Hanya Sistem Islam Solusi Masalah Rasuah
Oleh: Syamsiyah Jamil
Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman menegaskan bahawa hanya sistem Islam yang boleh memberikan solusi kepada masalah rasuah.
“Kalau kita nak ganti sistem, maksudnya kita menggantikan sistem sedia ada dengan sistem Islam sebab sistem Islam yang hanya boleh berikan solusi kepada masalah rasuah,” katanya dalam program Kupas Tuntas bersama Jurucakap HTM dengan tajuk Demokrasi: Sistem Yang Menyuburkan Rasuah, Jumaat (28/11/2025)
Beliau berpendapat bahawa masalah rasuah perlu kepada penyelesaian daripada luar sistem yang ada saat ini.
“Kalau kita nak bincang penyelesaian rasuah ini dalam sistem yang ada sekarang, memang takkan dapat diselesaikan. Sudah terbukti gagal. Jadi nak tak nak, penyelesaiannya di luar daripada sistem sekarang,” jelasnya.
Beliau menerangkan bahawa sistem Islam yang diterapkan berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah akan melahirkan orang yang baik.
“Apabila Islam itu diterapkan secara kaffah, dia akan melahirkan suasana yang Islamik, suasana negara yang bertakwa,” ujarnya.
Beliau memberikan contoh negara Madinah. “Rasulullah kata Madinah itu macam tungku api. Maknanya dia akan mengeluarkan perkara-perkara yang buruk daripada dia, yang ada itu yang baik semua,” katanya.
Beliau berkongsi dua cara bagaimana sistem Islam boleh menyelesaikan masalah rasuah. Pertama, masyarakat sentiasa hidup dalam suasana amar makruf nahi mungkar.
“Individu dan masyarakat yang hidup dalam negara Islam adalah individu dan masyarakat yang hidup dalam suasana amar makruf nahi mungkar,” ujarnya.
Tambahnya, “Mereka adalah orang yang sentiasa memberi nasihat, memberi amaran, memberikan ancaman kepada orang lain.”
Beliau mengatakan, sistem Islam membenarkan masyarakat membuat aduan terhadap pegawai negara.
“Sistem itu membolehkan individu dan masyarakat mengadu salah laku pegawai negara. Boleh mengadu kepada Khalifah atau wakil khalifah, atau kepada Majlis Umat atau kepada Mahkamah Madzalim,” terangnya.
Beliau menunjukkan contoh di zaman Rasulullah SAW dan Saidina Umar AS. “Rasulullah dan juga Umar, apabila masing-masing menjadi ketua negara, mereka mendengar pengaduan daripada rakyat dan mereka mengambil tindakan,” ucapnya.
Beliau menjelaskan, Mahkamah Madzalim akan memantau pegawai negara dan boleh mengambil tindakan. “Mahkamah Madzalim ini specialnya, dia tidak semestinya menunggu aduan sebab Mahkamah Madzalim adalah mahkamah yang akan monitor Khalifah dan juga monitor pegawai negara dalam menjalankan kewajipan mereka,” tegasnya.
Lanjutnya, “Kalau ada yang langgar, ada yang fasiq, Mahkamah Madzalim walaupun tanpa aduan, dia boleh terus mengambil tindakan sampai ke tahap memecat seseorang Khalifah yang melakukan kefasikan.”
Kedua, dalam sistem Islam, pegawai negara akan diberikan nasihat semasa pelantikannya.
“Rasulullah sebagai ketua negara, Umar sebagai ketua negara, kalau nak melantik pemimpin, nak melantik orang bawah dia, dia akan melantik pegawai yang sudah dipastikan pegawai yang paling bertakwa, pegawai yang paling amanah. Dia memberikan nasihat dan memberikan amaran kepada pegawai dia supaya berlaku baik, berlaku jujur, berhukum dengan hukum Allah dan sebagainya,” jelasnya.
Sambungnya, “Ada pemantauan yang berterusan, ada amaran. Macam Umar, memang dia sentiasa memantau pegawai yang dilantik, dia pantau secara berterusan dan panggil pegawai, ada perjumpaan dengan pegawai dia. Kalau ada yang buat salah, akan ditegur, akan diambil tindakan,” ujarnya.
Beliau menceritakan, Saidina Umar AS melakukan audit terhadap pegawainya. “Umar lagi istimewa. Umar ada audit, audit pegawai dia, dia audit secara berkala. Dia akan tanya, dia akan check harta pegawai dia,” tuturnya.
Akhir sekali, beliau mengatakan, jika didapati harta pegawai terlebih daripada sepatutnya, maka Baitul Mal akan mengambil harta tersebut.
“Ada auditing yang berterusan bagi memastikan pegawai dia tidak melakukan atau pun mengambil harta yang bukan miliknya,” akhirinya.
Sumber:
https://www.facebook.com/share/v/1BSPnBrnPm/