Keluarga Sirin, Keluarga Perawi Hadis
Keluarga Sirin bukanlah keluarga yang memiliki kedudukan tinggi, kedudukan istimewa, ataupun kebanggaan nasab. Namun, mereka dikenali kerana keagungan dan kemuliaannya. Ini kerana , ahli keluarganya dihiasi dengan sifat-sifat utama, iaitu mendalami ilmu, tekun beribadah, serta menjaga warak. Meskipun berasal dari ibu bapa yang berstatus hamba, hal ini tidak menjadikan keluarga mereka dipandang rendah. Keilmuan yang tinggi dan sifat zuhud yang mengkristal dalam diri setiap ahli keluarga Sirin telah menyebabkan mereka dipandang sebagai keluarga contoh.
Sirin adalah mantan hamba Anas bin Malik al-Anshari yang dibeli dari Khalid bin Walid. Sirin berkahwin dengan Shafiyyah yang sebelumnya menjadi hamba Abu Bakar as-Siddiq RA. Dari pernikahan ini, Sirin memperolehi lima orang anak. Semuanya menjadi perawi hadis, iaitu Muhammad, Anas, Ma’bad, Hafsah, dan Karimah. Akan tetapi yang terkenal dan kerap muncul dalam sanad hadis adalah Muhammad, Anas, dan Hafsah.
Imam Nawawi menuturkan bahawa semua anak Sirin adalah perawi yang dipercayai. Hafsah sendiri dibesarkan dalam keluarga yang penuh kemuliaan. Pada usia 12 tahun, Hafsah telah menghafaz Al-Quran. Sejumlah sahabat dan sahabiyah menjadi guru yang membimbingnya, di antaranya ialah Anas bin Malik, Ummul Mukminin Aisyah, serta Ummu Athiyyah al-Ansariyah.
Selain itu, Hafsah juga menimba ilmu dari para tabiin. Banyak tokoh tabiin yang meriwayatkan hadis darinya, termasuk saudaranya, Muhammad bin Sirin, serta Qatadah, Ayyub, Ibnu Aun, Hisyam bin Hissan, dan beberapa orang lagi.
Adapun Muhammad bin Sirin lahir di Basrah pada 33 H. Beliau belajar dan meriwayatkan hadis dari para sahabat besar, seperti Abu Hurairah, Imran bin Hushain, Abdullah bin Abbas, Adi bin Hatim, Abdullah bin Umar, ‘Abidah al-Salmani, Syuraih al-Qadhi, dan Anas bin Malik.
Hammad bin Zaid menukil dari Uthman al-Batti bahawa tidak ada yang lebih alim dalam bidang fikih selain Muhammad bin Sirin. Ibnu Yunus menilai dia lebih cerdas daripada Al-Hasan al-Basri dalam beberapa hal. Sementara Awf al-A’rabi menyebutnya sebagai susuk yang unggul dan cerdas dalam ilmu faraid, qada, dan hisab.
Sementara Anas bin Sirin merupakan adik dari Muhammad bin Sirin. Tentang susuknya, Imam Yahya bin Ma’in memberikan penilaian tinggi kepada Imam Anas bin Sirin dengan menyebutnya sebagai seorang tsiqat, iaitu perawi yang dipercayai, memiliki hafalan yang kuat, serta dikenal dengan keadilannya. Penilaian serupa juga datang dari Imam Ibnu Hajar al-Asqalany yang menegaskan kedudukan Imam Anas sebagai perawi tsiqat. Keutamaan ini semakin nyata kerana hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Imam Anas tercatat dalam enam kitab induk hadis (al-kutub al-sittah) yang menjadi rujukan utama dalam tradisi keilmuan Islam. Hal ini menunjukkan betapa besar kontribusi Imam Anas bin Sirin dalam menjaga dan menyebarkan riwayat hadis, sekaligus meneguhkan posisinya sebagai salah satu tokoh penting dalam mata rantai periwayatan yang dipercayai. [Diringkaskan dari pelbagai sumber]
Hikmah
Ilmu merupakan kurniaan agung dari Allah SWT. Melalui ilmu, Allah SWT memuliakan hamba-hambaNya dengan darjat yang tinggi, baik di dunia mahupun di akhirat. Ilmu ibarat cahaya yang menuntun manusia menuju redha Allah SWT dan kehidupan yang penuh kebaikan. Tanpa ilmu, manusia akan tersesat dan terumbang-ambing dalam gelapnya kebodohan.
Allah SWT menegaskan dalam firmanNya, “Kami meninggikan darjat orang yang Kami kehendaki dan di atas setiap orang berilmu ada Yang Maha Mengetahui.” [TMQ Yusuf (12): 76]. Dalam ayat yang lain, Allah SWT juga menjelaskan, “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kalian dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat.” [TMQ Al-Mujadilah (58): 11].
Daripada keluarga Sirin, kita mendapat banyak teladan. Pertama, membiasakan dan mengajarkan keluarga untuk mencintai ilmu. Ali bin Abi Thalib berkata, “Ilmu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau, sedangkan engkau harus menjaga harta.” Dalam beramal diperlukan ilmu dan dalam berilmu diperlukan guru. Imam al-Ghazali menasihatkan, “Ilmu tanpa amal adalah kegilaan, amal tanpa ilmu adalah kesia-siaan.”
Kedua, keluarga Sirin memberi contoh bahawa warisan ilmu melahirkan generasi yang mampu menjaga amanah Islam, menyampaikan kebenaran, dan mengamalkannya. Anak-anak Sirin menjadi pewaris ilmu, dari abang kepada adik, dari adik beradik kepada anak, dari generasi ke generasi. Amanah dakwah Islam mesti tetap hidup. Generasi tua dan muda bersama-sama memikul tanggung jawab untuk menjaga, melanjutkan, dan membangun peradaban Islam yang agung.
Potret keluarga Sirin mengingatkan kita untuk mendidik anak-anak sebagai generasi penerus perjuangan menegakkan kemuliaan Islam. Jadikan mereka pewaris ilmu sekaligus pelopor lahirnya peradaban Islam, iaitu Khilafah ‘ala minhaj an-nubuwwah.
Sumber: muslimahnews.net.
#KeluargaMuslimIdeal