Israk Mikraj dan Pentingnya Kepimpinan Islam Global
Peristiwa Israk Mikraj merupakan salah satu peristiwa paling monumental dalam sejarah Islam. Israk Mikraj bukan hanya peristiwa spiritual yang sarat mukjizat. Israk Mikraj juga mengandungi pesanan politik dan peradaban yang sangat mendalam. Israk Mikraj adalah penegasan bahawa Islam bukan sekadar agama ritual-individual, melainkan ideologi yang memimpin kehidupan manusia secara menyeluruh di bawah kepimpinan global.
Dimensi Spiritual
Kewajipan solat lima waktu merupakan salah satu inti pesanan Israk Mikraj. Solat adalah satu-satunya ibadah yang Allah SWT wajibkan secara langsung kepada Rasulullah ﷺ di Sidratul Muntaha tanpa perantara. Hal ini menunjukkan kedudukan solat sebagai asas utama pembentukan manusia bertakwa yang layak memikul amanah besar kepimpinan global. Allah SWT berfirman:
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat.” [TMQ al-Baqarah (2): 45]
Rasulullah ﷺ menegaskan bahawa solat adalah amalan pertama yang akan dihisab pada Hari Kiamat. Solat sekaligus menjadi pembeza antara iman dan kufur. Selain itu, al-Quran juga menegaskan “fungsi sosial” solat:
إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.” [TMQ al- ‘Ankabut (29): 45]
Dengan demikian solat tidak hanya membentuk kesolehan individual. Solat juga melahirkan manusia yang baik secara sosial seperti memiliki sifat jujur, amanah dan adil. Ini adalah antara sifat-sifat yang diperlukan bagi kepimpinan Islam.
Isyarat Kepimpinan Islam Global
Dimensi politik Israk Mikraj tampak jelas ketika Rasulullah ﷺ memimpin solat para nabi di Masjid al-Aqsa. Peristiwa ini bukan simbol kosong. Ia adalah isyarat ilahiyah tentang kepimpinan Islam atas seluruh umat manusia dan seluruh risalah sebelumnya. Prof. Dr. Rawwas Qal‘ah Ji menegaskan bahawa peristiwa ini adalah indikasi politik yang sangat kuat tentang kepimpinan umat Islam atas dunia. Beliau menulis bahawa imamah Rasulullah ﷺ atas para nabi merupakan isyarat kepimpinan Islam atas seluruh agama dan bangsa setelah baginda diutus sebagai rasul terakhir (Rawwas Qal‘ah Ji, Qirâ’ah Siyâsiyyah li as-Sîrah an-Nabawiyyah, hlm. 75–83).
Isyarat ini kemudian terwujud secara konkrit setelah Rasulullah ﷺ hijrah ke Madinah saat baginda menegakkan Negara Islam. Negara Islam tersebut memimpin masyarakat majmuk yang terdiri dari kaum Muslim dan non-Muslim. Demikian sebagaimana tertuang dalam Piagam Madinah (Watsîqah al-Madînah). Piagam ini antara lain mengatur hubungan sosial dan politik secara adil di bawah kepimpinan Islam.
Khilafah: Realisasi Sejarah Kepimpinan Islam Global
Setelah era Negara Islam di bawah kepimpinan Rasulullah ﷺ, kepimpinan Islam global mencapai bentuk institusinya dalam wujud Khilafah Islam. Sahabat Abu Bakar As-Siddiq RA. adalah khalifah pertamanya. Setelah wafat, Abu Bakar As-Siddiq digantikan oleh Sahabat Umar bin al-Khathab RA. Pada masa Khalifah Umar bin al-Kathab RA, Kota al-Quds—tempat yang pernah disinggah oleh Rasulullah ﷺ dalam peristiwa Israk Mikraj—dibebaskan tanpa pertumpahan darah. Khalifah Umar RA menerima kunci kota tersebut dari Patriark Nasrani dengan penuh kehormatan. Ini adalah sebuah peristiwa yang diakui oleh sejarawan Muslim mahupun non-Muslim sebagai teladan kepimpinan yang adil dan beradab.
Akan tetapi, tragedi besar menimpa umat Islam ketika Khilafah dihancurkan pada 28 Rejab 1342 H (3 Mac 1924 M). Dalam pidatonya pada Peringatan Keruntuhan Khilafah, Syeikh ‘Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah menyebut peristiwa ini sebagai “gempa dahsyat” yang menghancurkan kekuatan politik umat Islam dan membuka pintu penjajahan global.
Terkait itu Rasulullah ﷺ telah mengingatkan fungsi vital kepimpinan Islam:
الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ
Imam (Khalifah) itu adalah perisai (pelindung); orang-orang berperang di belakangnya dan berlindung kepada dia (HR al-Bukhari dan Muslim).
Tanpa perisai ini, umat Islam terpecah menjadi puluhan negara lemah yang mudah dikendalikan, diintervensi bahkan dijajah. Itulah yang terjadi sejak Khilafah Islam diruntuhkan hingga saat ini. Palestin yang dijajah Yahudi selama puluhan tahun hingga hari ini hanyalah salah satu contohnya. Sedangkan dulu, selama ratusan tahun, Palestin aman dan damai di bawah kekuasaan Khilafah Islam.
Kapitalisme Global: Zalim dan Gagal
Kekosongan kepimpinan Islam global kemudian diisi oleh kepimpinan Kapitalisme global yang saat ini dipimpin oleh Amerika Syarikat (AS). Kepimpinan ini terbukti melahirkan kezaliman sistemik. Ini kerana sistem Kapitalisme global jelas tidak dibangun di atas wahyu. Kapitalisme berdiri di atas asas sekularisme—pemisahan agama dari kehidupan—yang menjadikan kepentingan kebendaan, modal dan kekuasaan sebagai standard utama pengambilan keputusan. Amerika Syarikat (AS), sebagai pemimpin Kapitalisme global, secara konsisten menempatkan dirinya sebagai “polis dunia”. Akan tetapi, faktanya peranan ini bukan untuk menegakkan keadilan, melainkan untuk menjaga kepentingan geopolitik dan syarikat gergasi. Sokongan AS tanpa syarat terhadap genosid di Palestin, pencerobohan tentera AS ke atas Iraq dan Afganistan, sekatan ekonomi AS atas sejumlah negara yang mencekik orang awam hingga intervensi politik dan penculikan pemimpin negara berdaulat oleh AS seperti di Venezuela baru-baru ini menunjukkan wajah asli Kapitalisme global: yang kuat memangsa yang lemah. Dalam kes penculikan Presiden Venezuela Nicolas Maduro beserta isterinya pada Januari 2026 ini, tak satu pun dari lebih 190 negara di dunia berani menegur Amerika. Semua membisu kerana takut. Para penguasa negeri-negeri Muslim pun memilih diam. Inilah bukti bahawa dunia hari ini hidup di bawah keganasan hegemoni Kapitalisme global.
Selain zalim, Kapitalisme global juga adalah ideologi yang gagal. Bahkan kegagalan Kapitalisme global ini disorot oleh para pemikir Barat sendiri. Joseph E. Stiglitz, peraih Nobel Ekonomi, misalnya, dalam Globalization and Its Discontents (2002), mengakui bahawa globalisasi kapitalis yang dipimpin Amerika Syarikat dan institusi seperti IMF justeru memperparah kemiskinan, ketidakstabilan politik dan ketimpangan sosial di banyak negara berkembang. Dia menegaskan bahawa pasar bebas tanpa kendali moral dan keadilan hanya menguntungkan segelintir elit global.
Thomas Piketty, dalam karya agungnya, Capital in the Twenty-First Century (2014), juga membuktikan secara empirikal bahawa kapitalisme moden secara sistematik memperlebarkan jurang antara si kaya dan si miskin. Ketika tingkat pengembalian modal lebih besar daripada pertumbuhan ekonomi, kekayaan akan bertumpu pada golongan oligarki, sementara majoriti manusia dipinggirkan.
Bahkan Francis Fukuyama—pengusung tesis “babak akhir sejarah”—kebelakangan ini mengakui bahawa demokrasi liberal dan Kapitalisme global gagal menghadirkan keadilan dan kestabilan. Keduanya justeru memicu krisis kepercayaan, populisme melampau dan kehancuran persatuan sosial.
Pengakuan para pemikir Barat ini menegaskan bahawa Kapitalisme global bukan hanya gagal secara moral menurut Islam, tetapi juga gagal secara empirikal menurut ukuran ilmiah mereka sendiri.
Kepentingan Kepimpinan Islam Global
Islam tentu berbeza dan bertentangan dengan Kapitalisme. Ideologi Islam tidak membenarkan penjajahan, rompakan sumber daya, mahupun pembunuhan beramai-ramai demi kepentingan ekonomi atau politik. Dalam Islam, penguasa adalah pelayan umat dan penjaga hukum-hukum Allah SWT. Maka dari itu, ideologi Islam dengan kepimpinan global Khilafah bukan sekadar alternatif, melainkan penyelesaian peradaban yang rasional, bersejarah dan manusiawi kerana bersandarkan wahyu, bukan hawa nafsu.
Inilah sebabnya mengapa Islam—dalam bentuk kepimpinan global (Khilafah)—menjadi ancaman ideologi terbesar bagi Kapitalisme global. Sebabnya, Islam menawarkan tatanan dunia alternatif yang adil, mandiri dan bebas dari dominasi modal serta hegemoni ketenteraan. Selagi Khilafah belum tegak, dunia akan terus berada dalam lingkaran kezaliman global. Selagi Kapitalisme memimpin dunia, keadilan sejati hanyalah slogan kosong.
Hanya saja, Menurut Prof. Dr. Rawwas Qal‘ah Ji, kepimpinan Islam global mensyaratkan dua hal utama (Qal’ah Ji, Qirâ’ah Siyâsiyyah, hlm. 80). Pertama: Adanya sistem Islam yang diterapkan secara kâffah dalam seluruh aspek kehidupan. Hal ini seiiring dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kalian ke dalam Islam secara menyeluruh” [TMQ al-Baqarah (2): 208]
Kedua: Adanya pemimpin yang amanah, iaitu Khalifah yang menerapkan hukum-hukum Allah SWT secara kâffah. Bukan penguasa boneka yang tunduk pada kepentingan Barat.
Penutup
Selain kewajipan solat lima waktu, Israk Mikraj juga mengandungi pesanan ilahiyah kepada umat Islam agar senantiasa menegakkan kepimpinan Islam global (Khilafah). Khilafahlah—yang menerapkan syariah Islam secara kâffah—yang bakal mampu (sebagaimana dulu) mewujudkan keadilan sejati sekaligus memimpin manusia menuju kesejahteraan dan keredhaan Allah SWT. Apatah lagi Allah SWT telah menjanjikan kekuasaan bagi kaum beriman:
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ
“Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi [TMQ an-Nur (24): 55]
Rasulullah ﷺ juga memberikan khabar gembira:
ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ
…Kemudian akan ada kembali Khilafah di atas manhaj kenabian (HR Ahmad).
Sebagai Muslim, kita semua wajib menyambut janji Allah SWT dan khabar gembira daripada Rasulullah ﷺ ini. Caranya tentu dengan berjuang mewujudkan janji dan khabar gembira tersebut dengan bersungguh-sungguh dan mengerahkan segala bentuk pengorbanan. Bukan dengan cara berpangku tangan. Apatah lagi menjadi penghalang perjuangan.
WalLâhu a‘lam bi ash-shawâb.
—*—
Hikmah:
Allah SWT berfirman:
وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا
Katakanlah, “Telah datang kebenaran dan lenyaplah kebatilan. Sungguh kebatilan itu pasti lenyap.” [TMQ al-Isra’ (17): 81]
Sumber: Buletin Kaffah Edisi 427
#Rejab #IsrakMikraj