Tangisan Cicit Rasulullah SAW
Suatu ketika, Thawus bin Kaisan pernah melihat Ali Zainal Abidin berdiri di bawah bayang-bayang Baitullah. Beliau meratap penuh kegelisahan, seolah-olah berada di ambang kehancuran.
Ali Zainal Abidin menangis teresak-esak hingga menyentuh hati orang-orang yang mendengarnya. Beliau berdoa memohon perlindungan kepada Yang Maha Memberi Perlindungan. Apabila Thawus melihat Ali Zainal Abidin sebegitu, dia berhenti dan menunggu tangisan itu reda. Setelah selesai, Thawus menghampiri beliau dan berkata, “Wahai cucu Rasulullah! Aku telah melihatmu meratapi keadaan dirimu. Sedangkan engkau mempunyai tiga keutamaan yang dapat menjaminmu daripada ketakutan.”
Kemudian Ali Zainal Abidin bertanya, “Apakah tiga keutamaan itu, wahai Thawus?” Thawus menjawab, “Pertama, engkau adalah cucu Rasulullah SAW. Kedua, engkau mendapat syafaat daripada moyangmu. Ketiga, engkau mendapat rahmat Allah.”
Ali Zainal Abidin menjawab, “Wahai Thawus! Sekalipun aku termasuk dalam keturunan Rasulullah SAW, keturunan itu tidak menjadikan diriku aman daripada rasa takut akan seksaan Allah SWT. Hal itu setelah aku mendengar firman Allah SWT, ‘Maka apabila sangkakala ditiup, tidak ada lagi pertalian keturunan di antara mereka pada Hari Kiamat itu, dan tidak (pula) mereka saling bertanya.’ [TMQ Al-Mu’minun (23): 101].
Adapun tentang syafaat moyangku kepadaku, sesungguhnya Allah SWT telah menegaskan dalam firmanNya, ‘Dia (Allah) mengetahui segala sesuatu yang ada di hadapan mereka (malaikat) dan yang ada di belakang mereka. Mereka tidak memberi syafaat melainkan kepada orang yang Dia redhai dan mereka selalu berhati-hati kerana takut kepadaNya.’ [TMQ Al-Anbiya’ (21): 28].
Tentang rahmat Allah pula, ia akan diberikan kepada orang yang sentiasa melakukan kebaikan, sebagaimana firmanNya, “… Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat dengan orang-orang yang berbuat baik.” [TMQ Al-A’raf (7): 56].
Ketakwaan Ali Zainal Abidin memancarkan pelbagai sifat mulia, perilaku terpuji, dan kesabaran yang tinggi. Catatan perjalanan hidupnya padat dengan untaian kisah yang indah. Lembaran-lembaran sejarah hidupnya diukir dengan keluhuran sikapnya. [Hepi Andi Bastoni, 101 Kisah Tabiin, hlm.126].
Hikmah
Meskipun berketurunan mulia dan menjadi ahlulbait Rasulullah SAW, Ali Zainal Abidin tidak serta-merta bergantung kepada keturunannya untuk mengharapkan keampunan Allah SWT. Ali tidak merasa memiliki darjat tinggi berbanding manusia lain, meskipun beliau salah seorang cicit Rasulullah SAW. Tangisan Ali yang penuh kegelisahan meratapi keadaannya adalah pengajaran bagi kita semua.
Pembuktian iman dan takwa seseorang kepada Allah SWT tidak boleh bergantung harap kepada nama besar atau keturunan ibu bapa. Sebaliknya, ia perlu mengusahakan sendiri iman dan takwa tersebut dengan memahami hakikatnya, membina idrak sillah billah (kesedaran hubungan seorang hamba dengan Rabbnya), dan semakin bertaqarrub kepada Allah SWT.
Selain itu, salah satu cara seorang hamba membentuk iman dan takwa yang kuat ialah bersikap muraqabah, iaitu sentiasa merasa diawasi oleh Allah SWT. Keyakinan bahawa Allah sentiasa melihat hambaNya serta mengawasi perbuatannya boleh menjadi penghalang terbesar untuk bermaksiat kepadaNya.
Daripada Usamah bin Syarik RA, Rasulullah SAW bersabda, “Segala perbuatan yang Allah benci daripada dirimu untuk dilakukan, maka janganlah kamu lakukan hal tersebut ketika kamu sendirian.” [HR Ibnu Hibban]. Semoga kita sentiasa menjadi hamba yang takut dan sentiasa merasa diawasi oleh Allah SWT.
Sumber: muslimahnews.net
#KisahInspirasi #MenangisKeranaAllah #AhlulBait #Takwa #KhaufdanRaja’