Bolehkah Meneladani Nabi SAW Hanya Sebahagiannya Saja?
Oleh: KH. Hafidz Abdurrahman
Soalan:
Bagaimana hukum meneladani Nabi, apakah wajib atau sunnah? Jika wajib, apakah kewajipan meneladani Nabi SAW itu dalam seluruh aspek kehidupan, atau dalam urusan tertentu saja, sementara yang lain tidak?
Jawapan:
Sebelum menjawab pertanyaan ini, pertama-tamanya kita perlu memahami di mana kedudukan Nabi SAW dalam konteks tasyrii’, juga tujuan Allah SWT mengutus Nabi SAW Di dalam al-Quran banyak nas yang menjelaskan bahawa Nabi SAW diutus oleh Allah SWT untuk membawa petunjuk dan risalah:
هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٣٣
”Dialah Yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun kaum musyrik tidak suka”. (TMQ at-Taubah [9]: 33).
Kerana itu tugas Nabi SAW adalah menyampaikan risalah:
مَّا عَلَى ٱلرَّسُولِ إِلَّا ٱلۡبَلَٰغُۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مَا تُبۡدُونَ وَمَا تَكۡتُمُونَ ٩٩
”Kewajipan Rasul tidak lain hanyalah menyampaikan (risalah). Allah mengetahui apa yang kalian nyatakan mahupun yang kalian sembunyikan”. (TMQ al-Maidah [5]: 99).
Nabi SAW sekaligus ditugaskan untuk menjelaskan risalah itu sehingga risalah tersebut dapat diterapkan dalam kehidupan:
وَمَآ أَنزَلۡنَا عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ إِلَّا لِتُبَيِّنَ لَهُمُ ٱلَّذِي ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٗ لِّقَوۡمٖ يُؤۡمِنُونَ ٦٤
”Kami tidak menurunkan kepada kamu al-Kitab (al-Quran) ini, melainkan agar kamu jelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan itu, dan agar (al-Quran itu) menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (TMQ an-Nahl [16]: 64).
Kerana itu, sebelum ada Nabi SAW dan penjelasan yang disampaikan, belum ada syariah yang berlaku, sehingga manusia melakukan apa yang menjadi pilihan mereka. Jika salah pun tidak ada hukuman atas dirinya. Allah SWT berfirman:
وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبۡعَثَ رَسُولٗا ١٥
”Kami tidak akan mengazab (manusia) sebelum Kami mengutus seorang rasul.” (TMQ al-Isra’ [17]: 15).
Ini dalam konteks di dunia. Benar dan salah ditentukan oleh apakah perbuatan tersebut sesuai dengan tuntunan Nabi SAW atau tidak. Jika tidak maka tentu dinyatakan salah. Bagaimana dengan di akhirat? Di akhirat pun sama. Kelak, Nabi SAW akan dijadikan sebagai saksi atas perbuatan kita di dunia. Allah SWT berfirman:
وَيَوۡمَ نَبۡعَثُ فِي كُلِّ أُمَّةٖ شَهِيدًا عَلَيۡهِم مِّنۡ أَنفُسِهِمۡۖ وَجِئۡنَا بِكَ شَهِيدًا عَلَىٰ هَٰٓؤُلَآءِۚ وَنَزَّلۡنَا عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ تِبۡيَٰنٗا لِّكُلِّ شَيۡءٖ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٗ وَبُشۡرَىٰ لِلۡمُسۡلِمِينَ ٨٩
”(Ingatlah) akan hari (ketika) Kami membangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi atas seluruh umat manusia. Kami menurunkan kepada kamu al-Kitab (al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu; sebagai petunjuk, rahmat dan khabar gembira bagi kaum yang berserah diri.” (TMQ an-Nahl [16]: 89).
Dari ayat di atas jelas bahawa penjelasan Nabi SAW tidak hanya menjadi standard benar dan salah di dunia, tetapi juga di akhirat. Ketika Allah menjadikan Nabi SAW sebagai saksi atas kita di akhirat, sementara Baginda membawa al-Quran yang sebagai risalah-Nya yang telah menjelaskan semuanya, maka ketika itu, tidak boleh ada seorang pun yang mengatakan bahawa dia melakukan sesuatu, jika dinilai salah oleh Allah SWT, kerana tidak ada penjelasannya dari Nabi SAW
Kerana itu, dari sini boleh difahami bahawa hukum mengambil penjelasan Nabi SAW dalam seluruh aspek kehidupan kita di dunia ini adalah wajib, bukan sunnah, atau mubah. Ini ditegaskan oleh Allah SWT:
وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٧
”Apa saja yang Rasul bawa kepada kalian, terimalah. Apa saja yang dia larang atas kalian, tinggalkanlah. Bertakwalah kalian kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukuman—Nya.” (TMQ al-Hasyr [59]: 7).
Nabi SAW adalah teladan bagi kita:
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا ٢١
”Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kalian, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak mengingat Allah.” (TMQ al-Ahzab [33]: 21),
Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa hukum meneladani Nabi SAW dalam urusan agama adalah wajib, sedangkan dalam urusan dunia, hukumnya sunnah[1]. Demikian sebagaimana Hadis Nabi SAW:
«إنَّمَا أَنَا بَشَرٌ إذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيءٍ مِنْ دِيْنِكُمْ فَخُذُوْا بِهِ وَ إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيءٍ مِنْ رَأْيِي فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ»
”Aku hanyalah seorang manusia. Jika aku memerintahkan kepada kalian sesuatu yang termasuk urusan agama kalian, maka ambillah. Jika aku memerintahkan kepada kalian sesuatu dari pendapatku, maka aku hanyalah manusia.” (HR Muslim)[2].
Urusan dunia ini maksudnya adalah urusan yang mubah, yang terkait dengan teknologi, sebagaimana dalam kes pendebungaan kurma, agar pohon kurma itu berbuah. Dalam hal ini, para sahabat tidak perlu diajar oleh Nabi SAW, atau menunggu petunjuk dari Nabi SAW, kerana ini adalah masalah ilmu pengetahuan yang bersifat saintifik.
Adapun dalam urusan agama, yang terkait dengan halal-haram, sunat-makruh, wajib, mubah, baik-buruk, dan sebagainya, maka kita wajib mengikuti apa yang dibawa dan dijelaskan oleh Nabi SAW. Ini kerana, hal demikian adalah hukum mengikuti dan meneladani Nabi SAW jelas wajib. Bukan sunnah atau mubah. Para ulama ushul kemudian membezakan ada dua aspek terkait dengan masalah ini:
Pertama: Hukum ittibâ’ (mengikuti dan meneladani) Nabi SAW berdasarkan nas-nas di atas jelas hukumnya wajib.
Kedua: Hukum melakukan perbuatan yang dilakukan oleh Nabi SAW statusnya mengikuti status perbuatan itu sendiri. Boleh wajib, sunat, mubah bahkan haram untuk dilakukan.
Dalam konteks yang pertama, iaitu hukum ittibâ’ (mengikuti dan meneladani) Nabi SAW, yang jelas hukumnya wajib, maka ulama’ ushul menetapkan tiga syarat:
Pertama: Hendaklah mumatsalah (bentuknya sama persis). Misalnya, Nabi SAW membina sahabat, maka kita juga membina umat.
Kedua: Hendaklah ‘ala wajhihi (hukumnya sama dengan apa yang dilakukan Nabi SAW). Nabi SAW membina terus-menerus sampai wafat, sehingga menjadi qarînah, bahawa pembinaan ini hukumnya wajib. Kerana itu kita pun sama, menghukumi pembinaan ini sebagai kewajipan.
Ketiga: Hendaklah ‘min ajlihi (sesuai dengan konteks perbuatan itu dilakukan Nabi SAW). Pembinaan itu dilakukan untuk membentuk Hizbur-Rasûl hingga berhasil meraih tujuannya. Kita pun sama. Kita hendaklah melakukan pembinaan ini sebagaimana yang Nabi SAW lakukan. Sebelum, ketika dan setelah dakwah berhasil mewujudkan tujuannya. Ini namanya ittibâ’. Jika tidak maka belum disebut ittibâ’.
Adapun dalam konteks melakukan perbuatan Nabi SAW, maka ini bergantung pada jenis perbuatan yang Baginda lakukan. Perbuatan ini oleh para ulama ushul dibezakan menjadi:
Pertama, perbuatan Jibiliyyah (perbuatan yang dilakukan Nabi SAW sebagai manusia biasa) seperti makan, tidur, istirehat, duduk, berjalan, dan sebagainya. Dalam hal ini, status perbuatannya itu sendiri mubah, baik bagi Nabi SAW mahupun umatnya. Hanya saja, apa yang dicontohkan Nabi SAW dalam konteks ini bersifat irsyâd (petunjuk). Jika dilakukan lebih baik, tetapi jika tidak, maka tidak berdosa. Misalnya, Nabi SAW makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang. Ini irsyaad yang tentu sangat bagus untuk kesihatan.
Kedua, perbuatan Ghayra Jibiliyyah (perbuatan yang dilakukan Nabi SAW sebagai nabi). Di sini ulama kemudian membahagi menjadi dua:
(1) Bayân li Khithâb Sâbiq (penjelasan bagi seruan atau nas sebelumnya).
Status perbuatan Nabi SAW di sini berfungsi menjelaskan nas. Status hukum meniru perbuatan Nabi SAW dalam konteks ini bergantung pada nas yang dijelaskan. Misalnya, ketika Allah SWT menurunkan perintah solat, lalu Nabi SAW naik di atas bukit Safa, kemudian solat. Setelah itu bersabda kepada para Sahabat:
«صَلُّوْا كَمَا رَأَيْتُمُونِيْ أُصَلِّي»
”Solatlah kalian sebagaimana kalian tadi melihat aku sedang solat.” (HR Muslim).[3]
Contoh lain, ada ayat yang memerintahkan memotong tangan pencuri, tetapi belum ada penjelasan. Setelah ada kes, baru Nabi SAW mempraktikkan cara memotong tangan pencuri, iaitu memotong tangan pencuri sebelah kanan[4]. Ini termasuk Bayân li Khithâb Sâbiq untuk menjelaskan firman Allah SWT:
وَٱلسَّارِقُ وَٱلسَّارِقَةُ فَٱقۡطَعُوٓاْ أَيۡدِيَهُمَا ٣٨
”Pencuri lelaki dan perempuan, potonglah tangan masing-masing dari keduanya”. (TMQ al-Maidah [5]: 38)
Jadi, status mengerjakan perbuatan Nabi SAW yang merupakan penjelasan bagi nas sebelumnya itu bergantung pada hukum nas yang dijelaskan. Jika nas yang dijelaskan hukumnya wajib maka perbuatan Nabi SAW tersebut juga wajib. Jika sunnah maka mengerjakannya juga sunnah. Jika mubah maka mengerjakannya juga mubah.
(2) Ghayra Bayân li Khithâb Sâbiq (bukan penjelasan bagi seruan atau nas sebelumnya).
Dalam hal ini, boleh dibezakan menjadi dua:
Pertama: Khawwâsh ar-Rasûl (perbuatan yang hanya menjadi keistimewaan Rasul). Seperti menikah lebih dari empat, Puasa Wishal, dan sebagainya. Maka dari itu haram bagi umatnya untuk melakukan perbuatan yang dilakukan oleh Rasul ini.
Kedua: Ghayra Khawwâsh as-Rasûl: Dalam konteks ini, perbuatan Nabi SAW boleh dibezakan menjadi dua:
(a) Qashdu al-Qurbah (mendekatkan diri kepada Allah). Misalnya, Nabi SAW berdoa sebelum makan atau berdoa sebelum tidur. Makan dan tidur adalah perbuatan Jibiliyyah yang mubah, tetapi berdoa sebelum makan dan tidur adalah perbuatan Nabi SAW untuk mendekatkan diri kepada Allah. Dalam hal ini, hukum meniru perbuatan Nabi SAW, iaitu berdoa sebelum makan dan tidur adalah sunnah (mandûb).
(b) Ghayra Qashdu al-Qurbah (bukan untuk mendekatkan diri kepada Allah). Adapun perbuatan yang tidak termasuk mendekatkan diri kepada Allah, maka statusnya bergantung pada qarînah yang menjelaskan[5].
Pembahasan tentang qarînah ini panjang lebar telah dibahas oleh ulama ushul. Boleh dibezakan menjadi wajib, mandûb dan mubah.
1. Qarînah yang menunjukkan wajib, misalnya, keterikatan Nabi SAW dalam berjuang menegakkan Islam, mulai dari Mekah sampai ke Madinah, dengan metode (tharîqah) tertentu, seperti menggunakan pemikiran, perjuangan politik, thalab an-nushrah. Walaupun berbagai ujian dan kesukaran yang mendera Nabi SAW dan para Sahabat, Nabi SAW tidak berhenti atau mengubah metodenya. Ini membuktikan bahawa metode tersebut wajib.
2. Qarînah yang menunjukkan sunnah, seperti Qasdhu al-Qurbah (mendekatkan diri kepada Allah), tetapi tidak ada indikasi yang menunjukkan wajib[6]. Misalnya, Nabi SAW duduk tahiyat awal terus-menerus, tiba-tiba suatu ketika meninggalkannya[7].
3. Qarînah yang menunjukkan mubah, seperti Nabi SAW pernah melakukan perbuatan pada satu masa, kemudian pada masa lain meninggalkannya. Seperti ketika Nabi SAW berdiri semasa jenazah lalu, pada lain waktu Nabi SAW duduk. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas dan al-Hasan, sehingga yang satu bertanya, “Bukankah Nabi SAW berdiri ketika ada jenazah melewati? Yang lain menjawab, “Ya,” dan Baginda juga duduk.” Dengan demikian boleh difahami bahawa berdiri dan duduk semasa jenazah melewati itu hukumnya mubah.
Inilah gambaran secara jelas, bagaimana ulama ushul menjelaskan kewajipan bagi kita untuk meneladani Nabi SAW dalam seluruh aspek kehidupan. Dengan demikian tidak ada satu ruang pun yang tidak dijelaskan oleh Nabi SAW, kecuali dalam perkara yang mubah, terkait dengan sains dan teknologi, kerana dalam konteks ini memang diserahkan kepada kita. Selebihnya, kita semuanya wajib terikat dengan tuntunan Nabi SAW, baik dalam urusan ibadah, muamalah, akhlak mahupun yang lain.
Status mengikuti Nabi SAW dalam seluruh aspek tersebut hukumnya wajib. Jika tidak maka perbuatan kita akan tertolak kerana tidak mengikuti ketentuan yang diajarkan oleh Nabi SAW.
WalLâhu a’lam bi as-shawâb.
Catatan kaki:
- Al-Imam Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakar al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkami al-Qur’an wa al-Mubayyin lima Tadhammanahu min as-Sunnah wa Ayi al-Furqan, editor Dr. ‘Abdullah ‘Abdul Muhsin Turki, Muassasah ar-Risalah, Damaskus, cet. I, 1442 H/2021 M, Juz XVII, hal. 109.
- Hr Muslim (2362); at-Thabrani (Juz IV/280) (4424); Abu Awanah, al-Mustakhraj (10417).
- Hr Bukhari (6008); Muslim (674); an-Nasa’I (635).
- Hr Ahmad, Juz II/177.
- Al-Alim al-Ushuli Atha’ bin Khalil Abu Rasytah, Taisir al-Wushul ila al-Ushul, Dar al-Ummah, Beirut, cet. III, 1421 H/2000 M, hal. 75-77.
- Al-Imam Baruddin Muhammad bin Bahadir bin ‘Abdullah az-Zarkasyi as-Syafii, al-Bahru al-Muhith fî Ushul al-Fiqh, editor al-Markaz al-‘Ilmi bi Dar ibn al-Jauzi, Qahirah, cet. I, 1437 H/2016 M, Juz IV, hal. 188.
- Hr Bukhari (829); Muslim (570) dari Abdullah bin Buhainah.
Sumber: AlWaie
#UswatunHasanah #TeladaniNabi #Sunnah #HukumSyarak #Syariah #Fardhu