dan mereka pula mencela agama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjinya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat).” [TMQ at-Taubah (9): 12].
Pandangan di atas dikemukakan oleh Al-Allamah al-Qadhi Syaikh Muhammad Taqiyuddin an-Nabhani[5]. Pandangan yang hampir sama dikemukakan oleh Imam Zamakhsyari, “Yang benar, urusan ini diserahkan kepada pendapat Imam/Khalifah (ketua negara) sesuai dengan kemaslahatan Islam dan pemeluknya, baik perang mahupun damai. Tidak perlu berperang terus-menerus atau berdamai terus-menerus.”[6]
Pendapat yang hampir sama dikemukakan oleh Amirul al-Mukminin fî al-Hadits, Ibn Hajar al-Asqalani.[7]
Adapun gencatan senjata yang dilakukan oleh Iran dengan Israel yang diinisiatif oleh Amerika dan Qatar sesungguhnya merupakan bentuk gencatan senjata yang tidak dibenarkan. Sebab, tidak ada pertimbangan kemaslahatan dakwah dan jihad. Justeru Israel dan Amerika menggunakan kesepakatan ini untuk melumpuhkan kemampuan persenjataan Iran, yang boleh dianggap menjadi ancaman nyata bagi Israel. Demikian sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan (Menhan) Israel, Israel Katz. Dia menyatakan bahawa ketenteraan negaranya sedang mempersiapkan rencana terbaru untuk “memastikan Iran tidak dapat kembali mengancam Israel.” (Reuters, dan Times of Israel, Jumaat (4/7/2025). Katz, dalam pernyataannya, memuji pencapaian dalam operasi ketenteraan Israel, yang disebut Operation Rising Lion, dalam melawan Iran beberapa minggu lalu sebagai titik perubahan bersejarah dalam pertahanan Tel Aviv terhadap ancaman paling berbahaya dari Iran.
Selain itu, peranan yang dilakukan oleh Qatar, sebagai bahagian dari mediator perjanjian ini, juga tidak boleh. Sebab, gencatan senjata ini hukumnya tidak boleh maka menjadi mediator perjanjian ini juga tidak boleh.
WalLâhu a’lam bi as-shawâb.
Catatan kaki:
[1] Lihat, Ibn Mandzur, Lisan al-‘Arab, Juz , hal.
[2] Lihat, Dr. Mahmud ‘Abd ar-Rahman ‘Abd al-Mun’im, Mu’jam al-Musthalahat wa al-Afadz al-Fiqhiyyah, Dar al-Fadhilah, Qahirah, t.t., Juz III, hal. 450.
[3] Lihat, Prof. Dr. Mahammad Rawwas Qal’ah Jie, Mu’jam Lughat al-Fuqaha’, Dar an-Nafais, Beirut, Cetakan V, 1439 H/2018 M, hal. 463.
[4] Lihat, Dr. Mahmud ‘Abd ar-Rahman ‘Abd al-Mun’im, Mu’jam al-Musthalahat wa al-Afadz al-Fiqhiyyah, Dar al-Fadhilah, Qahirah, t.t., Juz III, hal. 450.
[5] Lihat, al-Allamah al-Qadhi Syaikh Muhammad Taqiyuddin an-Nabhani, as-Syakhshiyyah al-Islamiyyah, Dar al-Ummah, Beirut, Cetakan V, 1424 H/2003 M, Juz II, hal. 209-210.
[6] Lihat, al-Allamah al-Imam Az-Zamakhsyari, Tafsir al-Kasysyaf, Juz II, hal. 182.
[7] Lihat, al-Allamah al-Hafidz Ibn Hajar al-Asqalabi, Fath al-Bari fî Syarh Shahih al-Bukhari, Juz VI, hal. 275-276.
#gencatansenajata #politikdunia #hudnah #jihad #perang