[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 6/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
Hukum-Hakam Tanah
Islam telah mensyariatkan hukum-hakam khusus berkaitan tanah. Islam menetapkan bahawa tanah boleh dimiliki melalui beberapa cara, iaitu pembelian, pewarisan (pusaka), pemberian (hibah), menghidupkan tanah mati (ihyā’ al-mawāt), menandakan atau memagar tanah untuk diusahakan (taḥjīr), serta melalui sistem pemberian tanah oleh negara (iqṭāʿ).
Pemilikan tanah melalui pembelian, pewarisan, dan pemberian (hibah) adalah jelas. Pemilikan tanah dengan menghidupkan tanah mati (ihyā’ al-mawāt) pula bermaksud apabila seseorang menghidupkan tanah yang mati, maka tanah itu menjadi miliknya.
- Tanah mati ialah tanah yang tidak terdapat sebarang tanda pernah dimiliki oleh sesiapa, dan tidak kelihatan padanya sebarang kesan seperti pagar, tanaman, binaan, atau apa-apa bentuk penggunaan. Dengan kata lain, tanah mati ialah tanah yang tidak dimiliki dan tidak dimanfaatkan oleh sesiapa.
Menghidupkan tanah bermaksud mengusahakannya, iaitu mengusahakan tanah terbiar sehingga tanah tersebut sesuai untuk pertanian seperti menanam pokok, membina bangunan, atau melakukan apa-apa sahaja yang menunjukkan tanah itu diusahakan.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan tanah mati, maka tanah itu menjadi miliknya.” [HR Al-Bukhari, At-Tirmidzi, Abu Dawud, Ahmad, Malik, dan Ad-Darimi]. Baginda juga bersabda: “Sesiapa yang memakmurkan tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa, maka dialah yang lebih berhak ke atasnya.” [HR Ahmad]. Sabda Baginda lagi: “Mana-mana kaum yang menghidupkan atau memakmurkan sebahagian daripada tanah, maka mereka lebih berhak ke atasnya.”
- Taḥjīr ialah tindakan seseorang menandakan sempadan tanah untuk menunjukkan bahawa tanah itu telah diperuntukkan bagi dirinya. Tindakan ini boleh dilakukan dengan meletakkan batu di sekelilingnya, membina pagar atau tembok, mendirikan tiang besi atau kayu, memasang pita sempadan, dan seumpamanya. Maka, segala sesuatu yang menunjukkan penentuan sempadan dan pemisahan sesuatu kawasan tanah daripada kawasan lain dengan tanda atau batas tertentu dianggap sebagai taḥjīr.
Taḥjīr ini mempunyai hukum yang sama seperti ihyā’ (menghidupkan tanah). Seseorang yang melakukan taḥjīr akan memiliki tanah itu sebaik sahaja dia meletakkan tanda sempadannya, sama ada dengan batu atau apa-apa tanda lain. Berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang memagar (mengelilingi) sebidang tanah dengan pagar, maka tanah itu menjadi miliknya.” [HR Abu Dawud dan Ahmad]. Baginda SAW juga bersabda: “Sesiapa yang mengelilingi sesuatu dengan tembok, maka ia menjadi miliknya.”
Oleh itu, melalui ihyā’ dan taḥjīr, seseorang boleh memiliki tanah. Pemilikan ini tidak memerlukan keizinan daripada pihak pemerintah (negara). Apabila seseorang menghidupkan tanah mati atau menandakan sempadannya, maka dia berhak memilikinya secara sah tanpa perlu meminta izin daripada negara.
- Iqṭāʿ ialah pemberian tanah oleh negara kepada individu secara percuma tanpa sebarang bayaran. Tanah seperti ini ialah tanah yang pernah diusahakan tetapi kemudian ditinggalkan dan tidak dimiliki oleh sesiapa, maka secara hukum tanah tersebut menjadi milik negara.
Tanah jenis ini tidak boleh dimiliki melalui ihyā’ atau taḥjīr, kerana tanah seperti ini bukan tanah mati. Tanah ini pernah diusahakan, maka tanah ini dianggap “hidup” walaupun tidak mempunyai pemilik. Oleh itu, pemilikan tanah seperti ini hanya boleh berlaku melalui pemberian oleh negara.
Rasulullah SAW sendiri pernah memberikan tanah (iqṭāʿ) kepada Abu Bakar RA dan Umar RA. Maka, pemberian tanah oleh negara kepada rakyat disebut sebagai iqṭāʿ, dan hukumnya dibenarkan (mubah) berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW.
Oleh itu, tanah boleh dimiliki melalui pemberian oleh negara (iqṭāʿ), melalui pemagaran atau penandaan sempadan (taḥjīr), dan melalui menghidupkan tanah mati (ihyāʾ), sebagaimana sesebuah tanah boleh dimiliki melalui pembelian, pewarisan, dan hibah tanpa sebarang perbezaan. Hal ini merupakan ciri khas hukum pemilikan tanah dalam Islam.
Apabila seseorang telah memiliki tanah melalui mana-mana cara tersebut, dia wajib mengusahakan dan memanfaatkannya. Pemilik tanah tidak dibenarkan membiarkannya tanpa diusahakan, kerana usaha menghidupkan tanah merupakan bahagian yang tidak terpisahkan daripada pemilikan itu sendiri. Pemilikan tanah membawa bersama tanggungjawab untuk mengusahakannya. Sekiranya pemilik mengabaikan tanah tersebut dan tidak mengusahakannya selama tiga tahun berturut-turut, maka tanah itu akan diambil semula oleh negara secara paksa dan diberikan kepada orang lain.
Sekiranya tanah itu tidak diusahakan selama tiga tahun, maka hak miliknya terbatal, dan pada ketika itu pemiliknya dipaksa melepaskan pegangan ke atasnya, serta tanah itu akan diambil daripadanya. Rasulullah SAW bersabda: “Tanah-tanah (asal) itu milik Allah dan Rasul-Nya, kemudian menjadi milik kamu selepas itu. Maka sesiapa yang menghidupkan tanah mati, maka tanah itu menjadi miliknya. Dan orang yang memagari tanah (muḥtajir) tidak lagi mempunyai hak ke atasnya setelah (mengabaikannya selama) tiga tahun.”
Yahya bin Adam meriwayatkan melalui jalan ‘Amru bin Syu‘aib bahawa Rasulullah SAW pernah memberikan sebahagian tanah kepada beberapa orang daripada kabilah Muzainah atau Juhainah, namun mereka tidak mengusahakannya. Kemudian datang satu kaum lain yang menghidupkan tanah tersebut. Lalu ‘Umar berkata: “Sekiranya tanah itu merupakan pemberian daripadaku atau daripada Abu Bakar, nescaya aku akan menariknya kembali, tetapi ia adalah pemberian daripada Rasulullah SAW.” ‘Umar juga berkata: “Sesiapa yang membiarkan tanahnya tanpa diusahakan selama tiga tahun dan tidak memakmurkannya, kemudian datang orang lain yang menghidupkannya, maka tanah itu menjadi milik orang yang menghidupkannya.”
Maksud ucapan ‘Umar ialah bahawa tanah tersebut telah ditinggalkan tanpa diusahakan melebihi tiga tahun. Sekiranya tanah itu merupakan pemberian daripada beliau sendiri atau daripada Abu Bakar, kemungkinan tempoh tiga tahun itu belum berlalu. Namun, kerana tanah tersebut merupakan pemberian daripada Rasulullah SAW, maka sudah pasti tempoh tiga tahun itu telah berlalu, dan oleh sebab itu, tanah berkenaan tidak boleh dikembalikan semula kepada pemilik asalnya.
Hal ini diperkuatkan dengan kata-kata Umar RA selepas itu, “Sesiapa yang membiarkan tanahnya selama tiga tahun tanpa diusahakan, lalu datang orang lain yang memakmurkannya, maka tanah itu menjadi milik orang tersebut.”
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #Ekonomi #EkonomiIslam #TanahPertanian #KepemilikanTanah #HukumTanah