Sumber-Sumber Ekonomi Negara Menurut Islam
Terdapat empat sumber utama ekonomi di setiap negara, tanpa mengira sistem apa pun yang dilaksanakan di negara tersebut, baik negara itu maju atau kurang maju. Empat sumber ini ialah: pertanian, perindustrian, perdagangan, dan sumber manusia.
Adapun yang dipanggil import tak ketara (invisible imports) atau import perkhidmatan seperti pelancongan dan kos sarana pengangkutan, ini tidak dianggap sebagai sumber ekonomi utama, kerana tidak terdapat di setiap negara dan tidak memerlukan undang-undang serta perbincangan berasingan daripada empat sumber yang dinyatakan di atas. Oleh itu, ia tidak dianggap sebagai sumber ekonomi yang berdiri sendiri, kerana perbincangan ekonomi secara amnya tertumpu kepada empat elemen di atas, dari segi perspektif pemilikan dan pekerjaan.
Islam menetapkan bahawa diharuskan untuk mendapatkan sebanyak mungkin daripada 4 sumber tersebut dan bekerja untuk mendapatkannya mengikut kemampuan seseorang, sebagaimana firman Allah ﷻ (yang bermaksud):
“Maka berjalanlah di setiap penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezeki-Nya.” [TMQ al-Mulk (67): 15]
“Bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurniaan Allah.” [TMQ al-Jumu‘ah (62): 10]
Perintah dalam ayat ini bermakna boleh (mubah).
Rasulullah ﷺ juga bersabda (yang bermaksud):
“Tidaklah seorang makan makanan yang lebih baik dari makan makanan hasil jerih payahnya sendiri.” (HR. Bukhari)
Khabar ini disertai pujian, dan mengandungi hukum mubâh (dibenarkan).
Kerana itu, perbincangan terhadap keempat-empat sumber ekonomi ini dianggap sebagai perbincangan paling penting dalam ekonomi, bahkan merupakan asasnya. Segala hal di luar itu hanyalah terbitan atau pelengkap kepada apa yang ada dalam keempat-empat ini.
Islam menetapkan bahawa pemilikan dan pekerjaan pada sumber-sumber tersebut dibolehkan untuk semua orang. Dari kebolehan ini, terwujudlah politik ekonomi Islam, iaitu memberikan kemampuan kepada setiap individu masyarakat untuk memenuhi keperluan sekunder sebanyak mungkin, terutama keperluan asas mereka.
Sumber : “As-Siyâsah al-Iqtishâdiyyah al-Mutslâ” – Abdurrahman al-Maliki
#ekonomiislam #sumberekonomi