105 TAHUN UMAT ISLAM TANPA KHILAFAH
MENGANGKAT SEORANG KHALIFAH ADALAH KEWAJIPAN YANG PALING UTAMA
Di saat kewafatan baginda (saw), ada banyak perkara yang sangat mendesak untuk diselesaikan segera oleh kaum Muslimin iaitu:
1. Pengurusan jenazah baginda (saw);
2. Pasukan Usamah yang dihantar oleh Rasulullah (saw) sebelum baginda wafat, apakah perlu diteruskan atau tidak?;
3. Tindakan ke atas beberapa suku yang murtad? Ini kerana kebanyakan mereka masuk Islam bukan kerana keimanan, tetapi kerana faktor lain. Lalu ketika Rasulullah (saw) wafat, mereka terus murtad;
4. Siapa yang akan menjadi pemimpin umat Islam, menggantikan Rasulullah (saw)?
Empat hal di atas merupakan antara perkara mendesak yang perlu diselesaikan segera oleh kaum Muslimin pada waktu itu. Persoalannya, perkara manakah yang perlu didahulukan untuk diselesaikan?
Apakah masalah jihad pasukan Usamah yang mesti didahulukan kerana jihad adalah puncak ajaran Islam? Tetapi masalahnya, siapakah yang akan memutuskan perkara itu?
Apakah masalah orang-orang murtad harus diselesaikan terlebih dahulu? Sebab, ini adalah masalah akidah, yakni sesuatu yang paling asas dalam Islam yang menentukan keimanan dan kekufuran seseorang. Tetapi, masalahnya, siapakah yang akan memutuskan?
Apakah mengurus jenazah Nabi (saw) perlu dilakukan terlebih dahulu? Sebab menguruskan jenazah merupakan fardhu dan perlu disegerakan, apatah lagi jenazah yang ingin diuruskan itu ialah adalah jenazah Rasulullah (saw) sendiri, jenazah manusia yang paling mulia di muka bumi.
Daripada banyak masalah yang mendesak itu, ternyata yang dipilih oleh para sahabat untuk diselesaikan terlebih dahulu ialah masalah mengangkat seorang Khalifah sebagai pengganti Rasulullah (saw), yakni masalah kepemimpinan ke atas seluruh umat Islam.
Para sahabat berkumpul di Tsaqifah Bani Sa’idah untuk membicarakan siapakah yang akan menggantikan Rasulullah (saw) sebagai pemimpin umat Islam, dan yang akan membuat keputusan dalam seluruh perkara. Setelah bermesyuarat dan berdiskusi panjang lebar dengan penuh keseriusan yang mengambil masa selama 3 hari, maka akhirnya para sahabat memilih Abu Bakar (ra) sebagai Khalifah yang akan pemimpin seluruh umat Islam. Setelah pelantikan Abu Bakar (ra), barulah jenazah Rasulullah (saw) diuruskan sehingga sempurna, setelah tertangguh sehingga memasuki hari ketiga kewafatan baginda. Setelah terlantiknya Abu Bakar (ra) sebagai Khalifah, kemudian satu demi satu masalah diselesaikan berdasarkan keputusan seorang Khalifah.
Perkara ini (pelantikan Khalifah) tidak akan berlaku lebih dulu sekiranya pelantikan Khalifah itu tidak penting. Namun ternyata para sahabat mendahulukan pengangkatan seorang Khalifah berbanding menguruskan jenazah Rasulullah (saw). Padahal boleh sahaja sebahagian sahabat menguruskan jenazah Rasulullah (saw) sementara sebahagian yang lain membincangkan tentang pelantikan Khalifah. Namun, hakikatnya tidak demikian. Semua sahabat sepakat (ijma’) bahawa menguruskan pelantikan Khalifah lebih utama berbanding menguruskan jenazah Rasulullah (saw) dan berbanding menguruskan perkara-perkara lain. Inilah ijma’ as-Sabahat, dan ia merupakan sumber hukum yang ketiga dalam Islam.