[Politik Ekonomi Islam] Kerosakan Sistem Kapitalisme (Bahagian 3/3)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
Sambungan daripada Bahagian 2/3
Asas sistem kapitalisme telah menyingkirkan unsur kerohanian dan nilai akhlak daripada kehidupan manusia. Ia menjadikan kehidupan berteraskan kebendaan semata-mata, dengan asas perjuangannya tertumpu kepada usaha material bagi memperoleh alat pemuas keperluan yang juga bersifat material. Inilah hakikat yang berlaku di negara-negara Barat, dan ia turut mendominasi negeri-negeri Islam setelah sistem kapitalis diterapkan di sana.
Apabila peningkatan pendapatan negara dijadikan asas utama, manakala rakyat diberi kebebasan mutlak dalam pemilikan serta bekerja untuk menghasilkan dan memperoleh harta tanpa mengambil kira aspek pengagihan kepada individu, maka hal ini mendorong manusia untuk mendapatkan harta dengan apa jua cara, sama ada melalui penipuan dan pembohongan, perjudian dan monopoli, ataupun melalui riba, sama ada berlipat ganda mahupun tidak. Ada juga yang memperoleh keuntungan daripada barangan haram seperti arak, ganja atau candu, atau melalui pekerjaan seperti tarian, silap mata dan seumpamanya.
Semuanya dilakukan atas nama kebebasan mutlak dalam pemilikan dan pekerjaan, sehingga seseorang bebas memperoleh kekayaan dengan cara apa pun yang diinginkannya. Akibatnya, berlakulah kerosakan hubungan antara sesama manusia, penurunan martabat manusia ke taraf haiwan, dan lenyapnya nilai-nilai luhur di tengah-tengah manusia.
Inilah wajah sebenar sistem kapitalisme dan hasilnya. Sistem ini menggambarkan masalah ekonomi secara songsang; bukan sebagai masalah masyarakat yang berkaitan dengan hubungan antara manusia dan pembahagian kekayaan dalam kalangan mereka, tetapi sebagai masalah pengeluaran semata-mata. Justeru, ia memberi kebebasan dalam pemilikan dan pekerjaan bagi menghasilkan serta memperoleh kekayaan. Dengan cara ini, sistem kapitalisme bukan menyelesaikan masalah ekonomi, malah memperdalamkan kezaliman dan menghapuskan nilai-nilai luhur.
Sistem ini mengehadkan kekayaan di tangan golongan kuat dan mereka yang hanya mementingkan nilai kebendaan, sementara golongan lemah dinafikan hak mereka. Mereka yang berpegang teguh kepada nilai-nilai luhur, sama ada nilai rohani, akhlak mahupun maknawi, tidak mudah memperoleh kekayaan. Kapitalisme menjadikan kehidupan ekonomi sebagai asas kepada kehidupan manusia dan hubungan sosialnya, malah membina prinsip-prinsip akhlak berasaskan kehidupan ekonomi semata-mata. Kehidupan dilihat tidak lebih daripada barangan dan perkhidmatan, iaitu bersifat kebendaan semata-mata.
Sebaliknya, bukannya menangani kemiskinan dan kekurangan yang menimpa individu, sistem ini malah menumpukan perhatian kepada kemiskinan dan kekurangan pada peringkat masyarakat secara umum. Hal ini demikian kerana sesuatu masyarakat tidak mungkin bebas sepenuhnya daripada golongan yang lemah serta mereka yang berpegang teguh pada nilai-nilai mulia. Golongan seperti ini akan tetap berada dalam kemiskinan selagi asas sistem ekonominya bertumpu pada peningkatan pendapatan negara, sedangkan kekayaan dibiarkan tertumpu dalam kalangan mereka yang berdaya merebutnya. Akibatnya, golongan kuat memperoleh kekayaan melalui kekuatannya, manakala golongan lemah, kerana kelemahannya, terus tersisih. Inilah hakikat yang memperdalam kemiskinan sehingga menjadi ciri yang tidak dapat dipisahkan daripada sistem kapitalisme.
Lebih daripada itu, sistem ini meletakkan kekuasaan negara di tangan golongan kaya, sekaligus memberi mereka keupayaan untuk mengawal dan memperhambakan manusia lain. Oleh sebab itu, di negara-negara Barat yang menganut sistem kapitalisme, iaitu sistem yang menjadikan peningkatan pendapatan negara sebagai asas ekonomi, serta membiarkan setiap individu mengambil sebanyak mungkin berdasarkan kekuatannya, muncullah monopoli oleh golongan pemilik modal. Golongan pengeluar inilah yang menindas pengguna melalui penguasaan terhadap syarikat-syarikat besar seperti syarikat minyak, automobil, industri berat dan seumpamanya. Mereka menguasai majoriti pengguna, memanipulasi mereka, serta memaksa mereka menerima harga-harga barangan mengikut kehendak mereka.
Fenomena inilah yang mendorong kebangkitan sosialisme dan lahirnya konsep keadilan sosial, sebagai usaha menampal kelemahan sistem kapitalis dan mengurangkan kezaliman dan penderitaan yang ditimpakannya ke atas masyarakat.
Inilah hakikat propaganda yang menyeru agar pertumbuhan pendapatan negara (national income) dijadikan asas sistem ekonomi kapitalisme. Begitu juga, propaganda yang menyeru pelaksanaan perancangan dan pembangunan ekonomi sebenarnya merupakan usaha untuk menjadikan asas sistem kapitalisme sebagai asas bagi sistem ekonomi kita (umat Islam). Begitu juga, menjadikan corak kehidupan ekonomi kapitalistik sebagai asas kepada kehidupan dan interaksi antara sesama manusia.
Hasil daripada propaganda ini ialah kezaliman terhadap majoriti manusia yang lemah, kemiskinan yang semakin parah di tengah-tengah masyarakat, serta lenyapnya nilai-nilai luhur. Oleh itu, jelaslah betapa besar bahaya yang terkandung dalam propaganda ini terhadap umat dan masyarakat. Propaganda ini bukan sahaja berbahaya, malah terselubung. Tujuan sebenarnya ialah untuk mengekalkan sistem kapitalisme yang sedang menuju kehancuran, serta megukuhkan semula pengaruh negara-negara kafir di negeri-negeri Islam selepas kekuasaan mereka hampir lenyap dan negeri-negeri Islam berada di ambang pembebasan.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.