Perangkap Jurang Generasi (Generation Gap) dan Algoritma dalam Melemahkan Generasi (Bahagian 3)
Penulis: Noval Tawang
(Sambungan..)
DNA Aktivisme, Potensi Generasi Muda Muslim
Generasi muda lahir dalam suasana krisis yang berterusan, iaitu krisis ekonomi, iklim, pandemik, dan polarisasi sosial. Situasi politik ini membentuk potensi generasi muda untuk melakukan perubahan. Mereka lebih kritikal, realistik dan berani menyuarakan serta bertindak terhadap pelbagai isu ketidakadilan, hak asasi manusia, kesejahteraan, persekitaran dan sebagainya.
Ciri pergerakan mereka mempunyai pengaruh yang luas dan pantas. Mereka menyifatkan gerakan mereka sebagai gerakan glocal (global–local), iaitu aktivisme setempat (offline) yang boleh diperluaskan melalui media sosial menjadi gerakan global, memandangkan mereka adalah generasi digital native.
Perkara ini dapat dilihat dalam realiti pergerakan generasi muda sepanjang tahun 2025. Gelombang aktivis muda semakin menjadi tumpuan global, dari Indonesia, Nepal, Bangladesh, Sri Lanka, Filipina, Timor Leste, Peru hingga Madagaskar. Mereka berusaha menentang ketidakadilan pemerintah, malah sehingga menyuarakan kritikan terhadap kegagalan sistem, walaupun belum sampai menyentuh penyelesaian yang bersifat sistemik.
Walaupun DNA aktivisme wujud dalam diri generasi muda, pergerakan mereka masih bersifat pragmatik dan belum berteraskan ideologi (Islam). Kapitalisme menilai pragmatisme ini perlu dikekalkan demi kelangsungan ideologinya. Pada awal tahun 2024, ucapan Setiausaha Agung PBB menyatakan bahawa penglibatan belia dalam proses pembuatan keputusan menjadi keutamaan PBB dalam isu utama perdamaian dan kewangan antarabangsa. Di Indonesia misalnya, sekitar tahun 2020, arus moderasi beragama yang semakin meluas telah menjauhkan mereka daripada ideologi Islam.
Media sosial memainkan peranan yang sangat besar. Pelbagai platform media sosial menyediakan akses maklumat yang pantas dan memfasilitasi ruang perbincangan politik pragmatik yang terbuka, tanpa mengangkat perbincangan ideologi Islam sebagai penyelesaian hakiki terhadap kerosakan dunia. Inilah yang menyebabkan pergerakan generasi muda masih belum mampu membawa kepada perubahan yang sebenar, apatah lagi sehingga mampu menumbangkan ideologi kapitalisme.
Kunci dan Usaha untuk Membangkitkan Generasi Islam
Dalam Islam, generasi dipandang sebagai satu rangkaian yang berkesinambungan, bukan sebagai satu jurang pemisah. Islam tidak mengenal konsep generation gap, sebaliknya menekankan pewarisan dakwah Islam antara generasi. Islam memerintahkan agar setiap generasi saling menasihati berlandaskan syariat Islam bagi merealisasikan amal soleh (dakwah). Perbezaan usia dan pengalaman bukanlah jurang, tetapi merupakan hikmah untuk saling melengkapi dan berkongsi pengalaman.
Dalam sejarah Islam, Rasulullah ﷺ telah berjaya membina kutlah (kelompok dakwah) yang kukuh tanpa terpecah akibat perbezaan usia. Baginda menanamkan akidah dan syariat Islam sebagai asas untuk menyatukan pandangan, penyelesaian, serta tujuan hidup merentas generasi. Hasilnya, setiap generasi memiliki iman yang teguh dan dengan penuh kerelaan mengambil peranan dalam dakwah, memikul risalah serta membangunkan kehidupan Islam di Madinah.
Dalam pelaksanaan dakwah, Rasulullah ﷺ melibatkan spektrum usia yang luas, daripada generasi muda hingga generasi tua. Kesemuanya diperkasakan mengikut potensi dan kapasiti masing-masing demi perjuangan membina peradaban Islam di Madinah. Kunci kejayaan Rasulullah ﷺ terletak pada keupayaan Baginda meleburkan seluruh generasi dalam pembinaan jemaah berideologi Islam (Hizbullah) yang berteraskan pemikiran yang membangkitkan.
Pemikiran yang membangkitkan inilah yang mampu menyatukan mereka serta menjadi dorongan yang kuat untuk berdakwah kepada masyarakat Mekah secara menyeluruh. Semua generasi silih berganti mengikuti dan menemani Rasulullah ﷺ dalam pelbagai kesempatan untuk mengambil pengajaran serta mencontohi perjuangan risalah yang Baginda laksanakan.
Pada hakikatnya, manusia pada bila-bila masa dan di mana jua telah dikurniakan oleh Allah Taala potensi serta naluri kehidupan. Allah Taala juga menurunkan aturan yang tidak pernah luput ditelan zaman, berupa mukjizat yang kekal, iaitu Al-Quran. Kesemuanya ini menunjukkan bahawa manusia adalah sama, sejak awal penciptaan hingga ke hari kiamat. Kewajipan yang ditetapkan oleh Allah Taala pasti mampu dilaksanakan oleh manusia pada setiap zaman. Oleh itu, untuk mengembalikan identiti generasi Muslim dalam diri generasi muda, mereka perlu dileburkan dalam pembinaan jemaah berideologi Islam yang memiliki tsaqafah yang membangkitkan. Pembinaan oleh jemaah berideologi Islam ini hendaklah terbukti mampu melahirkan pengemban dakwah yang berkualiti tinggi, sebagaimana yang digambarkan dalam buku Kekasih-Kekasih Allah karya Syeikh Thaleb Awadallah.
Generasi muda perlu memahami bahawa kecerdasan sebenar adalah melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dakwah Islam hendaklah disampaikan dengan bahasa yang difahami oleh generasi muda, iaitu melalui perbincangan yang intensif antara pembina dan yang dibina. Pembina perlu mengajak mereka berfikir tentang apa yang mereka kehendaki serta bagaimana pandangan Islam terhadap perkara tersebut. Pembina juga hendaklah peka untuk mengenal pasti aspek dalam diri individu yang dibina yang memerlukan bimbingan dan bantuan.
Hal ini sebagaimana dialog yang sarat dengan suasana keimanan yang telah dicontohkan oleh Rasulullah ﷺ ketika menasihati Abdullah bin Abbas, seorang daripada generasi muda. Rasulullah ﷺ bersabda, “Wahai anak muda, sesungguhnya aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat. Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya kamu akan mendapati-Nya di hadapanmu. Apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah. Apabila kamu memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah.” (HR at-Tirmizi)
Seterusnya, para pembina perlu mengajak mereka yang telah memiliki kesedaran dakwah untuk bersama-sama menyuarakan pembinaan ideologi Islam sebagai penyelesaian terhadap pelbagai permasalahan dunia, di samping melakukan baik pulih pemikiran terhadap ideologi kapitalisme. Pembina hendaklah menyediakan peluru pemikiran serta melibatkan generasi muda secara langsung dalam gerak kerja dakwah, sebagaimana Rasulullah ﷺ memberikan kepercayaan kepada para sahabat muda untuk melaksanakan misi dakwah. Di samping itu, pembina juga perlu merancang serta membina strategi bagi memenangi pendapat umum di platform digital dan medan pertembungan pandangan di media sosial.
Firman Allah berikut ini hendaknya kita sentiasa renungkan. “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan nasihat-menasihati supaya mentaati dalam kebenaran dengan kesabaran.” [TMQ Al-‘Asr: 1—3].
Sumber: https://muslimahnews.net/2025/12/09/40013/
#GenerationGap #JurangGenerasi #generasi #anakmuda #algoritma #digitalnative