[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 10/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan dari Bahagian 9/46)
Bilakah Kilang Menjadi Milik Umum?
Namun demikian, industri, iaitu apa jua bentuk kegiatan perindustrian, mengambil hukum berdasarkan apa yang dihasilkan daripadanya. Hal ini kerana Rasulullah SAW telah mengharamkan perbuatan memerah arak, sedangkan perbuatan tersebut merupakan suatu bentuk industri.
Diriwayatkan daripada Anas RA, beliau berkata, “Rasulullah SAW telah melaknat sepuluh golongan berkaitan arak: orang yang memerahnya, orang yang meminta agar ia diperah …” [HR At-Tirmidzi].
Dan diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar RA, beliau berkata: “Arak dilaknat pada sepuluh aspek,
iaitu: arak itu sendiri, orang yang meminumnya, orang yang menuangkannya, orang yang menjualnya, orang yang membelinya, orang yang memerahnya, dan orang yang meminta agar ia diperah … ‘ [HR Ibnu Majah dan Ahmad].
Maka industri memerah (‘aṣr) pada asalnya adalah harus, sama ada memerah anggur, oren, epal, atau selainnya. Hal ini kerana industri, dari sudut ia sebagai suatu perbuatan, adalah harus; dan termasuk dalam keharusan umum industri ialah perbuatan memerah.
Namun Rasulullah SAW datang mengharamkan industri memerah arak. Pengharaman tersebut bukan kerana perbuatan memerah itu sendiri, tetapi kerana perahan tersebut menghasilkan arak. Dengan demikian, perbuatan memerah diberikan hukum berdasarkan apa yang dihasilkannya. Inilah yang dimaksudkan bahawa sesuatu industri mengambil hukum berdasarkan produk yang dihasilkannya.
Prinsip ini bukan khusus berkaitan arak semata-mata, tetapi bersifat umum bagi setiap perkara yang haram. Oleh itu, industri ganja, candu, heroin dan seumpamanya adalah haram kerana bahan-bahan tersebut sendiri adalah haram. Begitu juga industri salib adalah haram kerana mengambil salib itu sendiri adalah haram, dan industri patung adalah haram kerana patung itu sendiri adalah haram, dan demikianlah seterusnya.
Berdasarkan kedua-dua hadis yang melaknat orang yang memerah arak dan orang yang meminta agar ia diperah, disimpulkan kaedah bahawa ‘Industri mengambil hukum berdasarkan apa yang dihasilkannya.’
Istinbāṭ (pengambilan hukum) ini jelas dari segi aspek pendalilannya. Larangan terhadap perbuatan memerah arak bukanlah larangan terhadap perbuatan memerah itu sendiri, sebaliknya ia merupakan larangan terhadap perbuatan memerah arak. Maka perbuatan memerah itu sendiri tidak haram, tetapi memerah araklah yang haram. Dengan itu, pengharaman terhadap suatu industri terhasil daripada pengharaman terhadap produk yang dihasilkannya. Ini merupakan dalil yang jelas bahawa industri mengambil hukum berdasarkan apa yang dihasilkannya.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #EkonomiIslam #Perindustrian