[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 7/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan dari bahagian 6/46)
Abu Ubaid meriwayatkan dalam Kitab al-Amwāl daripada Bilal bin al-Harith al-Muzni bahawa Rasulullah SAW telah memberikan kepadanya seluruh lembah. Kemudian, pada zaman pemerintahan Khalifah Umar RA, beliau berkata kepada Bilal, “Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak memberimu tanah itu untuk dipagari semata-mata sehingga orang lain tidak dapat mengambilnya. Baginda memberikannya kepadamu supaya engkau mengusahakannya. Oleh itu, ambillah bahagian tanah yang mampu engkau uruskan, dan kembalikan selebihnya (yang tidak dapat engkau usahakan).”
Peristiwa ini menunjukkan bahawa pemilik tanah diwajibkan mengusahakan tanah miliknya. Jika tidak, dia diberi tempoh tiga tahun untuk berbuat demikian. Sekiranya selepas tempoh itu dia masih tidak mengusahakannya, negara berhak mengambil semula tanah tersebut dan memberikannya kepada orang lain.
Yunus meriwayatkan daripada Muhammad bin Ishaq, daripada Abdullah bin Abu Bakar bahawa Bilal bin al-Harith al-Muzni pernah datang kepada Rasulullah SAW dan memohon agar Baginda memberikan kepadanya sebidang tanah. Rasulullah SAW pun memberikan kepadanya tanah yang sangat luas. Apabila Sayidina Umar RA menjadi khalifah, beliau berkata kepada Bilal, “Wahai Bilal, engkau telah meminta Rasulullah SAW agar memberikan kepadamu tanah yang luas, lalu Baginda memberikannya kepadamu. Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak pernah menolak sesuatu yang diminta daripadanya. Namun kini engkau tidak mampu mengusahakan tanah yang berada di tanganmu.” Bilal menjawab, “Benar.” Umar berkata lagi, “Maka lihatlah bahagian tanah yang engkau mampu usahakan dan peganglah ia. Adapun bahagian yang engkau tidak mampu uruskan, serahkanlah kepada kami agar kami bahagikan kepada kaum Muslimin.” Bilal menjawab, “Demi Allah, aku tidak akan melakukan apa-apa terhadap sesuatu yang telah diberikan Rasulullah SAW kepadaku.” Umar membalas, “Demi Allah, engkau pasti akan melakukannya.” Akhirnya, Umar mengambil bahagian tanah yang tidak mampu diusahakan oleh Bilal dan membahagikannya kepada kaum Muslimin.
Perbuatan Umar RA ini berlaku di hadapan para sahabat dan mereka mendengarnya, namun tiada seorang pun yang membantahnya. Sedangkan, perkara tersebut sebenarnya boleh dibantah kerana ia melibatkan pengambilan harta milik seorang Muslim dengan paksaan.
Sikap diam para sahabat terhadap tindakan Umar menunjukkan ijmak (kesepakatan), dan hal ini menjadi dalil syarak. Maka, hadis tersebut dan ijmak para sahabat menjadi dalil bahawa apabila pemilik tanah tidak mengusahakannya selama tiga tahun berturut-turut, negara berhak mengambilnya secara paksa dan memberikannya kepada orang lain.
Terdapat pandangan yang mengatakan bahawa hadis tersebut hanya khusus untuk tanah yang dipagari (al-ard al-muhajjarah) dan tidak termasuk jenis tanah lain. Menurut pandangan tersebut, tanah yang dimiliki melalui pemagaran (tahjir) dan ditinggalkan selama tiga tahun boleh diambil daripada pemiliknya berdasarkan nas hadis. Sebaliknya tanah yang dimiliki melalui cara menghidupkan tanah (ihya’), pembelian, pemberian (hibah), pewarisan, atau pemberian negara (iqta’), tidak boleh diambil, kerana tidak termasuk dalam maksud hadis berkenaan.
Namun, pandangan ini adalah salah. Hal ini kerana penyebutan tentang tahjir dalam hadis itu hanyalah salah satu sebab pemilikan, sebagaimana sebab-sebab pemilikan yang lain. Tambahan pula, ia tidak boleh difahami sebagai bentuk pembatasan (qaydiyyah), kerana lafaz muhtajir dalam hadis tersebut bukanlah sifat yang memberi makna sebab hukum (‘illat) sehingga sesuai dijadikan batas. Sebaliknya, lafaz itu merupakan sifat yang tidak memberikan makna (‘illat), maka ia tidak dianggap sebagai batas bagi hukum tersebut.
Maksudnya, lafaz muḥtajir bukanlah sifat yang memberi makna ‘illat (sebab hukum) sehingga boleh dijadikan batas (qayyid), seperti dalam contoh, “Akrim al-‘ālim” (muliakan orang berilmu), “Al-qātil lā yarith” (pembunuh tidak mewarisi), dan “Lā yaqḍī al-qāḍī wa huwa ghaḍbān” (hakim tidak boleh menghukum ketika marah).
Dalam contoh-contoh ini, sifat-sifat tersebut memberikan makna bahawa ‘illat kemuliaan ialah ilmu, ‘illat penghalang warisan ialah pembunuhan, dan ‘illat larangan menghukum ialah kemarahan. Sifat-sifat ini memberi makna ‘illat, maka ia menjadi batas hukum.
Namun, lafaz muḥtajir (orang yang memagari tanah) bukanlah daripada jenis tersebut. Sebaliknya, ia merupakan sifat yang tidak memberikan makna ‘illat (sebab hukum), seperti ungkapan, “Muliakan orang jahil”, atau “Sesiapa yang membina tembok di sekeliling tanah, maka tanah itu miliknya”, atau “Sesiapa yang menyorokkan makanan (menimbun bekalan)”, dan seumpamanya.
Dalam contoh-contoh seperti ini, sifat yang disebut adalah sifat yang tidak memberi pengertian sebab (‘illat). Maka kejahilan bukanlah ‘illat bagi kemuliaan, dan membina tembok di sekeliling tanah bukanlah ‘illat bagi pemilikan tanah. Malah, jika seseorang meletakkan apa-apa tanda yang menunjukkan bahawa tanah itu telah diambil, walaupun hanya dengan meletakkan batu di setiap penjuru atau batang besi, atau apa sahaja, maka tanah itu menjadi miliknya.
Oleh itu, membina tembok bukanlah pembatas (qayyid), kerana ia merupakan sifat yang tidak memberikan makna ‘illat. Begitu juga halnya dengan makanan, ia bukanlah ‘illat kepada penimbunan (iḥtikār), yakni bukan kerana ia makanan yang dimakan maka menjadi sebab larangan menimbun. Bahkan, menimbun adalah dilarang dalam apa jua bentuk barang; sekiranya seseorang menimbun sutera sekalipun, dia tetap berdosa kerana lafaz ṭaʿām (makanan) bukanlah sifat yang memberikan makna ‘illat, dan begitulah seterusnya.
Oleh itu, lafaz muḥtajir dalam hadis tersebut bukanlah suatu batasan (qayyid), kerana ia bukanlah sifat yang menunjukkan bahawa tanah itu ditinggalkan tanpa diusahakan, tetapi hanya merujuk kepada perbuatan memagari (menandakan kawasan). Ia termasuk dalam kategori penyebutan satu contoh daripada maksud umum (mutlaq), iaitu pengambilan tanah daripada pemiliknya apabila ia diabaikan.
Hal ini sama seperti pelaksanaan dalil, “Sesiapa yang memagar tanah dengan tembok…” dan juga sabda Baginda: “Sesiapa yang menimbun makanan…”
Oleh itu, nas hadis tersebut bersifat umum, dan penyebutan muḥtajir hanyalah merujuk kepada salah satu individu daripada individu-individu yang termasuk dalam maksudnya, iaitu salah satu sebab pemilikan (tanah). Penyebutan itu bukanlah suatu pembatas yang menghalang selain daripada muhtajir, iaitu bukan pembatas yang khusus bagi sebab pemilikan tertentu, iaitu perbuatan memagari tanah.
Maka makna hadis tersebut ialah seseorang pemilik tanah yang mengabaikan tanahnya tidak lagi mempunyai hak ke atasnya selepas tiga tahun. Penyebutan muḥtajir hanyalah contoh bagi seorang pemilik yang memperoleh tanah melalui salah satu sebab pemilikan, sebagaimana jika disebut: “Tiada bagi seorang pewaris…” atau “Tiada bagi seorang pembeli…”
Hal ini turut diperkuatkan oleh kenyataan bahawa permulaan hadis membicarakan tentang iḥyāʾ al-mawāt (menghidupkan tanah mati), sedangkan hukum yang disebut diberikan berkenaan taḥjīr (pemagaran tanah). Lafaz hadis berbunyi: “Sesiapa yang menghidupkan tanah mati maka tanah itu menjadi miliknya, dan tiada hak bagi orang yang memagar tanah selepas tiga tahun.”
Maka dapat difahami daripadanya bahawa maksudnya ialah: “Dan tiada hak bagi orang yang menghidupkan tanah mati selepas tiga tahun,” berdasarkan penyebutan iḥyāʾ pada permulaan hadis, yang menunjukkan bahawa hukum tersebut turut merangkumi makna itu.
Hal ini turut disokong oleh hakikat bahawa ijmak yang terbentuk berkenaan pengambilan tanah daripada orang yang mengabaikannya berlaku dalam peristiwa tanah yang diberikan melalui iqṭāʿ (pemberian tanah oleh negara), bukan tanah yang dipagar (muḥajjarah). Ini membuktikan bahawa lafaz muḥtajir bukanlah suatu pembatas (qayyid).
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #EkonomiIslam #Ekonomi #HukumTanah