Ibnu Zubair: Khalifah yang Dilupakan
Abdullah bin Zubair RA. seringkali tidak mendapatkan haknya untuk ditulis dalam sejarah oleh para sejarawan, dan keadaan khilafahnya tidak dijelaskan secara jelas. Hanya peperangan-peperangannya yang tertulis di kitab-kitab, bahkan sebahagian mereka ada yang tidak menganggap beliau sebagai khalifah. Sedangkan, semasa pemerintahannya selama tujuh tahun, beliau adalah khalifah yang memimpin Iraq, Hijaz, Yaman, Mesir dan kawasan sekitarnya, bahkan dibaiat oleh sebahagian besar wilayah Syria pada mulanya.
Mungkin sejarawan menganggap pemerintahannya kurang penting kerana beliau telah digulingkan oleh kaum Marwan. Kemudian khalifah-khalifah berikutnya juga tidak mengakui pemerintahan lbnu Zubair, kerana hal tersebut tidak memberi manfaat kepada orang-orang Bani Umayyah mahupun orang-orang Abbasiyah untuk menyebut namanya dalam kekhalifahan. Sehingga nama Ibnu Zubair terkeluar daripada senarai para khalifah, padahal Ibnu Zubair merupakan tokoh hebat pada zaman pemerintahan al-Khulafa ar-Rasyidun.
Terdapat dua perkara yang menarik tentang Ibnu Zubair, yang kedua-duanya saling bertentangan iaitu: cinta terhadap kekuasaan, harta dan dunia di satu sisi, di sisi yang lain dia suka beribadah dan bertakwa. Dua perkara ini sangat sukar ditemui pada diri seseorang, tetapi demikianlah keunikan dan keistimewaan Ibnu Zubair.
Ibnu Zubair mengendalikan pemerintahan dengan mencontohi pemerintahan Khulafa Rasyidun secara umum, iaitu dengan berdasarkan kepada kebenaran, keadilan dan melaksanakan syariat dengan sesempurna mungkin. Dalam melaksanakan syariat Islam, dia mengabaikan cemuhan orang-orang yang mencelanya. Beliau memuhasabah dirinya dan memuhasabah masyarakat dalam urusan Baitul Mal, tidak diagihkan wang Baitul Mal kecuali kepada orang-orang yang berhak menerimanya, dan Baitul Mal tidak digunakan untuk kepentingan politik seperti mana dilakukan oleh para khalifah Umayyah.
Beliau juga seorang yang gemar bermusyawarah, hal tersebut terus berlangsung sehingga dia terbunuh. Dengan kematian Ibnu Az-Zubair, maka adat musyawarah tidak lagi diamalkan oleh Bani Umayyah kecuali oleh sebilangan kecil dari mereka.
Sumber: “Sejarah Dinasti Umawiyah” – Dr Yusuf Al ‘Isy’