[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 11/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan dari Bahagian 10/46)
Kaedah syarak menetapkan bahawa “industri mengambil hukum berdasarkan apa yang dihasilkannya”. Berdasarkan kaedah ini, pembuatan benda-benda yang haram, seperti pembuatan salib sebagai contoh, adalah dilarang. Begitu juga, penghasilan benda-benda yang tergolong dalam pemilikan umum, seperti perlombongan petroleum sebagai contoh, termasuk dalam kategori pemilikan umum.
Maksudnya, individu tidak dibenarkan untuk mengusahakan atau menghasilkan sesuatu yang haram, seperti pembuatan patung. Mereka juga tidak dibenarkan mengusahakan atau menghasilkan sesuatu yang tergolong dalam pemilikan umum dengan tujuan menjadikannya sebagai pemilikan individu, sehingga menghilangkan sifatnya sebagai pemilikan umum seperti perlombongan besi sebagai contoh.
Sesungguhnya sesuatu industri hanya dapat dijalankan melalui suatu alat yang digunakan untuk menghasilkan benda yang hendak dibuat, sama ada berupa bekas untuk memerah arak, pahat untuk mengukir patung, atau gergaji untuk membuat salib. Oleh itu, alat tersebut mengambil hukum berdasarkan apa yang dihasilkannya. Dengan kata lain, kilang atau alat pengeluaran mengambil hukum berdasarkan apa yang dibuat olehnya, sebagaimana industri juga mengambil hukum berdasarkan produk yang dihasilkannya.
Maka sekiranya sesuatu bekas itu tidak digunakan kecuali untuk memerah arak, bekas tersebut dilarang secara keseluruhan. Sekiranya ia digunakan untuk memerah arak dan juga kegunaan lain, maka dilarang penggunaannya bagi memerah arak. Malah pemilikannya juga dilarang sekiranya pemilikan itu khusus bertujuan untuk memerah arak. Dengan demikian, alat atau kilang mengambil hukum berdasarkan apa yang dihasilkannya.
Begitu juga, sekiranya sesuatu alat atau kilang itu dikhususkan untuk menghasilkan benda yang tergolong dalam pemilikan umum, maka ia sendiri menjadi pemilikan umum. Sekiranya ia digunakan untuk menghasilkan benda yang tergolong dalam pemilikan umum serta untuk menghasilkan perkara lain, maka dilarang penggunaannya bagi menghasilkan perkara yang tergolong dalam pemilikan umum. Apabila penggunaan tersebut dilarang, maka pemilikannya juga dilarang sekiranya pemilikan itu khusus bertujuan untuk menghasilkan perkara yang tergolong dalam pemilikan umum sehingga menafikan sifatnya sebagai pemilikan umum. Oelh itu, dalam keadaan ini, ia tidak boleh menjadi pemilikan individu.
Daripada hal ini jelaslah bahawa jenis pengeluaran sesebuah kilang menentukan hukum kilang tersebut. Iaitu, kilang dilarang menghasilkan benda-benda yang haram, dan juga dilarang menghasilkan benda-benda yang tergolong dalam pemilikan umum sekiranya kilang itu dimiliki secara individu dan pengeluaran tersebut menyebabkan benda-benda itu terkeluar daripada sifatnya sebagai pemilikan umum.
Maka larangan menghasilkan kedua-dua jenis benda tersebut menjadikan kilang yang disediakan untuk menghasilkan benda-benda haram sebagai haram, dan menjadikan kilang yang disediakan untuk menghasilkan benda-benda yang tergolong dalam pemilikan umum, yang penghasilannya mengeluarkan perkara tersebut daripada sifatnya sebagai pemilikan umum, sebagai pemilikan umum. Dengan demikian, kilang mengambil hukum berdasarkan apa yang dihasilkannya, sebagaimana industri juga mengambil hukum berdasarkan apa yang dihasilkannya.
Berdasarkan kaedah ini, kilang-kilang hendaklah dinilai. Sekiranya bahan-bahan yang dihasilkan tidak tergolong dalam pemilikan umum, maka kilang tersebut kekal menurut hukum asalnya sebagai pemilikan individu, seperti kilang gula-gula (manisan), kilang tekstil, kilang kenderaan, dan seumpamanya.
Adapun sekiranya kilang-kilang itu digunakan untuk menghasilkan bahan-bahan yang tergolong dalam pemilikan umum seperti kilang perlombongan mineral, antaranya pengeluaran petroleum, besi, emas dan seumpamanya, maka kilang-kilang tersebut tergolong sebagai pemilikan umum dan tidak termasuk dalam pemilikan individu. Oleh itu, individu dilarang memilikinya. Dengan kata lain, hukumnya mengikuti hukum apa yang dihasilkannya. Memandangkan mineral yang tidak terputus bekalannya merupakan pemilikan umum, maka kilang-kilang yang mengeluarkannya juga adalah pemilikan umum.
Inilah hukum syarak berkaitan kilang, iaitu bahawa hukum asalnya ialah pemilikan individu. Namun, sekiranya kilang tersebut digunakan untuk menghasilkan benda yang tergolong dalam pemilikan umum, maka ia berubah menjadi pemilikan umum dan ia menjadi milik umum.
Hukum ini wajib diterima kerana ia diistinbatkan daripada dalil syarak. Dalilnya pula bukan dalil yang berasaskan ‘illat, maka ia tidak memerlukan pencarian ‘illat; sebaliknya ia diterima semata-mata kerana dalil tersebut. Namun demikian, dari sudut penilaian realiti, hukum inilah yang paling tepat dan berkesan dalam menangani masalah yang berlaku.
Hakikatnya, mesin atau alat pengeluaran pada sifat semula jadinya ialah pemilikan individu. Ia telah menjadi pemilikan individu sejak awal kewujudannya, sama ada ketika ia berupa mesin yang digerakkan secara manual, mahupun ketika ia berkembang menjadi kilang yang digerakkan oleh kuasa wap. Tidak pernah timbul sebarang aduan terhadap pemilikannya secara individu, dan tidak pernah muncul sebarang kezaliman atau kerosakan akibat pemilikannya secara individu.
Sebaliknya, kezaliman hanya muncul apabila kilang-kilang ditangani menurut sistem kapitalis. Ketika itulah tersingkap kezaliman dan kerosakan tersebut, iaitu apabila berlakunya revolusi perindustrian. Maka jelaslah bahawa kerosakan itu bukan berpunca daripada pemilikan kilang secara individu, tetapi berpunca daripada penerapan sistem kapitalisme ke atasnya, iaitu dengan menjadikan peningkatan pengeluaran sebagai asas sistem, serta memberikan kebebasan mutlak kepada manusia dalam pemilikan dan dalam pekerjaan.
Oleh itu, secara tabii adalah wajar kilang menjadi pemilikan individu, kerana realiti hakikatnya menuntut demikian. Ini adalah dari sudut kedudukannya sebagai suatu alat (mesin). Adapun dari sudut pengeluaran, harta yang dihasilkan adalah berbeza-beza. Ada yang tergolong sebagai pemilikan individu, maka kilang kekal sebagai pemilikan individu. Ada pula yang tergolong sebagai pemilikan umum, maka kilang itu berubah menjadi pemilikan umum.
Di sini mungkin dikemukakan dakwaan bahawa memandangkan kilang mengambil hukum berdasarkan apa yang dihasilkannya, maka penentuan sama ada ia pemilikan umum atau individu hendaklah diserahkan kepada negara. Dengan itu, negara mempunyai kuasa untuk menjadikan mana-mana kilang sebagai pemilikan umum sekiranya ia berpendapat bahawa apa yang dihasilkan oleh kilang tersebut tergolong dalam pemilikan umum; dan inilah yang dinamakan sebagai nasionalisasi (ta’mīm).
Jawapan terhadap dakwaan ini ialah: benar bahawa status kilang bergantung kepada jenis harta yang dihasilkannya, sama ada ia tergolong sebagai pemilikan awam atau pemilikan individu.
Namun tidak benar bahawa penentuan terhadap apa yang dihasilkan itu perlu diserahkan kepada negara. Sebaliknya, syarak sendiri telah mentakrifkan harta-harta awam dan menetapkannya dengan penentuan yang jelas dan tegas melalui nas-nas syarak, tanpa sebarang kekaburan.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #EkonomiIslam #Ekonomi #Perindustrian