Peringatan Kepada Umat Islam dalam Mengurangkan Rasuah
Oleh: Syamsiyah Jamil
Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman memperingatkan umat Islam tentang peranan mereka dalam mengurangkan rasuah.
“Orang Islam itu sendiri juga memainkan peranan penting bila kita bincang mengenai rasuah. Mereka patut memainkan peranan untuk mengurangkan rasuah,” ujarnya dalam program Kupas Tuntas bersama Jurucakap HTM dengan tajuk Demokrasi: Sistem Yang Menyuburkan Rasuah, Jumaat (28/11/2025)
Beliau menerangkan, peranan umat Islam sendiri adalah antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam isu rasuah selain daripada pemimpin yang terlibat dalam rasuah dan sistem yang memang telah rosak yang menyuburkan lagi rasuah. Pertama, umat Islam sepatutnya berhenti menyokong pemimpin sebegini.
“Kalau mereka sudah tahu pemimpin mereka ini rasuah, mengapa mereka perlu memilih pemimpin seperti ini? Ini adalah masalah apabila masih ada pemimpin yang sudah terbukti rasuah, tapi masih ada penyokong-penyokong dia daripada kalangan umat Islam,” katanya.
Lanjutnya, “Jadi ini tidak akan membantu untuk mengurangkan rasuah kalau umat Islam masih lagi memilih atau menyokong pemimpin yang sudah terkenal rasuah ini.”
Beliau menegaskan bahawa umat Islam patut menolak pemimpin yang terlibat dengan rasuah dan menasihati mereka.
“Jadi apa yang sepatutnya dilakukan oleh umat Islam adalah menolak pemimpin-pemimpin seperti ini, berikan nasihat, memberikan ancaman kepada mereka berkenaan dengan dosa dan pahala, syurga dan neraka, kepada pemimpin-pemimpin perasuah ini,” jelasnya.
Kedua, beliau mengatakan, umat Islam mempunyai peranan dalam usaha untuk menggantikan sistem demokrasi dengan sistem Islam.
“Lebih daripada itu, kita dah bincang tadi bagaimana sebenarnya untuk membanteras rasuah ini, kita perlukan satu sistem yang lain untuk menggantikan sistem demokrasi sedia ada dengan sistem Islam. Di sinilah peranan umat Islam untuk berusaha mewujudkan sistem Islam, berusaha untuk mewujudkan daulah Islam” ucapnya.
Lanjutnya, “Daulah Khilafah yang akan melaskanakan hukum Islam, yang akan menerapkan hukum daripada al-Quran dan as-Sunnah, yang inshaAllah dengan penerapan itulah kita yakin kes rasuah ini dapat dibendung. Kalau tidak dapat dihapuskan sepenuhnya pun, insyaAllah dia akan dapat dikurangkan dengan begitu banyak,” ujarnya.
Beliau mengatakan demikian kerana yakin dengan jaminan daripada Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat ke-96.
“Ini merupakan jaminan daripada Allah SWT sendiri apabila agama Islam itu diterapkan atau undang-undang Islam diterapkan secara kaffah dalam satu satu negeri dan penduduk negeri adalah penduduk yang beriman dan bertakwa kepada Allah, maka Allah akan melimpahkan berkat Allah, rahmat rahmat Allah kepada negeri yang berkenaan,” jelasnya.
Beliau menyimpulkan, penerapan Islam dalam sebuah negeri dapat mengurangkan kejahatan termasuk rasuah.
“Islam sebagai agama bersifat rahmatan lil alamin. Sekiranya Islam itu diterapkan, rakyat bertakwa, maka berkah daripada Allah itu, rahmat daripada Allah itu datang dengan cara segala bentuk kejahatan termasuklah rasuah insyaAllah akan dapat dikurangkan jika ia tidak boleh dimansuhkan,” tutupnya.
Sumber:
https://www.facebook.com/share/v/1BSPnBrnPm/