Nasakh Al-Quran dengan Al-Quran
Oleh: Ustaz Yahya Abdurrahman
نَسْخُ الْقُرْآنِ بِالْقُرْآنِ
Nasakh adalah ibthâlu al-hukmi al-mustafâd min nashsh[in] sâbiq[in] bi nashsh[in] lâhiq[in] (pembatalan hukum yang difahami daripada nas yang terdahulu oleh nas yang kemudian /lebih akhir). Maksud lainnya, nasakh adalah: Khithâb asy-Syâri’i al-mâni’i min istimrâri mâ tsabata min hukmi khithâb[in] syar’iyy[in] sâbiq[in] (Seruan Asy-Syâri’ yang menghalang penerusan atau keberlanjutan hukum yang telah ditentukan sebelumnya oleh seruan syarie sebelumnya).
Jadi, nasakh al-Quran adalah pembatalan hukum yang dinyatakan dalam ayat al-Quran yang turun lebih awal oleh ayat al-Quran yang turun kemudian. Dengan kata lain, nasakh al-Quran adalah ayat al-Quran yang menghalang penerusan hukum yang telah ditetapkan oleh ayat yang turun terlebih dahulu.
Terkait nasakh al-Quran, menurut Syaikh Wahbah az-Zuhaili di dalam Ushûl al-Fiqhi al-Islâmî, para ulama sepakat bahawa tidak boleh berlaku nasakh terhadap keseluruhan al-Quran. Sebabnya, lafaz al-Quran merupakan mukjizat yang kekal selama-lamanya sampai Hari Kiamat. Alasan lainnya, kerana hukum-hukum al-Quran mencerminkan syariah terakhir, sementara pembatalan syariah terakhir adalah tidak logik. Ini kerana, manusia tidak dibiarkan tanpa syariah. Adapun yang boleh terjadi adalah nasakh terhadap sebahagian hukum daripada al-Quran.
Nasakh al-Quran dengan al-Quran
Nasakh al-Quran dengan al-Quran adalah dibolehkan. Ini menjadi pendapat jumhur (majoriti mutlak) para ulama. Namun, Abu Muslim al-Ashfahani tidak membolehkan hal demikian. Perkara ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam as-Sarakhsi di dalam Ushûl as-Sarakhsi, Imam al-Ghazali di dalam Al-Mushtashfâ, Ibnu al-Hajib di dalam Mukhtashar Ibni al-Hâjib, Ibnu Badran di dalam Al-Madkhal ilâ Madzhab Ahmad, Imam asy-Syaukani di dalam Irsyâd al-Fuhûl dan yang lainnya.
Majoriti mutlak para ulama menjelaskan bahawa dibolehkan berlakunya nasakh al-Quran oleh al-Quran berdasarkan dua hujah: Pertama, kerana persamaannya dalam hal kewajipan al-‘ilmu (al-qath’iy)-nya dan kewajipan beramal dengan al-Quran. Hal ini kerana, baik ayat yang me-nasakh atau ayat yang di-nasakh sama-sama dibawa oleh wahyu dari sisi lafaz dan maknanya sehingga boleh nasakh al-Quran oleh al-Quran. Kedua, kerana secara realitinya memang berlaku nasakh al-Quran oleh al-Quran. Nasakh al-Quran oleh al-Quran yang terjadi secara nyata merupakan dalil paling jelas terhadap kebolehannya.
Adapun hujah Abu Muslim al-Ashfahani atas pendapatnya bahawa tidak boleh terjadi nasakh di dalam al-Quran didasarkan pada firman Allah SWT:
لَّا يَأۡتِيهِ ٱلۡبَٰطِلُ مِنۢ بَيۡنِ يَدَيۡهِ وَلَا مِنۡ خَلۡفِهِۦۖ تَنزِيلٞ مِّنۡ حَكِيمٍ حَمِيدٖ ٤٢
“Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.” (TMQ Fussilat [41]: 42).
Menurut al-Ashfahani, seandainya sebahagian al-Quran di-nasakh, nescaya akan terdapat pada al-Quran itu unsur kebatilan (al-buthlân atau al-bâthil).
Tentu tidak boleh dikatakan demikian. Sebabnya, nasakh adalah al-ibthâl, bukan al-bâthil. Al-Bâthil adalah lawan dari al-haqq, sementara nasakh adalah haqq dan shidq[un] (benar). Kata ganti (adh-dhamîr) huwa dalam ayat tersebut kembali pada al-Quran secara keseluruhan. Keseluruhan al-Quran tidak boleh dibatalkan sehingga al-Quran tidak boleh di-nasakh keseluruhannya. Hal ini disepakati oleh semua. Adapun nasakh atas sebahagian hukum al-Quran adalah boleh. Ertinya, al-Quran tidak didahului oleh kitab-kitab yang membatalkannya dan tidak datang setelah al-Quran apa yang membatalkannya.
Kemudian, pembatalan ayat al-Quran itu sendiri dengan adanya pe-nasakh-an atas tilâwah (bacaan)-nya adalah tidak boleh. Adapun pembatalan hukum yang dibawa oleh ayat al-Quran dengan menghilangkan hukum tersebut atau menghentikan keberlanjutannya, yakni nasakh atas sebahagian hukum al-Quran, adalah boleh. Hal ini sebagaimana telah terbukti bahawa nasakh atas hukum tertentu dalam al-Quran itu terjadi secara nyata (real).
Nasakh al-Quran itu adakalanya tanpa pengganti. Adakalanya diganti dengan yang setara, lebih ringan atau lebih berat bagi hamba. Contoh nasakh al-Quran tanpa pengganti adalah kewajipan bersedekah jika hendak mengadakan pembicaraan dengan Rasul SAW yang terdapat dalam firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا نَٰجَيۡتُمُ ٱلرَّسُولَ فَقَدِّمُواْ بَيۡنَ يَدَيۡ نَجۡوَىٰكُمۡ صَدَقَةٗۚ ١٢
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak menghadap dan bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah, maka hendaklah kamu bersedekah (kepada fakir miskin) sebelum kamu menghadapnya; “ (TMQ al-Mujadilah [58]: 12).
Hukum dalam ayat ini di-nasakh dengan ayat setelahnya tanpa hukum pengganti:
ءَأَشۡفَقۡتُمۡ أَن تُقَدِّمُواْ بَيۡنَ يَدَيۡ نَجۡوَىٰكُمۡ صَدَقَٰتٖۚ فَإِذۡ لَمۡ تَفۡعَلُواْ وَتَابَ ٱللَّهُ عَلَيۡكُمۡ فَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥۚ ١٣
“Adakah kamu takut (akan kemiskinan) kerana kerap kali kamu memberi sedekah sebelum kamu menghadap? Kalau kamu tidak melakukan (perintah) itu, dan Allah pun memaafkan kamu (kerana kamu tidak mampu), maka dirikanlah sembahyang dan berikanlah zakat (sebagaimana yang sewajibnya), serta taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya.” (TMQ al-Mujadillah [58]: 13).
Contoh nasakh al-Quran disertai pengganti lebih ringan. Kewajipan bersikap teguh atas sepuluh orang dalam firman Allah SWT:
إِن يَكُن مِّنكُمۡ عِشۡرُونَ صَٰبِرُونَ يَغۡلِبُواْ مِاْئَتَيۡنِۚ وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّاْئَةٞ يَغۡلِبُوٓاْ أَلۡفٗا مِّنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ ٦٥
“Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir,…” (TMQ al-Anfal [8]: 65).
Hukum dalam ayat ini di-nasakh dan diganti dengan keteguhan satu orang atas dua orang musuh melalui firman Allah SWT:
ٱلۡـَٰٔنَ خَفَّفَ ٱللَّهُ عَنكُمۡ وَعَلِمَ أَنَّ فِيكُمۡ ضَعۡفٗاۚ فَإِن يَكُن مِّنكُم مِّاْئَةٞ صَابِرَةٞ يَغۡلِبُواْ مِاْئَتَيۡنِۚ وَإِن يَكُن مِّنكُمۡ أَلۡفٞ يَغۡلِبُوٓاْ أَلۡفَيۡنِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۗ ٦٦
“Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah.” (TMQ al-Anfal [8]: 66).
Contoh lain, masa ‘iddah satu tahun untuk wanita yang ditinggal mati suaminya ditetapkan dalam firman Allah SWT:
وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوۡنَ مِنكُمۡ وَيَذَرُونَ أَزۡوَٰجٗا وَصِيَّةٗ لِّأَزۡوَٰجِهِم مَّتَٰعًا إِلَى ٱلۡحَوۡلِ غَيۡرَ إِخۡرَاجٖۚ ٢٤٠
“Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya.” (TMQ al-Baqarah [2]: 240).
Masa ‘iddah dalam ayat ini di-nasakh menjadi hanya empat bulan sepuluh hari melalui firman Allah SWT:
وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوۡنَ مِنكُمۡ وَيَذَرُونَ أَزۡوَٰجٗا يَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرۡبَعَةَ أَشۡهُرٖ وَعَشۡرٗاۖ ٢٣٤
“Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. “ (TMQ al-Baqarah [2]: 234).
Contoh nasakh al-Quran ke pengganti yang semisal. Kefardhuan solat menghadap ke arah Baitul Maqdis di-nasakh menjadi fardhu menghadap ke arah Masjidil Haram.
قَدۡ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجۡهِكَ فِي ٱلسَّمَآءِۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبۡلَةٗ تَرۡضَىٰهَاۚ فَوَلِّ وَجۡهَكَ شَطۡرَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِۚ وَحَيۡثُ مَا كُنتُمۡ فَوَلُّواْ وُجُوهَكُمۡ شَطۡرَهُۥۗ ١٤٤
“Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.” (TMQ al-Baqarah [2]: 144).
Contoh nasakh al-Quran ke pengganti yang lebih berat. Semasa zaman awal Islam, hukuman ke atas zina adalah dikurung di dalam rumah hingga meninggal:
وَٱلَّٰتِي يَأۡتِينَ ٱلۡفَٰحِشَةَ مِن نِّسَآئِكُمۡ فَٱسۡتَشۡهِدُواْ عَلَيۡهِنَّ أَرۡبَعَةٗ مِّنكُمۡۖ فَإِن شَهِدُواْ فَأَمۡسِكُوهُنَّ فِي ٱلۡبُيُوتِ حَتَّىٰ يَتَوَفَّىٰهُنَّ ٱلۡمَوۡتُ ١٥
“Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya, …” (TMQ an-Nisa’ [4]: 15).
Kemudian hukum dalam ayat ini di-nasakh menjadi hukuman sebat seratus kali melalui ayat berikut:
ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِي فَٱجۡلِدُواْ كُلَّ وَٰحِدٖ مِّنۡهُمَا مِاْئَةَ جَلۡدَةٖۖ ٢
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; “ (TMQ an-Nur [24]: 2).
Nasakh al-Quran adalah nasakh ke atas hukum yang dibawa oleh ayat al-Quran dan tidak ada nasakh atas tilâwah al-Quran. Jadi tidak ada ayat al-Quran yang dihapus tilâwah (teks/bacaan)-nya, yakni dihilangkan dari al-Quran. Hal itu kerana semua ayat al-Quran ditetapkan dengan dalil qath’i. Yang tidak ditetapkan dengan dalil qath’i, yakni ditetapkan dengan dalil zhanni, tidak dinilai termasuk al-Quran. Tidak ada dalil qath’i yang menunjukkan adanya nasakh atas tilâwah al-Quran. Yang ada adalah dalil zhanni berupa hadis ahad yang menunjukkan adanya nasakh atas tilâwah al-Quran. Hal itu tidak ada nilainya untuk dijadikan sebagai dalil atas adanya nasakh terhadap tilâwah (teks/bacaan) al-Quran. Pendapat adanya nasakh terhadap tilâwah al-Quran bermakna bahawa ada ayat al-Quran yang telah ditetapkan secara qath’i sebagai ayat al-Quran, lalu ada dalil yang menunjukkan bahawa teks/redaksi ayat itu dihapus. Yang menunjukkan adanya nasakh terhadap tilâwah al-Quran itu hanya dalil zhanni. Itu bererti apa yang telah ditetapkan dengan dalil qath’i di-nasakh dengan dalil zhanni. Hal demikian tidak dibenarkan dan tidak boleh. Sebabnya, yang qath’i memang tidak boleh di-nasakh oleh yang zhanni. Yang qath’i hanya boleh di-nasakh oleh yang qath’i. Sementara itu, tidak ada dalil qath’i atas nasakh terhadap tilâwah al-Quran. Dengan demikian tidak ada nasakh atas tilâwah al-Quran.
WalLâh a’lam wa ahkam.
#nasakh #alquran #takrifat #alwaie