[Politik Ekonomi Islam] Kerosakan Sosialisme Negara (Bahagian 1/3)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
Sosialisme yang mereka propagandakan, yang dinamakan oleh sebahagian pemimpin negara-negara Arab sebagai sosialisme Arab, sebenarnya adalah salah satu bentuk sosialisme yang dinamakan sebagai sosialisme negara. Sosialisme negara adalah pemikiran busuk, yang baunya cukup membuat hidung merasa jijik terhadapnya.
Eropah, yang telah membawa pemikiran ini, akhirnya berpaling daripadanya. Malah, Eropah tidak suka menyebut namanya sekalipun. Ini berlaku setelah jelas kelihatan kebusukannya serta baunya telah merebak ke merata tempat. Lebih daripada itu, pemimpin-pemimpin Mesir yang cuba menerapkan sosialisme negara ini telah mengambil pendekatan dengan meletakkan kuda di belakang kereta kuda supaya bergerak ke hadapan. Dalam erti kata lain, mereka mendahulukan langkah kedua sebelum langkah pertama.
Mereka ingin menerapkan sosialisme, sedangkan golongan sosialis sendiri belum mampu merealisasikannya. Oleh itu, mereka hanyalah berkumpul di sekitar pemikiran yang busuk dan mustahil untuk diterapkan. Secara lebih terperinci, kemunculan sosialisme adalah akibat daripada kezaliman yang dialami oleh masyarakat di negara-negara kapitalis, iaitu Eropah dan Rusia, akibat penerapan sistem kapitalisme.
Mereka melihat bahawa kezaliman ini berlaku kerana ketidakadilan dalam pemilikan individu di kalangan manusia. Oleh itu, mereka mula berbincang tentang isu pemilikan. Sebahagian daripada mereka berpendapat tentang perlunya kesamaan secara rule dari segi pemilikan. Golongan ini terbahagi kepada tiga kelompok.
Pertama, kelompok yang berpendapat tentang perlunya kesamaan matematik, iaitu perlunya kesamaan dalam semua perkara yang mereka manfaatkan. Maksudnya, setiap individu diberikan sesuatu yang sama seperti yang diberikan kepada individu lain.
Kedua, kelompok yang berpendapat tentang perlunya kesamaan komunis, iaitu perlunya perhatian terhadap pembahagian pekerjaan berdasarkan kadar kemampuan setiap individu. Manakala, pembahagian hasil (produk) pula adalah mengikut keperluan masing-masing. Dalam pandangan kelompok ini, kesamaan (equality) dapat direalisasikan sekiranya prinsip, “Kerja bergantung kepada kekuatan atau kemampuan setiap individu, manakala pembahagian pendapatan berdasarkan keperluan masing-masing,” diterapkan.
Ketiga, kelompok yang berpendapat mengenai kesamarataan dalam aspek alat-alat pengeluaran. Hal ini disebabkan oleh barang-barang yang ada tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan setiap individu. Oleh itu, kaedah pengagihan perlu diwujudkan, iaitu “Kerja dilakukan berdasarkan kekuatan atau kemampuan setiap individu, sementara pengagihan pendapatan pula berdasarkan pekerjaannya.”
Kesamarataan ini boleh direalisasikan sekiranya setiap individu diberikan alat-alat pengeluaran yang sama seperti mana yang dimiliki oleh orang lain. Tambahan pula, kezaliman juga berlaku akibat hak pemilikan. Oleh itu, hak pemilikan mesti dihapuskan. Aliran-aliran dalam sosialisme mempunyai pandangan yang berbeza dalam isu penghapusan pemilikan individu ini. Ada sebahagian yang berpendapat bahawa hak pemilikan individu perlu dihapuskan secara mutlak.
Inilah doktrin sosialisme komunisme. Tujuannya adalah untuk mewujudkan kesaksamaan. Hal ini boleh direalisasikan jika diterapkan prinsip di atas, iaitu, “Kerja bergantung kepada kekuatan atau kemampuan setiap individu, manakala pengagihan pendapatan dilakukan mengikut keperluan masing-masing.”
Sebahagian pihak pula berpendapat bahawa perlu adanya penghapusan pemilikan individu, tetapi hanya yang berkaitan dengan kekayaan yang bersifat produktif. Ini sering dirujuk sebagai modal atau kapital, seperti tanah, kilang, laluan kereta api, perlombongan, dan sebagainya. Maksudnya, setiap barang yang boleh menghasilkan sesuatu secara khusus adalah dilarang untuk dimiliki.
Oleh itu, seseorang tidak boleh memiliki rumah, kilang, tanah, dan sebagainya untuk disewakan. Namun, mereka menjamin hak pemilikan individu terhadap kekayaan (barang-barang) yang bersifat konsumptif (barang pengguna). Maksudnya, mereka dibenarkan memiliki apa sahaja selagi ia untuk kegunaan peribadi, tetapi tidak boleh memilikinya untuk tujuan pengeluaran. Sebagai contoh, mereka boleh memiliki kereta untuk digunakan sendiri, tetapi tidak untuk disewakan.
Begitulah seterusnya. Inilah doktrin sosialisme kapitalisme. Doktrin ini boleh direalisasikan jika prinsip berikut diterapkan: “Kerja berdasarkan kekuatan atau kemampuan setiap individu, pendapatannya adalah mengikut pekerjaannya, sementara pembahagian pendapatannya adalah berdasarkan pekerjaannya.”
Inilah doktrin yang telah diterapkan di Rusia menurut pemikiran Karl Marx dengan beberapa interpretasi daripada Nikolai Lenin (1870-1924), Joseph Stalin (1879-1953), dan kemudiannya Khrushchev (Nikita Sergeyevich, 1894-1971) sehingga komunisme benar-benar dapat diwujudkan.
Sebahagian orang pula berpendapat tentang perlunya penghapusan pemilikan individu yang khusus berkaitan dengan tanah pertanian sahaja, tidak membabitkan aspek yang lain. Mereka yang berpendapat sedemikian adalah golongan pendukung sosialisme pertanian.
Sebenarnya, semua mazhab sosialisme ini adalah manifestasi daripada pelbagai jenis sosialisme sejati yang lahir akibat kezaliman luar biasa yang berlaku dalam sistem kapitalisme. Oleh itu, setelah sampai kepada pemikiran sosialisme, mereka membincangkan kaedah untuk menerapkannya. Kemudian, dibuatlah kaedah penerapan bagi pemikiran tersebut.
Kelompok yang menamakan diri mereka sebagai sindiket revolusioner ini kemudiannya menyokong penggunaan (cara) yang dinamakan sebagai kerja langsung, iaitu dengan menggunakan tenaga para pekerja itu sendiri. Mereka melakukan banyak aksi mogok secara sporadik, merosakkan alat-alat, menyebarkan idea mogok besar-besaran dalam kalangan para pekerja, serta membuat persiapan untuk merealisasikan semua itu.
Kemudian Marxisme datang dengan membawa konsep yang dikenali sebagai evolusi masyarakat atau turut disebut sebagai kaedah konflik. Sejak wujudnya pemikiran (konsep) ini dan kaedah penerapannya, maka bermulalah gerakan penentangan terhadap kapitalisme. Kemudian lahirlah doktrin sosialisme ketiga yang dinamakan sebagai sosialisme negara.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #EkonomiIslam #Kapitalisme #Sosialisme
