Peranan Wanita sebagai Penggerak Perubahan
(Meneladani Dakwah Rasulullah SAW)
Oleh: Endiyah Puji Tristanti
Terdapat satu istilah Jawa, “konco wingking” — seorang lelaki di sebalik tabir, tokoh berpengaruh dalam kejayaan hidup setiap tokoh besar dunia. Dalam Sirah Nabawiyah, umat Islam mengenali tokoh-tokoh seperti ibunda Khadijah ra., isteri Rasulullah SAW; Asma’ binti Abu Bakar, isteri kepada sahabat Zubair bin Awwam dan juga ibu kepada Abdullah bin Zubair; Sumayyah, syahidah pertama, isteri kepada sahabat Yasir dan ibu kepada Ammar bin Yasir; serta Fatimah az-Zahra, puteri Rasulullah SAW dan isteri kepada Ali bin Abi Talib, dan ramai lagi.
Jauh selepas zaman Rasulullah SAW dan para sahabat, daripada rahim peradaban Islam lahir tokoh wanita inspirasi seperti Huma Hatun, ibu kepada Sultan Muhammad al-Fatih, penakluk Empayar Rom Timur, Konstantinopel. Umat Islam juga tidak akan melupakan Fatimah binti Ubaidillah al-Azdiyah, ibu kepada Imam Syafi‘i. Dan sudah tentu, masih banyak lagi tinta sejarah peradaban Islam yang menorehkan nama-nama Muslimah hebat yang lain.
Pemimpin Bertaraf Dunia
Buku The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History meletakkan Nabi Muhammad SAW di tempat pertama. Dunia mengenali Nabi Muhammad SAW adalah Islam, sebagaimana dunia mengenali Islam adalah Nabi Muhammad SAW. Bukan kerana Islam lahir daripada kecerdasan Nabi Muhammad SAW, tetapi kerana Islam adalah risalah Ilahiyah. Nabi Muhammad SAW adalah pembawa risalah Islam. Baginda memimpin seluruh umat manusia dengan menanamkan visi dunia “Lā ilāha illallāh Muhammad Rasūlullāh” ke seluruh penjuru bumi dengan izin Rabb sekalian alam.
Oleh itu, kehebatan para pemimpin sepanjang peradaban Islam terletak pada ajaran Islam itu sendiri, iaitu sejauh mana para pemimpin mengimani, berpegang teguh dan mengemban Islam. Sesiapa sahaja pemimpin yang menggenggam risalah agung ini pasti akan dimuliakan. Sebaliknya, siapa saja pemimpin yang meremehkan risalah Islam ini pasti akan menjadi hina.
Setiap pemimpin pasti tumbuh dan dibesarkan dalam lingkungan kepimpinan yang mempersiapkan mereka. Muhammad bin Abdullah lahir daripada rahim wanita mulia, wanita terbaik Quraisy, Siti Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhrah. Baginda dibesarkan dalam lingkungan kepimpinan suku Quraisy. Datuknya, Abdul Muttalib, merupakan pemimpin Quraisy yang dihormati. Nasabnya adalah terhormat, keturunan daripada dua insan yang disembelih. Ketika mengandungkan baginda, ibunya melihat cahaya yang menerangi Istana Busra di wilayah Syam. Baginda dilahirkan dalam keadaan kedua tangannya menyentuh bumi sementara kepalanya menghadap ke langit. Baginda turut terlibat dalam pembinaan Kaabah dan diberi gelaran al-Amin.
Prof. Dr. Muhammad Rawwas Qal‘ahji mengulas bahawa semua peristiwa ini merupakan sebahagian daripada persiapan Allah SWT terhadap Muhammad SAW, kerana baginda akan menjadi Nabi dan pemimpin bagi seluruh umat manusia.
Meneladani Rasulullah SAW
Bukanlah seorang pemimpin yang hebat jika dia tidak mampu mencetak pemimpin-pemimpin yang lain. Pemimpin yang hebat akan melahirkan ribuan pemimpin hebat lain selepasnya. Rasulullah SAW telah berjaya melahirkan ribuan kader perubahan yang unggul sepanjang zaman. Dalam tempoh singkat 23 tahun kenabian, baginda berjaya membina sistem kaderisasi para negarawan, terdiri daripada lelaki dan perempuan yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta bersedia mengemban risalah yang dibawa oleh baginda.
Sistem kaderisasi ahli politik ala Rasulullah SAW ini berbentuk sebuah parti politik (hizbun siyāsiyyun) yang dipimpin secara langsung oleh baginda. Mereka yang berhimpun di sekeliling baginda terdiri daripada ahli keluarga, kerabat dekat dan jauh, para sahabat dan keluarga mereka, masyarakat umum sama ada dari golongan kuat mahupun lemah, apa pun warna kulit dan asal suku mereka. Semuanya memasuki mesin (sistem) pembinaan yang terpiawai dan teruji. Ideologi (akidah) Islam menjadi roh kelangsungan parti dan pergerakannya. Bermula dari rumah Arqam bin Abi al-Arqam sebagai pusat pembinaan kader, lalu dakwah ini kemudian menyebar ke seluruh Mekah, hingga ke Habsyah dan Yathrib.
Dengan dipandu oleh Sang Pencipta melalui turunnya Surah al-Hijr ayat 94, sistem parti yang telah kukuh ini membuka ruang interaksi langsung antara para kader dengan masyarakat. Pertembungan idea tidak dapat dielakkan antara konsep parti yang unik dengan kekusutan pemikiran syirik dan standard status quo yang telah mengakar. Risiko perjuangan meniti jalan perubahan diterima dengan qanaah oleh para anggota parti sebagai sunnatullah. Ada kalanya tubuh dan nyawa perlu menebus manisnya iman dan pengorbanan.
Sang Khaliq telah menetapkan qadar-Nya. Selimut kesyirikan di titik zero (tempat permulaan) dakwah parti, yang membelenggu pemikiran masyarakat jahiliah di bawah hegemoni penguasa zalim dan autoritarian, akhirnya digantikan dengan “keberkatan kemajuan” dakwah parti di titik lain yang jauh berbeza. Parti Rasul memperoleh penerimaan dakwah daripada penduduk Yathrib (Madinah), baik daripada kalangan pemimpin mahupun masyarakatnya. Madinah menjadi titik sentral, yakni pusat utama, sekaligus dari sanalah tujuan parti tercapai yakni tertegaknya sistem Islam, Daulah Islamiyyah yang pertama, yang dipimpin secara langsung oleh Muhammad Rasulullah SAW sebagai ketua negaranya.
Muslimah Tangguh Produk Mesin Parti Rasul SAW
Sumayyah, anggota Parti Rasul, telah mengatasi semua Sahabat dalam kesyahidan. Sikap teguhnya di hadapan pemimpin yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya telah mengangkatnya ke darjat mulia sebagai syahidah pertama. Walaupun hanya sebentar menjadi sebahagian daripada gerakan dakwah Rasulullah SAW, keharuman kesyahidannya terus tercium hingga akhir zaman.
Ada juga Asma’ binti Abu Bakar, sosok ibu yang tabah, penyedia bekalan hijrah Rasulullah SAW bersama ayahandanya Abu Bakar. Kedalaman pemikiran politiknya mampu mengubah halangan menjadi pembuka jalan dakwah yang lebih luas. Dengan keyakinan penuh terhadap misi agung insan yang paling dicintainya, beliau menghadapi risiko perjuangan politik tanpa rasa gentar.
Demikian juga Ummu ‘Ammarah Nasibah binti Ka‘ab al-Ansariyyah dan Ummu Mani‘ Asma’ binti ‘Amru. Kedua-duanya bergabung dalam barisan Parti Rasul selepas dakwah Mus‘ab bin Umair menyentuh hati masyarakat Yathrib. Keduanya turut hadir dalam saat momentum politik paling menentukan masa depan Islam, iaitu dalam peristiwa Bai‘at Aqabah, ketika penyerahan kekuasaan (istilām al-hukm) diberikan kepada Muhammad bin Abdullah, Rasulullah SAW.
Mereka semua, bersama para Sahabiyah yang lain, telah mengisi ruang dakwah Parti Rasul bersama para Sahabat dan kaum Muslimin. Mereka adalah para ibu sekaligus ahli politik yang tangguh. Daripada merekalah lahir generasi penggerak perubahan, membawa masyarakat keluar daripada sistem jahiliah menuju sistem Islam yang memancarkan cahaya kemuliaan.
Kaum Perempuan dan Parti Islam
Islam adalah Dīn bagi seluruh manusia, lelaki dan perempuan. Kedua-duanya mempunyai kedudukan yang sama di sisi Allah SWT berdasarkan ketakwaan (Surah al-Hujurat [49]: 13). Islam mewajibkan dakwah, amar makruf nahi mungkar ke atas lelaki dan juga perempuan, kerana nas-nas syariah berkaitan bersifat umum dan merangkumi kedua-duanya (Surah Ali ‘Imran [3]: 110 dan Surah at-Taubah [9]: 71).
Dalam konteks perubahan sistem, peranan politik kaum perempuan adalah setara dengan lelaki. Allah SWT berfirman (maksudnya):
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (TMQ Ali ‘Imran [3]: 104)
Sifat muflihūn dalam ayat ini merupakan pujian kepada lelaki dan perempuan yang bersungguh-sungguh melaksanakan peranan politik perubahan. Ayat ini juga mengandungi tuntutan untuk membentuk parti politik Islam, serta kewajipan bagi lelaki dan perempuan untuk menyertainya dalam melaksanakan dakwah dan amar makruf nahi mungkar.
Dengan demikian, para Muslimah abad ini memerlukan kehadiran parti politik Islam untuk menyahut seruan dan tuntutan Allah SWT tersebut. Inilah parti politik Islam yang sebenar, yang meneladani sistem kepartian Rasulullah SAW. Segala yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah wahyu, bukan berasal daripada hawa nafsu (Surah an-Najm [53]: 3–4). Parti politik Islam inilah yang mampu mencetak kaum perempuan sebagai penggerak perubahan sistem serta menjalankan fungsi kaderisasi dalam kalangan generasi muda.
Demografi kaum perempuan dikalangan Gen Z pada masa kini adalah potensi besar sebagai sumber utama bagi projek mega perubahan sistem politik Islam (Khilafah). Kehadiran parti politik Islam hakiki, yang meneladani Parti Rasul, menjadi jaminan kejayaan kaderisasi generasi muda penggerak perubahan. Parti Islam ideologilah yang akan membina dan mengangkat bargaining power generasi muda, membebaskan mereka daripada jerat korporat (kapitalis) yang eksploitatif. Barisan ahli politik wanita penggerak perubahan abad ke-21 telah lahir dan akan terus berkembang.
Wallāhu a‘lam bi al-ṣawāb.
*Sumber asal : Alwaie (dengan sedikit saringan)
#wanita #muslimah #ahlipolitikmuslimah #muslimahtangguh #muslimahpenggerakperubahan #ahlipolitik #politikislam