Lima Jenis Hukum Syariah
Oleh: Ustaz M. Taufik NT
Al-‘Allamah as-Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani menyatakan bahawa hukum syariah adalah:
«خِطَابُ الشَّارِعِ الْمُتَعَلِّقُ بِأَفْعَالِ الْعِبَادِ»
”Seruan Pembuat Syariah yang berkaitan dengan perbuatan hamba”.
Dinyatakan dengan khithâb as-Syâri’ (seruan Pembuat Syariah), bukan khithâbulLâh (seruan Allah), adalah agar tidak muncul anggapan bahawa yang dimaksud hanya al-Quran saja, namun juga mencakup as-Sunnah. Ungkapan “yang berkaitan dengan perbuatan hamba” mengeluarkan pembahasan akidah daripada definisi ini. Disebutkan “hamba” untuk mencakupi adanya kewajipan zakat atas harta orang gila dan harta anak kecil. Sebahagian ulama menyatakan hal ini dengan ungkapan “khithâb as-Syâri’ yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf”, atau “khithâb as-Syâri’ yang memiliki faedah syari’yyah”.
Pemahaman terhadap hukum syariah bertumpu pada pemahaman terhadap al-Quran dan as-Sunnah. Tidak setiap khithâb as-Syâri’ itu wajib dilaksanakan dan terlarang jika ditinggalkan atau haram dilakukan dan mendapat seksaan jika dilaksanakan. Oleh sebab itu, tidak boleh terburu-buru menghalalkan atau mengharamkan suatu perkara hanya dengan membaca satu perintah atau larangan di dalam ayat al-Quran dan as-Sunnah. Namun, wajib terlebih dulu untuk memahami jenis-jenis khithâb sebelum mengeluarkan pendapat terkait hukum syariah.
Tuntutan dalam Khithâb
Secara umum, khithâb as-Syâri’ terbahagi menjadi dua, yakni: (1) khithâb at-taklîf; (2) khithâb al-wadh’i.
Khithâb at-taklîf adalah khithâb (seruan) yang mengandung tuntutan (iqtidhâ‘) dan pilihan (takhyîr). Tuntutan ini terbahagi dua: (1) tuntutan untuk melakukan suatu perbuatan; (2) tuntutan untuk meninggalkan suatu perbuatan. Tuntutan tersebut adakalanya pasti/mutlak (jâzim) dan adakalanya tidak mutlak.
Jika tuntutan untuk melakukan suatu perbuatan ini bersifat jâzim maka hukum yang muncul adalah fardhu/wajib. Jika bersifat tidak jâzim maka hukum yang muncul adalah sunnah. Sebaliknya, terkait tuntutan untuk meninggalkan suatu perbuatan, jika bersifat jâzim maka hukum yang muncul adalah haram; jika bersifat tidak jâzim maka hukum yang muncul adalah makruh. Adapun khithâb yang berisi pilihan maka hukum yang muncul adalah mubah. Oleh kerana itu, khithâb at-taklîf akan memunculkan lima hukum taklifi yakni: wajib, sunnah, mubah, makruh dan haram.
Adapun khithâb al-wadh’i adalah khithâb (seruan) yang menjelaskan keadaan-keadaan yang perlu ada atau tidak ada agar hukum taklifi berlaku atau tidak berlaku. Khithâb al-wadh’i berkaitan dengan sebab, syarat, penghalang (mâni’), sah, batal, fasad, ‘azîmah dan rukhsah. Misalnya, solat Zuhur hukum taklifi-nya adalah wajib. Sebabnya, salah satunya adalah telah masuk waktu (matahari tergelincir). Syarat sahnya, salah satunya adalah suci dari hadas dan najis. Haid menjadi mâni’-nya. Safar thawiil menjadi salah satu alasan untuk mendapatkan rukhsah dengan meng-qashar-nya.
Jadi, usaha penelaahan terhadap nas atau dalil-dalil syarie untuk menetapkan suatu status hukum bagi perbuatan manusia atau suatu benda memerlukan kecermatan dan kemampuan. Suatu perbuatan bersifat wajib atau haram tidak semata-mata diambil dari adanya bentuk perintah atau larangan pada suatu ayat atau hadis. Tidak semua perintah berbentuk fiil ‘amr (kata perintah). Oleh kerana itu betapa pentingnya hal ini diperhatikan agar semboyan kembali pada al-Quran dan Sunnah sebaliknya tidak berakhir dengan munculnya sikap-sikap yang berani mempermainkan agama, membuat hukum-hukum baru, atau metode ijtihad baru.
Faedah Qarînah (Indikasi) dalam Memahami Makna Khithâb
Memahami makna ayat atau hadis mestilah dengan pemahaman secara tasyri’i dan bukan secara lughawi (bahasa) saja. Misalnya firman Allah SWT:
﴿وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا﴾
”Janganlah kalian mendekati zina.” (TMQ al-Isra‘ [17]: 32).
Dari sini boleh difahami bahawa Allah telah melarang perbuatan zina. Namun, status hukumnya tidak muncul hanya kerana sighat nahi (bentuk larangan) dalam ayat itu saja, melainkan juga berdasarkan indikasi (qarînah) lain yang merupakan nas-nas lain, misalnya firman Allah SWT:
﴿إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا﴾
”Sesungguhnya (zina) itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk” (TMQ al-Isra‘[17]: 32).
﴿الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ﴾
”Pezina perempuan dan pezina lelaki, cambuklah masing-masing dari keduanya seratus kali cambukan” (TMQ an-Nur [24]: 2).
Juga hadis:
«أنَّ الْيَهُودَ جَاءُوا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِرَجُلٍ مِنْهُمْ وَامْرَأَةٍ زَنَيَا فَأَمَرَ بِهِمَا فَرُجِمَا قَرِيبًا مِنْ مَوْضِعِ الْجَنَائِزِ عِنْدَ الْمَسْجِدِ»
”Sesungguhnya orang-orang Yahudi datang kepada Nabi SAW dengan membawa seorang lelaki dan seorang perempuan yang berzina. Beliau lalu memerintahkan untuk merejam keduanya di tempat biasa untuk mensolatkan jenazah, di samping Masjid Nabawi”. (HR al-Bukhari).
Adanya celaan, ancaman dan hukuman merupakan qarînah bahawa larangan tersebut bersifat jâzim sehingga melanggar larangan tersebut dihukumi haram.
Begitu juga perintah dalam firman Allah SWT:
وَإِذَا حَلَلۡتُمۡ فَٱصۡطَادُواْۚ ٢
”Jika kalian telah menyelesaikan ibadah haji maka berburulah”. (TMQ al-Maidah [5]: 2).
Juga firman Allah SWT:
فَإِذَا قُضِيَتِ ٱلصَّلَوٰةُ فَٱنتَشِرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ ١٠
”Jika solat telah dilaksanakan maka bertebaranlah kalian di muka bumi.” (TMQ al-Jumu’ah [62]: 10).
Perintah berburu setelah selesai melaksanakan haji (tahallul), juga perintah bertebaran di muka bumi setelah melaksanakan solat, tidaklah automatik boleh disimpulkan bahawa hukumnya wajib atau sunnah, namun perlu dilihat qarînahnya dulu. Berburu pada awalnya adalah boleh. Kemudian Allah melarang hal demikian ketika ihram dengan firman-Nya:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَقۡتُلُواْ ٱلصَّيۡدَ وَأَنتُمۡ حُرُمٞۚ ٩٥
”Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian membunuh binatang buruan, sedang kalian dalam keadaan berihram.” (TMQ al-Maidah [5]: 95).
Kemudian selesai tahallul diperintahkan berburu. Ini menjadi indikasi bahawa perintah berburu ini adalah boleh/mubah, bukan sunnah atau wajib. Perintah ini hanya berfungsi mengembalikan perbuatan pada hukum asal sebelum perbuatan tersebut dilarang. Begitu juga perintah bertebaran di muka bumi, awalnya boleh, lalu dilarang tatkala masuk waktu solat Jumaat, lalu diperintahkan setelah selesai. Ini juga menjadi indikasi bahawa perintah ini hukumnya mubah/boleh.
Begitu juga dalam memahami hadis, perlu difahami indikasinya dulu sebelum menentukan hukumnya. Misalnya ketika sampai kepada Rasulullah SAW bahawa penduduk Parsi telah mengangkat puteri Kisra sebagai raja, beliau bersabda:
«لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمُ امْرَأَةً»
”Tidak akan beruntung suatu kaum yang memberikan kekuasaan kepada seorang perempuan.” (HR al-Bukhari).
Redaksi dalam hadis tersebut memang dalam bentuk berita (khabar). Namun, adanya celaan bagi mereka yang memberikan kekuasaan kepada perempuan menjadi qarînah bahawa maksud dari khabar tersebut adalah larangan. Kerana celaan tersebut adalah celaan yang tegas dengan huruf lan lit ta’bîd, yakni menafikan keberuntungan selamanya, ini menjadi qarînah bahawa larangan tersebut adalah larangan yang tegas. Kerana itulah kita mendapati para ahli fikih sepakat bahawa imâmah kubra (khalifah/ketua negara) tidak sah diberikan kepada perempuan.
Jadi untuk mengetahui jenis hukum dari suatu nas hendaklah bersandar pada pemahaman nas tersebut secara tasyri’i dan kaitannya dengan qarînah yang memberikan petunjuk terhadap makna nas tersebut. Dari sini jelaslah bahawa hukum syariah itu bermacam-macam adanya dan kadangkala ada perbezaan pendapat ahli fikih dalam memberikan kesimpulan hukumnya. Perbezaan pendapat boleh saja muncul disebabkan oleh dalil-dalilnya, seperti adanya lafaz yang mengandung beberapa makna (musytarak), mengandung penakwilan, makna haqiqi dan majazi, penggunaan dalil antara umum dan khusus, perbezaan qira’at (bacaan) al-Quran dan pandangan terhadap periwayatan hadis. Boleh juga terjadi disebabkan perbezaan pemakaian kaedah-kaedah ushul.
Sebagai contoh Rasulullah SAW bersabda:
«مَا أَسْفَلَ مِنْ الْكَعْبَيْنِ مِنْ الْإِزَارِ فَفِي النَّارِ »
”Setiap bahagian pakaian (izâr) yang di bawah mata kaki maka tempatnya di neraka.” (HR al-Bukhari).
Adapun dalam hadis lain beliau bersabda:
«مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلَاءَ لَمْ يَنْظُرِ اللهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ»
”Siapa saja yang menyeret pakaiannya kerana sombong, Allah tidak akan melihat dia pada Hari Kiamat.” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Sebahagian ulama memahami bahawa isbâl (menjuntaikan pakaian hingga di bawah mata kaki) adalah haram secara mutlak bagi lelaki, baik tanpa sombong, apalagi dengan sombong. Adapun majoriti ulama mazhab Maliki, Syafi’i dan Hanbali juga Ibnu Taymiyah memandang bahawa yang haram hanyalah jika isbâl-nya disertai sikap dengan sombong. Alasannya kerana hadis-hadis tentang isbâl lebih banyak yang muqayyad (terikat) dengan kesombongan. Dengan demikian hadis yang muthlaq itu dibawa ke makna terikat (muqayyad), yakni isbâl kerana disertai dengan sifat sombong.
Hanya saja, tidak setiap perbezaan pendapat boleh ditoleransi. Perbezaan pendapat yang berasal dari hawa nafsu, kepentingan duniawi, serta memutarbelitkan nas dan kaedah ushul untuk disesuaikan dengan peradaban Barat, lebih tepat disebut penyimpangan atau penyelewengan daripada perbezaan/ikhtilaf, penyimpangan seperti ini wajib diwaspadai.
WalLâhu a’lam.
Sumber: AlWaie
#hukumsyarak #halalharam #nassyarak #syariah