Adab Sultan Alp Arslan
Sultan Alp Arslan dari Bani Saljuk telah melakukan banyak penaklukan di wilayah Romawi Byzantium. Hal ini membangkitkan kemurkaan Maharaja Romawi, Romanos Diogenes. Akhirnya, pada tahun 463 Hijrah tercetuslah Perang Manzikert (Maladzgird), yang bertepatan dengan bulan Ogos tahun 1070 Masihi.
Sultan bersama kira-kira 20,000 orang tenteranya bertemu dengan pasukan Romanos Diogenes di suatu tempat bernama az-Zahwah. Sultan berasa bimbang melihat jumlah tentera Romawi yang sangat besar. Lalu seorang ahli fikh, Abû Nashr Muhammad bin ‘Abd al-Malik al-Bukhârî, memberikan saranan agar pertempuran dilangsungkan pada hari Jumaat selepas waktu Zuhur, ketika para khatib sedang berdoa untuk para mujahidin.
Apabila tiba waktunya, kedua-dua pasukan pun saling berhadapan. Sultan Alp Arslan bersujud kepada Allah ﷻ dan berdoa memohon pertolongan daripada-Nya. Maka Allah ﷻ mengurniakan kemenangan kepada kaum Muslimin, mengalahkan musuh mereka dan raja mereka, Romanos, berjaya ditawan.
Apabila Romanos dibawa menghadap Sultan Alp Arslan, Sultan bertanya, “Sekiranya aku yang ditawan di hadapanmu, apakah yang akan engkau lakukan terhadapku?”
Romanos menjawab, “Segala perkara yang buruk.”
Alp Arslan berkata, “Menurut pendapatmu, apakah yang akan aku lakukan sekarang?”
Romanos menjawab, “Sama ada engkau membunuhku dan menghinaku di negerimu, atau engkau mengampuniku serta mengambil tebusan sebelum mengembalikanku.”
Alp Arslan berkata, “Aku tidak berniat selain mengampunimu dan mengambil tebusan.”
Romanos menebus dirinya dengan bayaran sebanyak 1,000,000 dinar serta tambahan 500,000 dinar. Setelah itu, dia berdiri di hadapan Sultan, lalu Sultan memberinya segelas air untuk diminum. Romanos mencium tanah di hadapan Sultan sebagai tanda penghormatan, kemudian mencium tanah ke arah khalifah sebagai lambang pemuliaan.
Sultan turut memberinya 10,000 dinar agar dia dapat membuat persiapan, membebaskan beberapa orang patrikio (patriarki – pemimpin yang dihormati) yang bersamanya, serta mengiringinya sejauh satu farsakh (sekitar 5.5 kilometer). Bahkan, Sultan menghantar pasukan pengawal untuk mengiringinya hingga ke wilayahnya, sambil membawa panji yang tertulis:
“Lâ ilâha illallâh, Muhammad Rasûlullâh.”
Sumber: Ad-Daulah al-‘Utsmaniyyah – Prof. Ali Muhammad ash-Shallabi