Kapitalisme Menyuburkan Sindiket Dadah
Pada 23 Disember 2025, pihak polis telah berjaya membongkar satu kegiatan jenayah sindiket dadah yang melibatkan tiga warga asing dan seorang lelaki tempatan. Sindiket tersebut dikesan membina sebuah makmal dadah haram di sebuah kebun durian di Telok Bahang, Pulau Pinang. Kejayaan menumpaskan sindiket ini merupakan hasil kerjasama antara Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman dan Polis Diraja Malaysia Kontinjen Pulau Pinang. Pihak polis turut berjaya merampas syabu seberat 1.2 tan yang dianggarkan bernilai hampir RM38 juta dalam operasi tersebut. (Sinar Harian Online, 23/12/25)
Kes ini secara tidak langsung mencetuskan persepsi bahawa Malaysia semakin terdedah untuk dijadikan hab pengeluaran dan pengedaran dadah. Jika dikaji dengan lebih mendalam, kewujudan sindiket dadah di negara ini jelas berpunca daripada permintaan yang tinggi terhadap dadah dalam pasaran. Permintaan yang berterusan telah mendorong sindiket dadah untuk terus meningkatkan penawaran bagi memenuhi kehendak pasaran tersebut.
Aktiviti pengedaran dadah menjanjikan keuntungan yang lumayan. Maka pihak yang terlibat dengan aktiviti sindiket dadah sanggup mengambil pelbagai risiko undang-undang. Malah mereka juga menggunakan pelbagai taktik dan helah bagi memastikan kegiatan haram tersebut dapat diteruskan. Langkah ini diambil bagi memastikan jaminan kelangsungan penawaran dadah supaya permintaan dalam pasaran sentiasa wujud.
Dalam sistem yang `berkiblatkan’ keuntungan (kapitalisme) pada hari ini, banyak bermunculan pengedar dan penagih dadah dalam pelbagai bentuk. Peningkatan dunia pasaran gelap (black market) dadah tidaklah menghairankan kerana ia selari dengan prinsip penawaran dan permintaan yang menjadi tunjang ekonomi kapitalis yang diterapkan dalam hari ini. Apabila permintaan terhadap sesuatu barangan meningkat, penawaran akan turut ditingkatkan. Begitu juga dengan dadah. Maka, selagi wujud permintaan, dadah dilihat sebagai komoditi bernilai tinggi yang boleh menjana keuntungan berganda, tanpa mempertimbangkan mafsadatnya terhadap individu dan masyarakat.
Tambahan pula, dalam sistem ekonomi kapitalisme, pertimbangan halal haram sesuatu perkara bukanlah asas utama dalam aktiviti ekonomi, sebaliknya diserahkan kepada pilihan individu. Keadaan ini menyebabkan penjenayah tidak rasa bersalah untuk melanggar undang-undang kerana lebih tergiur dengan pulangan lumayan daripada transaksi gelap tersebut. Kebebasan bertingkahlaku yang diakui oleh sistem ini juga membolehkan individu bebas melakukan perbuatan mereka tanpa terikat kepada hukum syariat Islam.
Sebaliknya, Islam telah menetapkan halal dan haram sebagai tolok ukur dalam setiap perbuatan individu. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 168,
“Wahai manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”
Selain itu, ada hadis daripada Ummu Salamah, ia berkata, “Rasulullah SAW melarang dari segala yang memabukkan dan mufattir (yang membuat lemah).” (HR Abu Daud Nombor 3686 dan Ahmad 6: 309).
Dengan demikian, dadah hukumnya haram kerana dikategorikan zat yang memabukkan dan membuat lemah. Keharaman dadah juga berdasarkan kaedah fikih, “Al-ashlu fi al-madhaar at-tahrim (hukum asal benda yang berbahaya [mudarat] adalah haram).” (Taqiyuddin an-Nabhani, Asy-Syakhshiyah al-Islamiyah, 3/457).
Berbeza dengan sistem Islam, sistem sekular kapitalis tidak meletakkan dadah sebagai isu halal haram, sebaliknya dilihat dari sudut kebebasan individu dan nilai ekonomi. Keadaan ini membuka ruang kepada pihak tertentu untuk menjadikan dadah sebagai sumber keuntungan, sekaligus menyuburkan lagi sindiket dadah.
Keadaan ini menjadi semakin parah apabila sistem penguatkuasaan sedia ada tidak berjaya mengekang jenayah di black market yang sedia meruncing. Hukuman yang dikenakan sering dilihat tidak cukup berkesan untuk mencegah jenayah daripada berulang. Sistem hukuman pada hari ini lebih bersifat `menghukum’ tetapi gagal mendidik dan memberi pengajaran yang mendalam kepada masyarakat. Akibatnya, apabila satu sindiket berjaya ditumpaskan, sindiket lain pula muncul. Situasi ini berpunca daripada paradigma kehidupan yang salah, hasil daripada sistem kapitalisme yang mengutamakan keuntungan material semata-mata.
Hakikatnya, jenayah sindiket dadah tidak akan dapat diselesaikan sepenuhnya dan akan terus merosakkan generasi selagi sistem kehidupan tidak berteraskan syariat Islam. Islam bukan sahaja menekankan aspek halal haram, malah membina keseluruhan sistem kehidupan berasaskan maqasid syariah demi memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Wallahu’alam.
Ainul Amali
Lajnah I’lamiyyah MHTM
Link berita:
#bahayadadah