Osman Ghazi dan Keadilan Hukum Islam
Sebahagian besar sumber sejarah Turki yang menulis tentang era Kesultanan Uthmani menyebutkan bahawa Ertuğrul telah menyerahkan jawatan qadhi (hakim syarie) di kota Qarahjah Ḥiṣār kepada puteranya, Osman, pengasas Kesultanan Uthmani, setelah kota tersebut ditawan daripada Bizantium pada tahun 684 H / 1285 M.
Diriwayatkan bahawa Osman Ghazi pernah memutuskan suatu kes antara seorang Nasrani Bizantium dan seorang Muslim Turki. Dalam keputusan tersebut, Osman memenangkan pihak Bizantium. Lelaki Bizantium itu hairan dan bertanya kepada Osman, “Bagaimana mungkin engkau memutuskan perkara yang menguntungkan diriku, sedangkan aku tidak seagama denganmu?”
Osman menjawab, “Sebaliknya, bagaimana mungkin aku tidak memutuskan perkara demi kebaikanmu, sedangkan Allah ﷻ yang kami sembah telah berfirman kepada kami:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia, hendaknya kamu menetapkannya dengan adil.” [TMQ An-Nisāa’ (4): 58]
Keadilan yang mulia itu menjadi sebab lelaki Bizantium tersebut dan kaumnya mendapat hidayah dan memeluk Islam.
Sesungguhnya ‘Uthman al-Awwal (Osman I) sentiasa menerapkan keadilan terhadap rakyatnya, termasuk juga terhadap penduduk negeri yang ditaklukkannya. Beliau tidak memperlakukan bangsa yang kalah dengan kezaliman, sewenang-wenangnya, kekerasan, kesombongan atau penindasan.
“Dia (Zulkarnain) berkata, “Barang siapa berbuat zalim, Kami akan membinasakannya, kemudiam dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu Tuhan mengazabnya dengan azab yang sangat keras. Bagi orang yang beriman dan melakukan kebaikan, maka dia mendapat pahala yang terbaik sebagai ganjaran dan Kami akan sampaikan kepadanya perintah Kami yang mudah.” [TMQ Al-Kahf (18): 87–88]
Berpegang kepada pedoman Ilahi ini menunjukkan keimanan, ketakwaan, kecerdasan, serta kejernihan akal, dan mencerminkan keadilan, kebaikan serta kasih sayang.
Sumber: “Ad-Daulah Al-Utsmaniyyah” – Prof. Ali Muhammad ash-Shallabi
#HakikatIslam #KeadilanIslam #TokohInspirasi #KesultananUthmani