Jangan Larut dalam Kesedihan: Iman Tidak Tumbuh di Tanah Putus Asa
Oleh: Nabila Zidane (Jurnalis)
Islam tidak melarang manusia daripada bersedih. Apa yang dilarang ialah bersedih berlebihan sehingga hilang iman, harapan, dan rasa syukur.
Kerana kesedihan yang tidak terkawal bukan sahaja melemahkan jiwa, tetapi juga membuka pintu bagi syaitan untuk menanamkan rasa putus asa, su’uzhan kepada Allah, dan kufur nikmat.
Allah SWT berfirman, “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” (TMQ. At-Taubah [9]: 40)
Ayat ini bukan sekadar penghiburan, tetapi prinsip hidup untuk orang beriman. Selagi Allah bersama kita, apa alasan untuk hancur?
Bahaya Sedih Berlebihan bagi Keimanan
Kesedihan yang tidak terkawal boleh bertukar menjadi mempersoalkan takdir, membenci keadaan, dan akhirnya meragui kebijaksanaan Allah.
Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah redha jika kalian redha dengan takdir-Nya, dan Allah murka jika kalian murka terhadap takdir-Nya.” (HR. At-Tirmidzi – hasan)
Maksudnya, bagaimana kita menerima musibah menentukan posisi kita di hadapan Allah. Kesedihan yang disertai ratapan dan protes batin adalah benih kufur nikmat.
Ia membuatkan seseorang lupa bahawa sehingga saat ini dia masih bernafas dengan bebas dan mudah tanpa bantuan peralatan perubatan,
masih diberi iman, dan masih mempunyai Allah.
Syeikh Ibnu ‘Atha’illah As-Sakandari berkata dalam Al-Hikam, “Rehatkanlah dirimu daripada menguruskan urusan. Apa yang telah Allah aturkan untuk kamu, janganlah engkau membebani diri kamu untuk menguruskannya.”
Sedangkan ketenangan datang apabila kita menyerahkan semua perkara diluar kawalan kita kepada Yang Maha Mengetahui.
Beliau juga berkata, “Tanda kejayaan seseorang adalah kembalinya dia kepada Allah apabila datang musibah.”
Ini bermakna, musibah bukan alasan untuk menjauh diri kita daripada Allah, tetapi sebaliknya jalan terpantas untuk mendekat diri kepada-Nya.
Imam Ibnul Qayyim berkata, “Kesedihan itu melemahkan hati, mematikan semangat, dan menahan langkah menuju Allah.”
Kesedihan yang tidak diserahkan kepada Allah akan melumpuhkan jiwa, sementara sabar dan redha akan menguatkan ruh.
Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa orang yang redha dengan takdir akan sentiasa hidup dengan tenang, mengapa? Kerana mereka tidak bergantung pada keadaan untuk kebahagiaan mereka, tetapi kepada Allah.
Solusi Muslim Apabila Ujian Datang
Islam tidak mengajar “menafikan rasa sakit”, tetapi mengajar mengurus rasa sakit dengan iman. Terdapat tiga solusi, iaitu:
Pertama, sabar. Sabar bukanlah tentang berdiam diri, tetapi bertahan tanpa memberontak kepada Allah.
Kedua, berlapang dada. Terima bahawa Allah telah memilih takdir ini kerana Allah Maha Mengetahui masa depan sedangkan kita, tidak tahu.
Ketiga, optimis dalam mencari solusi. Orang beriman tidak pasrah kepada masalah, tetapi terus bergerak sambil bertawakal, kerana Allah adalah sebaik-baik Penolong.
Allah berfirman, “Sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” (TMQ. At-Talaq [65]: 3)
Jadi kawan, tidak mengapa bersedih. Menangis boleh. Lelah boleh. Tetapi putus asa tidak boleh. Kerana selagi Allah ada, tidak ada satu pun masalah yang lebih besar daripada rahmat-Nya.
Dan mereka yang belajar untuk redha dengan takdir pasti akan mendapati bahawa di sebalik setiap luka, Allah sedang menyimpan darjat yang lebih tinggi. Barakallahufikum.
#sedih #latahzan #pengurusanemosi #jiwasihat #berdamaidengantakdir #jiwatenang

