Krisis Kesihatan Mental Remaja dan Kanak-kanak adalah Implikasi Kegagalan Sistem Kehidupan Hari ini
Muqaddimah
Kesihatan mental remaja telah diiktiraf sebagai isu kesihatan awam yang semakin kritikal di peringkat nasional dan global. Fenomena peningkatan gangguan emosi, tingkah laku, kemurungan serta kecenderungan membunuh diri dalam kalangan remaja mencerminkan krisis yang melangkaui dimensi perubatan semata-mata. Hal ini sebenarnya berkait rapat dengan struktur sosial, sistem pendidikan, ekonomi, budaya digital dan peranan negara.
Realiti Kesihatan Mental Remaja dan Kanak-kanak di Malaysia
Di Malaysia, data terkini daripada National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023 menunjukkan situasi yang amat membimbangkan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Statistik kebangsaan merekodkan bahawa 1 daripada setiap 6 kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental. Angka ini bukan sahaja tinggi, malah menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Lebih membimbangkan, beban masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja meningkat dua kali ganda sejak tahun 2019. Peningkatan mendadak ini menggambarkan bahawa faktor yang wujud dalam persekitaran semasa semakin menekan kesejahteraan emosi golongan muda, terutamanya pasca pandemik COVID-19 dan dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global.
NHMS 2023 turut memperincikan bentuk masalah yang dialami. Antaranya, 46% kanak-kanak menghadapi masalah hubungan dengan rakan sebaya, termasuk kesukaran bergaul, ketiadaan rakan rapat, kecenderungan dibuli atau mengasingkan diri, serta lebih selesa bersendirian berbanding berinteraksi dengan orang dewasa atau rakan.
Keadaan ini mencerminkan cabaran dalam sokongan sosial dan persekitaran perkembangan emosi kanak-kanak, yang jika diabaikan berterusan maka akan menjejaskan kesejahteraan mental kanak-kanak.
Selain itu, 25% kanak-kanak dikenal pasti mempunyai masalah tingkah laku, seperti tidak mematuhi arahan, selalu berbohong atau menipu, mempunyai tabiat mencuri dan sering bergaduh dengan kanak-kanak lain. Dari sudut emosi pula, 17% kanak-kanak mengalami masalah emosi, termasuk mudah sedih, cenderung menyalahkan diri, berasa sunyi, takut berlebihan dan sering berasa tertekan. Manakala 8% pula menunjukkan simptom hiperaktif, seperti sukar fokus, impulsif, sentiasa resah dan tidak mampu mengawal pergerakan atau emosi.
Sebenarnya, masalah-masalah yang melingkari kanak-kanak dan remaja seperti yang dinyatakan dalam kajian ini berhubung rapat dengan kegagalan pengurusan tekanan emosi, atau aspek emosi /mental yang sering dipandang remeh, serta kelemahan sistem pendidikan dan keluarga hari ini dalam membentuk kawalan diri dan akhlak anak-anak. Dengan kata lain, faktor persekitaran anak-anak membesar sangat berpengaruh terhadap kesihatan mentalnya, baik persekitaran di rumah mahupun di luar rumah.
Tambahan pula, Kajian Ipsos Malaysian Education Monitor 2025 mendapati 37 peratus rakyat Malaysia menganggap kesihatan mental sebagai masalah paling mendesak yang dihadapi generasi muda, mengatasi isu buli, tekanan rakan sebaya dan kesan teknologi. Angka ini lebih tinggi daripada purata global, sekaligus memberi isyarat bahawa negara sedang berdepan krisis senyap yang berpotensi menjejaskan masa depan bangsa.
Kesemua data ini membuktikan bahawa masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja dan kanak-kanak di Malaysia bukan bersifat terpencil, tetapi berskala besar dan merentas dimensi emosi, sosial dan tingkah laku. Ia juga mencerminkan kegagalan persekitaran sosial dan dasar sedia ada dalam melindungi kesejahteraan psikologi generasi muda.
Masalah Kesihatan Mental Remaja dan Kanak-kanak di Peringkat Global
Fenomena yang sedang berlaku di Malaysia sebenarnya selari dengan trend global. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa sekitar 14–15% remaja berusia 10 hingga 19 tahun di seluruh dunia mengalami gangguan kesihatan mental. Gangguan seperti kemurungan dan kebimbangan merupakan antara penyumbang utama kepada beban penyakit dalam kumpulan umur ini.
WHO juga mengesahkan bahawa bunuh diri merupakan punca kematian ketiga tertinggi dalam kalangan belia berumur 15 hingga 29 tahun. Statistik ini menggambarkan tahap keputusasaan dan kerapuhan emosi yang serius dalam kalangan generasi muda global. Laporan antarabangsa seperti KidsRights Index 2025 turut menegaskan bahawa krisis kesihatan mental kanak-kanak dan remaja telah mencapai tahap kritikal, dengan faktor seperti penggunaan media sosial berlebihan, budaya perbandingan, buli siber, keruntuhan institusi keluarga dan tekanan akademik sebagai penyumbang utama.
Situasi ini menunjukkan bahawa krisis kesihatan mental bukan berpunca daripada kegagalan individu semata-mata, tetapi berpunca daripada sistem kehidupan moden yang sarat dengan tekanan, persaingan melampau, ketidakstabilan nilai dan ketiadaan makna hidup yang jelas.
Keterbatasan Pendekatan Sekular terhadap Kesihatan Mental
Pendekatan arus perdana hari ini kebanyakannya hanya memfokuskan masalah kesihatan mental melalui lensa perubatan dan psikologi individu sahaja. Walau pun rawatan perubatan, terapi dan kaunseling adalah penting, semua pendekatan ini sering bersifat fragmentasi (penyelesaian cabang) dan tidak menyentuh akar masalah sebenar. Kesihatan mental juga sering distigmakan sebagai isu peribadi, padahal data jelas menunjukkan ia turut dipengaruhi faktor sosial dan sistemik.
Dalam sistem berasaskan kapitalisme-sekular hari ini, negara menjadi stressor (punca tekanan) terbesar melalui dasar-dasar negara yang lebih mementingkan pencapaian ekonomi berbanding jiwa manusia. Stressor adalah faktor atau situasi tertentu yang dapat memicu reaksi tekanan dalam diri seseorang. Faktor ini boleh muncul disebabkan oleh pelbagai aspek, termasuk keadaan persekitaran, tuntutan kerja atau akademik, interaksi sosial, serta beban emosi dan psikologi.
Inilah sebenarnya yang menjadi pemicu utama disebalik tekanan atau masalah mental generasi moden atau generasi digital hari ini. Sistem pendidikan yang berorientasikan pencapaian material, ekonomi kapitalistik yang mencetus tekanan sara hidup, budaya media yang mempromosikan hedonisme dan narsisisme, serta kegagalan negara menyediakan perlindungan sosial yang menyeluruh adalah sebahagian contoh nyata bagaimana semua ini bertindak sebagai stressor berterusan kepada semua golongan, termasuk remaja dan kanak-kanak.
Oleh yang demikian, apabila penyelesaian hanya memfokuskan pada aspek perubatan dengan mempertingkatkan intervensi perubatan, namun masih mengabaikan faktor-faktor sistemik, maka masalah kesihatan mental akan terus berulang dan boleh bertambah teruk.
Perspektif Islam Terhadap Kesihatan Mental Remaja dan Kanak-kanak
Islam melihat isu kesihatan mental bukan sekadar tentang keseimbangan emosi, tetapi sebagai kesejahteraan jiwa yang berpaksikan hubungan manusia dengan Allah SWT, dirinya sendiri, masyarakat dan sistem kehidupan. Al-Quran juga secara jelas mengaitkan kesempitan hidup dan kegelisahan jiwa dengan berpalingnya manusia daripada petunjuk Allah. Firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 124,
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. (TMQ Taha [20]:124)
Ini menjelaskan bahawa kehidupan yang sempit adalah akibat menjauhkan diri daripada peringatanNya, suatu hakikat yang selari dengan realiti keresahan masyarakat moden hari ini.
Namun, Islam tidak menghakimi individu yang mengalami gangguan mental sebagai ‘kurang iman’ secara simplistik. Sebaliknya, Islam mengiktiraf faktor trauma, pengalaman hidup, pengasuhan dan persekitaran sebagai penyumbang kepada gangguan jiwa. Yang membezakan Islam ialah pendekatan holistiknya iaitu aspek akidah yang sahih dalam membina visi hidup yang jelas, ibadah yang perlu menjadi mekanisme pengurusan tekanan, dan kefahaman terhadap qada’ dan qadar agar terlahir jiwa yang tenang (nafs al-mutma’innah).
Melalui pendekatan ini, Islam membekalkan mekanisme dalaman yang mampu membina ketahanan mental. Malah, amalan ibadah harian juga berfungsi sebagai terapi rohani. Misalnya, solat, zikir dan doa bukanlah sekadar ritual sebagaimana yang sering difahami oleh kebanyakan orang, sebaliknya ia juga menjadi mekanisme yang akan meregulasi emosi secara berulang dan konsisten.
Selain itu, Islam turut menekankan pembinaan akhlak dan hubungan sosial yang sihat sesama manusia, khususnya dalam keluarga dan komuniti. Hal ini, sebagai contoh, dapat dilihat dalam pengaturan syariat terkait larangan menyakiti orang lain sama ada secara lisan mahu pun perbuatan, kewajipan melakukan amar makruf nahi mungkar, serta penekanan terhadap tanggungjawab keluarga dan masyarakat. Pengaturan syariat seumpama ini sebenarnya berfungsi mengurangkan konflik antara manusia seperti pergaduhan, kes buli dan sebagainya; mengelakkan pengasingan sosial atau isolasi; dan tekanan emosi yang menjadi punca gangguan mental.
Oleh yang demikian, penghayatan yang benar terhadap tsaqafah Islam, termasuklah aspek ibadah ruhiyyah, nafisyah dan akhlak, perlu diterapkan dalam kehidupan remaja dan kanak-kanak sejak awal usia, agar mereka juga dapat memahami intipati ajaran agama Islam (semestinya sesuai dengan tahapannya) dalam praktikal kehidupan seharian. Sebab itu juga, penting bagi orang dewasa menghidupkan ajaran Islam dalam ruang lingkup kehidupan sehingga ia menjadi budaya dan teladan yang jelas bagi generasi muda.
Keperluan Solusi Islam Kaffah dan Peranan Negara (Khilafah)
Islam tidak mengehadkan solusi kepada peringkat individu sahaja. Sebaliknya, Islam menuntut penerapan syariat Allah SWT secara kaffah iaitu sempurna dan menyeluruh, termasuklah pada peringkat negara. Pendekatan Islam menawarkan kerangka holistik daripada pembinaan akidah individu hingga reformasi sistemik secara revolusioner (sistem negara khilafah). Inilah elemen yang dapat melengkapi persoalan kelompongan dalam langkah klinikal/perubatan dan polisi awam dalam sistem sekular hari ini.
Negara dalam Islam pada hakikatnya berfungsi sebagai ra‘in (pengurus) dan junnah (pelindung) yang memastikan persekitaran kehidupan kondusif untuk kesejahteraan mental rakyat. Oleh itu, tidak boleh tidak, manusia mana pun memerlukan sistem negara yang adil, kepimpinan yang mentadbir urus hal ehwal manusia berdasarkan kepentingan maqasid syariah, dan itulah yang akan menjamin kesejahteraan fizikal dan mental manusia.
Melalui sistem negara Islam (Khilafah) juga, negara bertanggungjawab menyediakan pendidikan berasaskan akidah dan pembinaan insan, menerapkan sistem ekonomi yang adil dan menjamin keperluan asas, membina jaringan media yang mendidik dan menjaga moral, serta menerapkan dasar sosial yang melindungi keluarga, termasuklah kelompok remaja dan kanak-kanak. Apabila `stressor’ utama seperti kemiskinan, ketidakadilan, eksploitasi dan kekosongan makna hidup dapat diminimumkan, insyaAllah, risiko gangguan kesihatan mental juga akan berkurang secara signifikan. Ini kerana, sistem Khilafah itu sendiri menjadi kerangka kehidupan yang menghapuskan punca sistemik yang merupakan faktor multi-dimensi kepada tekanan mental. Justeru itu, apabila individu, masyarakat dan negara bergerak di atas akidah yang sama, daya tahan mental dan ideologi umat turut terbina secara semula jadi. Demikianlah bagaimana Islam berfungsi sebagai `support system’ semula jadi kepada kesihatan mental, kerana ia mengurangkan `stressor’ kehidupan melalui aturan syariat terkait akhlak, sosial, ekonomi dan politik yang adil serta berperikemanusiaan.
Sejarah peradaban Islam umat terdahulu telah membuktikan bahawa penerapan sistem Islam secara menyeluruh melalui institusi Khilafah dapat melahirkan masyarakat yang stabil, berdaya tahan dan sejahtera, bukan sahaja dari sudut material tetapi juga kesejahteraan jiwa. Inilah dimensi yang gagal dicapai oleh sistem sekular moden walaupun dengan kemajuan teknologi dan perubatan. Wallahu`alam.
Aliya Ab Aziz
Lajnah I’lamiyyah
Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia
Rujukan:
1. https://www.tvsarawak.my/2024/12/10/dewan-rakyat-pelan-tindakan-kesihatan-mental-kanak-kanak-dan-remaja-dibentang-2025/
2. https://berita.rtm.gov.my/laporan-khas/kolum/senarai-berita-kolumnis/senarai-artikel/masalah-kesihatan-mental-kalangan-remaja-cabaran-dan-penyelesaian
3. https://www.sinarharian.com.my/article/748664/berita/nasional/kesihatan-mental-jadi-kebimbangan-utama-generasi-muda-di-malaysia—kajian-ipsos
4. https://iku.nih.gov.my/images/nhms2023/penemuan-utama-nhms-2023.pdf
5. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/adolescent-mental-health
6. https://files.kidsrights.org/wp-content/uploads/2025/06/10223817/KidsRights-Index-2025-Report.pdf
#KesihatanMentalRemaja #KesihatanMental