Penyebab Rasuah Bukan Ketakwaan Individu Semata-mata.
Oleh: Syamsiyah Jamil
Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman menyatakan bahawa penyebab rasuah bukanlah ketakwaan individu semata-mata.
“Persoalannya adakah kesalahan rasuah ini, penyebab rasuah ini, ketakwaan individu semata mata? Jadi jawapannya sudah pasti tidak. Jadi, kalau ada orang yang menyatakan ini kesalahan individu semata-mata, tidak ada kena mengena dengan perkara lain, kita boleh pertikaikan pendapat yang sedemikian,” katanya dalam program Kupas Tuntas bersama Jurucakap HTM dengan tajuk Demokrasi: Sistem Yang Menyuburkan Rasuah, Jumaat (28/11/2025)
Beliau mengakui bahawa kehilangan takwa kepada Allah SWT merupakan satu faktor utama berlakunya rasuah.
“Ketakwaan individu ini merupakan satu faktor utama kepada berlakunya rasuah. Kehilangan takwa, tidak ada ketakutan kepada Allah SWT pada individu, kemudian individu tersebut boleh melakukan apa saja kemaksiatan termasuklah rasuah,” jelasnya.
Beliau memperlihatkan bahawa kepimpinan negara atau pun orang politik yang terlibat dengan rasuah sememangnya berkaitan dengan hilangnya ketakwaan dalam diri.
“Mereka memegang jawatan dengan khianat. Mereka tidak amanah dalam memegang jawatan,” tuturnya.
Namun, beliau menambah, rasuah juga berlaku hasil daripada mentaliti bahawa rasuah adalah perkara biasa.
“Sebab dah terbiasa dalam negara atau pun dalam suasana kerja, suasana politik yang menerima rasuah, jadi menerima rasuah itu merupakan satu perkara yang dianggap sebagai biasa. Yang tidak terima atau pun yang tidak memberi rasuah pula yang dianggap sebagai pelik,” jelasnya.
Lanjutnya, persekitaran tempat kerja juga mempengaruhi individu untuk terjebak dengan rasuah.
“Kalau persekitaran tempat kerja memang rasuah, kawan-kawan di sekeliling dia memang kerjanya ambil rasuah, jadi dia akan terjebak dengan perkara yang sama,” ujarnya.
Beliau juga memandang bahawa karenah birokrasi dalam sektor kerajaan iaitu sistem pentadbiran yang berlapis-lapis dan tidak cekap turut menjadi faktor penyumbang.
“Karenah birokrasi dalam kerajaan sendiri. Oleh kerana adanya sistem kelulusan daripada kerajaan, yang pegang kuasa dia berhak untuk meluluskan. Jadi orang nak sesuatu, nak bagi kelulusan, dia menyalahgunakan kedudukan dia untuk mendapatkan bayaran yang dikenali sebagai rasuah ini,” jelasnya.
Tambahnya, rasuah juga subur kerana lemahnya penguatkuasaan undang-undang.
“Penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga akan menjadi faktor kepada maraknya rasuah. Orang curi susu untuk bagi anak minum, kena penjara 10 tahun, ambil rasuah billion-billion dipenjarakan tiga tahun,” terangnya.
Beliau mengungkapkan, sistem yang mentadbir negara ini juga menjadi faktor suburnya rasuah.
“Sistem yang mengawal selia dan sistem yang mentadbir negeri ini adalah sistem demokrasi sekular yang memisahkan agama daripada kehidupan, menyebabkan siapa sahaja yang mengawal sistem ini, dia tidak perlu berpegang kepada agama. Sebab memang kerajaan terpisah daripada agama,” ujarnya.
Tambahnya, kerana itulah rasuah berlaku dalam kalangan individu yang berada dalam pemerintahan iaitu daripada peringkat bawah sehingga ke peringkat atas.
“Perdana Menteri yang sebelum sebelum ini , telah terbukti pun menerima rasuah. Jadi ia berlaku di semua peringkat,” ungkapnya.
Beliau juga menyatakan bahawa sistem demokrasi juga menyebabkan suburnya rasuah sehingga rasuah menjadi satu skandal yang besar.
“Rasuah ini jadi macam satu industri, industri rasuah. Jadi banyak pihak yang berkaitan dan macam-macam perkara dia punya kompleksiti sehingga kes rasuah itu muncul. Jadi dia tidak muncul begitu sahaja, tapi ada skandal,” tegasnya.
Beliau menyimpulkan bahawa rasuah tidak boleh dipisahkan daripada sistem atau ideologi yang mempengaruhi seseorang iaitu ideologi kapitalisme.
“Aku minta rasuah, aku dapat manfaat, halal haram tidak peduli, yang penting dapat duit walaupun duit itu haram. Itu cara berfikir kapitalisme,” simpulnya.
Sumber:
https://www.facebook.com/share/v/1BSPnBrnPm/