Polemik LGBTQ, Hak Asasi Atau Perosak Nilai?
Berita:
Baru-baru ini, Malaysiakini melaporkan pandangan Justice for Sisters (JFS), sebuah kumpulan hak asasi manusia yang memperjuangkan hak LGBTIQ dan golongan gender-diverse di Malaysia, bahawa tahun 2025 adalah antara tempoh paling buruk bagi komuniti LGBTQ di negara ini. Menurut catatan yang disiarkan JFS, lebih 307 tangkapan dilaporkan antara Januari hingga Disember 2025, berdasarkan alasan berkaitan orientasi seksual, identiti jantina dan ekspresi jantina. JFS menyatakan bahawa tangkapan ini dibuat di bawah undang-undang persekutuan dan undang-undang syariah negeri, yang dilihatnya sebagai pelaksanaan yang tidak konsisten, sewenang-wenangnya dan kerap bergantung kepada aduan awam berprasangka. Laporan itu menunjukkan Kuala Lumpur mencatat tangkapan tertinggi, diikuti oleh beberapa negeri lain termasuk Pahang, Kelantan, Pulau Pinang dan Terengganu. JFS turut mengkritik tindakan penguatkuasaan ini kerana, kata mereka, ia meningkatkan stigma terhadap komuniti LGBTQ dan menjejaskan akses mereka kepada perkhidmatan kesihatan seperti pencegahan HIV.
Komentar:
Tanpa menafikan hak terhadap perubatan dan perkhidmatan kesihatan yang sememangnya wajar diberikan akses kepada semua golongan tanpa sebarang diskriminasi, adalah penting untuk semua pihak memperbetulkan perspektif dalam menilai isu LGBTQ. Semua lapisan masyarakat, termasuk NGO dan parti-parti politik, perlu melihat permasalahan ini secara lebih mendasar dan menyeluruh, bukan sekadar tertumpu kepada isu kebebasan berekspresi dan hak terhadap kesihatan semata-mata. Sebaliknya, perhatian hendaklah difokuskan kepada permasalahan asas gagasan ini yang berpotensi membawa kerosakan yang berakar umbi serta memberi kesan negatif kepada struktur dan kesejahteraan masyarakat. Lebih penting lagi, usaha menyelesaikan konflik yang sering dilabelkan sebagai isu ‘hak asasi’ ini sepatutnya berpaksikan kepada penyelesaian terhadap masalah pokok yang mencabar fitrah asal manusia dan akhirnya mengundang kemudaratan kepada individu itu sendiri.
Konsep `hak LGBTQ’ adalah narasi keliru
Konsep LGBTQ sebagai identiti yang sah dan berhak menuntut pengiktirafan adalah salah. Homoseksualiti dan ekspresi jantina, misalnya, adalah bercanggah dengan fitrah manusia dan bukanlah isu hak, tetapi isu perlakuan yang bertentangan dengan kemanusiaan dan hukum syarak. Oleh itu, keseluruhan gagasan perjuangan LGBTQ pada asasnya bermasalah, kerana mereka melihat penolakan terhadap ideanya sebagai bertentangan dengan hak asasi manusia. Padahal, penolakan terhadap gagasan ini penting untuk memelihara kesejahteraan dan kelestarian manusia itu sendiri.
Mengiktiraf hak LGBTQ boleh disamakan dengan memperjuangkan perilaku kaum Sodom pada zaman Nabi Luth, kerana ia menyimpang daripada fitrah manusia dan membawa pelbagai kerosakan, termasuk risiko penyakit berjangkit, masalah moral, penyelewengan terhadap pemahaman jantina, dan krisis identiti generasi. Kesan ini bukan sahaja memberi impak kepada individu, tetapi turut mengancam keseluruhan struktur masyarakat. Justeru tidak hairan mengapa kelompok ini dikategorikan sebagai melampau batas sebagaimana dinyatakan dalam Al Quran:
“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?. “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas“. (TMQ Al A’raf [7]: 80-81)
dan sebagai kelompok yang berbuat zalim, sebagaimana dinyatakan dari lisan Nabi Luth a.s. dalam doanya sendiri :
Nabi Lut berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tolonglah daku terhadap kaum yang melakukan kerosakan (menderhaka)“. Dan ketika datang (malaikat) utusan kami kepada Nabi Ibrahim dengan membawa berita yang mengembirakan), mereka berkata: “Sebenarnya kami hendak membinasakan penduduk bandar ini), sesungguhnya penduduknya adalah orang-orang yang zalim“. (TMQ Al-Ankabut [29]: 30-31)
Oleh itu, semua pihak baik individu, masyarakat,organisasi dan negara, sebenarnya bertanggungjawab mencegah serta membanteras kemungkaran yang jelas diharamkan dalam Islam ini. Kemungkaran kaum Sodom dahulu, yang membawa bencana kepada masyarakat, tiada bezanya dengan perilaku LGBT hari ini. Tindakan sedemikian adalah wajar jika kita benar-benar prihatin terhadap isu kesihatan dan hak asasi manusia secara keseluruhan, tanpa sebarang prejudis.
Masalah penguatkuasaan hari ini dan dasar sekular sebagai akar krisis moral
Di sisi lain, masalah penularan idea songsang dalam masyarakat hari ini juga berpunca daripada kelemahan sistem sedia ada dalam menanganinya. Walaupun pihak berkuasa mengambil pelbagai tindakan, penguatkuasaan undang-undang yang tidak konsisten dan gabungan undang-undang sivil sekular dengan undang-undang syariah negeri yang berasingan menimbulkan kekeliruan serta percanggahan. Kelemahan ini sebenarnya adalah bukti nyata bahawa sistem perundangan campuran yang diterapkan hari ini tidak efektif dan gagal untuk menangani salah laku seksual dan jenayah zina, termasuklah yang melibatkan hubungan songsang. Masalah ini bukan sekadar kelemahan teknikal, tetapi kegagalan struktural akibat sistem pemerintahan yang tidak berteraskan syariah secara menyeluruh. Pada hakikatnya, perundangan syariah yang haq sama sekali tidak boleh bercampur dengan yang batil. Maka tidak menghairankan bila sistem perundangan hari ni, berbanding menyelesaikan isu terkait LGBT, alih-alih menjadi `pelindung’ kepada kebejatan yang berlaku.
Selain itu, isu LGBTQ bukanlah isu terkait kelemahan penguatkuasaan oleh badan berwajib sahaja. Ini kerana, akar masalah terletak pada dasar negara yang mengamalkan ideologi sekular, yang memisahkan agama daripada kehidupan. Akibatnya, banyak masalah manusia tidak dapat diselesaikan secara tuntas. Sistem negara berteraskan sekular-kapitalisme hari ini juga memperlihatkan sisi hipokritnya yang mana, di satu sisi ia cuba mencegah budaya maksiat, tetapi di pihak lain ia membenarkan hiburan, media dan nilai liberal diamalkan dalam negara atas dalih hak kebebasan individu dan kebebasan berkespresi. Padahal, kecelaruan `hak kebebasan’ inilah yang membuka pelbagai pintu yang merosakkan masa depan generasi. Akibatnya juga, ia mewujudkan masyarakat yang keliru nilai, tidak tahu apa yang baik dan buruk, mana yang benar dan salah, manakala kemungkaran dicegah secara selektif dan tidak tangani dari akarnya.
Ketiadaan sistem Islam yang menyeluruh juga sebenarnya menyumbang kepada pendidikan nilai dan moral yang lemah dalam masyarakat. Apabila sistem negara hari ini tumbuh atas dasar yang keliru lagi salah, maka mana mungkin ia dapat mendidik masyarakat ke arah kebaikan dan ke jalan yang benar (yakni Islam). Syariat Islam sepatutnya menjadi panduan utama dalam menilai dan menangani persoalan manusia, termasuklah dalam isu seksualiti dan LGBTQ, yang mana telah diatur secara jelas dalam Al-Quran sejak berabad dahulu.
Oleh itu, suka atau tidak, kita sebenarnya memerlukan sistem Islam untuk membimbing masyarakat dan membentuk kesedaran secara berterusan, bukan sekadar bereaksi apabila isu menjadi sensasi awam.
NGO dan wacana hak asasi hanyalah topeng perjuangan
Gerakan hak LGBTQ lazimnya disokong oleh rangkaian organisasi di pelbagai negara, termasuk pertubuhan antarabangsa seperti ILGA World yang berperanan sebagai sebuah persekutuan global. ILGA World menghimpunkan lebih daripada 1,700 organisasi ahli dari pelbagai negara yang terlibat dalam advokasi hak asasi manusia berkaitan orientasi seksual dan identiti jantina. Walaupun tiada angka rasmi daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai jumlah keseluruhan NGO pro-LGBTQ di peringkat global, namun penglibatan ratusan hingga ribuan NGO dalam isu ini sering mendapat tempat dalam forum dan mekanisme hak asasi manusia antarabangsa, termasuk di bawah rangka kerja PBB.
Keberadaan badan-badan bebas dan wacana hak asasi mendukung idea LGBTQ yang berkembang pesat di pelbagai negara, termasuk Malaysia, pada hakikatnya hanyalah topeng yang memperjuangkan nilai salah sebagai benar. Mereka bertindak sebagai pemain utama memperjuangkan hak liberalisme individu mahupun kelompok, dan sering berselindung di sebalik narasi kesaksamaan gender dan diskriminasi. Walhal mereka menjadi medium yang menyusupkan kerangka hak asasi Barat agar diterima ke dalam masyarakat tempatan, termasuklah dikalangan umat Islam. Isu kesihatan awam, HIV, dan akses rawatan sering menjadi alasan untuk melunakkan atau meng`halal’kan perakuan terhadap perbuatan yang jelas dilarang oleh agama, sekaligus mengalih perhatian daripada pendekatan mendasar terhadap masalah ini. Perawatan dan pencegahan penyakit tidak boleh bahkan tidak wajar dijadikan justifikasi untuk menormalisasi perlakuan yang merosakkan dan haram, seperti zina, hubungan songsang, penyelewengan hakikat jantina, atau pertukaran jantina. Bahkan, sebenarnya dengan mencegah penyebaran idea LGBTQ itu sendiri adalah penawar paling berkesan untuk merawat masalah yang timbul akibat penganutan idea tersebut. Ini kerana, jika ideanya tidak dianut dan dibanteras dari awal, sudah pasti manusia terpelihara daripada risiko-risiko bawaannya.
Pentingnya kesedaran dan peranan masyarakat
Aduan awam oleh masyarakat sebenarnya menandakan masih wujudnya sensitiviti moral dalam kalangan rakyat. Namun, sensitiviti ini gagal diterjemahkan secara adil dan berprinsip kerana negara tidak memiliki kerangka ideologi Islam yang jelas dalam mengurus amar makruf nahi mungkar. Oleh itu, adalah penting bagi jemaah dan gerakan Islam terutamanya, untuk memberikan pemahaman dan pendidikan kepada masyarakat agar melihat isu LGBTQ melalui lensa yang benar, iaitu dari perspektif syariat, serta memahami akibat buruknya yang telah pun terbukti secara nyata melalui fakta perubatan dan moral.
Oleh yang demikian, selagi negara kekal dengan sistem sekular dan terus menimbang isu moral melalui lensa hak asasi Barat, maka polemik seputar isu LGBTQ akan terus berulang dan tidak dapat diselesaikan secara tuntas. Negara bukan sahaja gagal menyelamatkan generasi daripada pengaruh idea yang merosakkan, tetapi juga terus gagal memulihkan krisis moral sedia ada dalam masyarakat. Tugas kita hari ini bukan sekadar menasihati mereka yang memilih jalan salah agar kembali ke jalan yang benar, tetapi juga mencegah sesiapa pun daripada terjerumus dalam kemaksiatan tersebut. Untuk tujuan ini, usaha memperbetulkan sistem yang rosak hari ini adalah langkah penting yang tidak boleh diabaikan.
Aliya Ab Aziz
Lajnah I’lamiyyah MHTM
Rujukan berita:
- https://www.malaysiakini.com/news/764663?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook
- https://ilga.org/news/renewiesogi-hrc59-global-statement/?