Cinta Sejati Untuk Baginda Nabi SAW
Oleh: Arief B. Iskandar
Banyak lisan yang fasih berselawat. Sudah tentunya itu bagus. Banyak hati yang mengaku rindu kepada Rasulullah. Sudah tentunya itu juga baik. Namun, apakah itu mencukupi? Sudah tentu tidak. Sebabnya, cinta kepada Baginda Rasulullah SAW adalah berkait dengan cinta kepada Allah SWT. Adapun cinta kepada Allah SWT memiliki ukuran yang tegas:
قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٣١
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.’” [TMQ Ali ‘Imran (3): 31]
Cinta sejati kepada Allah SWT mesti dibuktikan dengan cinta kepada Rasulullah SAW dengan meneladani baginda. Meneladani baginda sebagai bukti cinta kepada baginda tentu bukan hanya terbatas dalam urusan ibadah ritual sahaja. Bahkan baginda juga wajib diteladani dalam mengatur urusan umat, memimpin negara, mengatur perdagangan, menegakkan keadilan serta menyebarkan dakwah hingga ke luar negeri.
Dengan demikian, cinta kepada Baginda Rasulullah SAW tak cukup berhenti di bibir. Ia menuntut pembuktian dengan ketaatan sepenuhnya; dengan mengikuti jejak langkah baginda dalam seluruh aspek kehidupan; dari akidah, ibadah, akhlak, muamalah hingga perjuangan menegakkan syariah secara kâffah.
Rasulullah SAW bersabda:
«لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ، وَوَلَدِهِ، وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ»
”Tidak sempurna iman salah seorang dari kalian sampai aku lebih dia cintai daripada orang tuanya, anaknya, dan seluruh manusia.” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menjadi tolok ukur bahawa cinta kepada Nabi SAW mesti berada di kemuncak, mengatasi cinta kepada keluarga, harta, bahkan diri sendiri.
Imam an-Nawawi menegaskan, “Cinta yang dimaksudkan adalah cinta yang mendorong untuk mentaati segala perintah baginda dan mengutamakan baginda atas segala hal duniawi.” (An-Nawawi, Syarh Shahîh Muslim, 2/15).
Al-Qadhi ‘Iyadh berkata, “Tanda cinta kepada Nabi SAW adalah meneladani baginda, mengamalkan sunnah baginda, mengikuti perintah baginda, menjauhi larangan baginda dan beradab dengan adab baginda.” (Al-Qadhi Iyadh, Asy-Syifâ’, hlm. 49–50).
Ditegaskan pula bahawa di antara tanda-tanda cinta sejati kepada Baginda Rasulullah SAW adalah:
Pertama, mengikuti ajaran baginda sepenuhnya [Rujuk: QS Ali ‘Imran (3): 31].
Kedua, membela kehormatan baginda dan risalahnya dari penghinaan [Rujuk: QS at-Taubah (9): 24], Ath-Thabari, Tafsîr ath-Thabari, 14/496–498).
Ketiga, menghidupkan sunnah dan memerangi bid’ah (Al-Qadhi ‘Iyadh, Asy-Syifâ’, hlm. 49–50).
Keempat, berjuang menegakkan Islam secara kâffah (An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 2/15).
Kelima, merindukan pertemuan dengan baginda dan memperbanyak selawat ke atasnya (HR al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hal ini, sewajarnya kita meneladani para Sahabat dalam membuktikan kebenaran, kesungguhan dan keikhlasan cinta mereka kepada Baginda Rasulullah SAW. Contohnya, Sayidina Abu Bakar as-Siddiq RA. Dalam perjalanan hijrah, beliau bergilir-gilir berjalan di hadapan dan di belakang Rasulullah SAW. Apabila ditanya tentang sebabnya, beliau menjawab, “Jika aku teringat ancaman musuh di hadapan, aku berjalan di hadapanmu. Dan apabila aku teringat bahaya dari belakang, aku berjalan di belakangmu.” Beliau benar-benar bimbang sekiranya sebarang bahaya menimpa Baginda Rasulullah SAW.
Di Gua Tsur, beliau menutup lubang gua tersebut dengan kain dan kakinya sendiri walaupun digigit haiwan berbisa, semata-mata agar Rasulullah SAW dapat beristirehat dengan tenang (Ibnu Hisyam, Sirah Ibn Hisyam, 2/91–94; Ibnu Katsir, Al-Bidayah wa an-Nihayah, 3/222). Inilah cinta sejati yang sanggup mengorbankan keselesaan, bahkan nyawa sendiri.
Contoh yang lain adalah Sahabat Thufail bin ‘Amr ad-Dausi RA. Ketika Rasulullah SAW wafat, Thufail bermimpi bertemu dengan Baginda. Beliau kemudian bertekad untuk meneruskan perjuangan Rasulullah SAW. Beliau terjun ke medan perang sehingga syahid (Ibnu Hisyam, Sirah Ibn Hisyam, 4/256–257). Inilah cinta yang mengobarkan semangat jihad hingga ke akhir hayat.
Sahabat Anas bin Malik RA adalah contoh berikutnya. Anas RA setia berkhidmat melayani baginda Nabi SAW selama sepuluh tahun dengan khidmat yang terbaik. Pengabdian dan khidmatnya yang tulus itu melahirkan rasa cinta dan kasih sayang daripada Baginda. Beliau bersaksi: “Baginda tidak pernah sekali pun berkata ‘ah’ kepadaku, dan tidak pernah bertanya mengapa aku melakukan sesuatu atau mengapa aku meninggalkannya.” (HR Muslim, Kitab al-Fadha’il, No. 2309; Adz-Dzahabi, Siyar A‘lam an-Nubala’, 3/395). Inilah cinta yang tumbuh daripada kelembutan dan teladan akhlak.
Alhasil, cinta kepada Rasulullah SAW hendaklah kita bawa hingga ke akhir hayat; ia mesti dibuktikan melalui ketaatan, perjuangan dan pembelaan terhadap agama yang dibawa oleh Baginda. Bahkan, cinta sejati kepada Nabi Muhammad SAW akan membawa sang pemilik cinta ke dalam syurga-Nya bersama-sama dengan Baginda. Hal ini sebagaimana sabda Nabi SAW:
«أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ»
”Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai” (HR al-Bukhari, Kitâb al-Adab, No. 6169; HR. Muslim, Kitâb al-Birr wa as-Silah, No. 2639).
Berkaitan hadis tersebut, Anas bin Malik RA berkata: “Kami tidak pernah bergembira sebagaimana kegembiraan kami ketika mendengar sabda ini. Aku mencintai Nabi SAW, Abu Bakar dan Umar. Aku berharap akan bersama-sama dengan mereka walaupun amalanku tidak seperti amalan mereka.” (Adz-Dzahabi, Siyar A‘lam an-Nubala’, 3/395)
Semoga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang mencintai Nabi Muhammad SAW setulus hati.
«اَللّٰهُمَّ اجْعَلْ حُبَّكَ وَحُبَّ نَبِيِّكَ أَحَبَّ إِلَيْنَا مِنْ أَنْفُسِنَا وَأَمْوَالِنَا وَأَوْلَادِنَا، وَمِنَ الْمَاءِ الْبَارِدِ عَلَى الظَّمَأ»
”Ya Allah, jadikanlah cinta kepada-Mu dan cinta kepada Nabi-Mu lebih tinggi daripada cinta kami kepada diri kami, harta kami, anak-anak kami bahkan dari air sejuk di saat dahaga.”
Wa mâ tawfîqî illâ bilLâh.
#CintaNabi #CintaRasul