[Soal Jawab] Hukum Menyewakan Rumah dengan Deposit Keselamatan (Security Deposit)
Oleh: KH Siddiq Al Jawi
Soalan:
Assalamualaikum ustaz, adakah wajar menyewakan barang seperti rumah dan mengenakan deposit keselamatan kepada penyewa? Deposit tersebut akan dikembalikan kepada penyewa jika barang yang disewa dikembalikan dalam keadaan asalnya.
Jawapan:
Waalaikumussalam.
Tidak boleh hukumnya menyewakan rumah dengan mengenakan deposit keselamatan, kerana hal itu merupakan penggabungan dua akad yang dilarang oleh syariah, iaitu akad tabarru’at (akad sosial) seperti qardh (pinjaman) dengan akad mu’awadhat/tijarah (akad komersial) seperti jual beli dan ijarah (sewaan).
Dalam kes di atas, deposit keselamatan tersebut pada hakikatnya adalah qardh (pinjaman), kerana pada akhir tempoh sewaan wang itu akan dikembalikan sekiranya tiada kerosakan pada barang sewaan.
Oleh itu, menyewakan rumah disertai deposit keselamatan bermaksud menggabungkan akad tabarru’at (akad sosial seperti qardh) dengan akad mu’awadhat/tijarah (akad komersial seperti jual beli dan ijarah).
Gabungan kedua-dua akad tersebut adalah haram, berdasarkan sabda Nabi SAW:
(لاَ يَحِلُّ سَلَفٌ وَبَيْعٌ) رواه الترمذي (1234) وأبو داود (3504) والنسائي (4611)، وصححه الترمذي والألباني
“Tidak halal salaf (qardh/pinjaman) digabungkan dengan jual beli.” (HR Tirmidzi, no. 1234; Abu Dawud, no. 3504; Nasa’i, no.4611; dan dinilai sahih oleh Al Albani).
Penyelesaiannya adalah dengan memperincikan dalam perjanjian sewaan tentang pihak yang bertanggungjawab atas kerosakan barang sewaan (rumah):
Pertama, jika kerosakan berlaku akibat force majeure (keadaan kahar) seperti gempa bumi, banjir, puting beliung dan sebagainya, maka kerosakan tersebut ditanggung oleh pemilik rumah.
Kedua, jika kerosakan berlaku akibat kelalaian atau perbuatan sengaja penyewa, contohnya dinding menjadi kotor kerana diconteng oleh anak penyewa, maka kerosakan tersebut menjadi tanggungan penyewa rumah mengikut kadar kerosakan, sebagai usaha menghilangkan dharar (kemudaratan) yang berlaku.
Hal ini dalam fiqh disebut sebagai ta‘widh ‘an dharar (ganti rugi atas kerugian), berdasarkan hadis Nabi SAW:
“La dharara wa la dhirara” (“Tidak boleh memberikan mudarat kepada diri sendiri dan tidak boleh pula memudaratkan orang lain.”) (HR Ibn Majah dan al-Daraqutni).
Wallahu’alam.
#soaljawab #hukumfikh #jualbeli #muamalatIslam #sewarumah #securitydeposit #depositkeselamatan