[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 9/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan dari Bahagian 8/46)
- Industri
Perindustrian merupakan salah satu asas penting dalam kehidupan ekonomi bagi setiap bangsa dan masyarakat. Pada peringkat awal, kegiatan perindustrian hanya terbatas kepada pengeluaran secara manual (kilang tradisional) semata-mata.
Apabila manusia menemui cara menggunakan kuasa wap untuk menggerakkan mesin, maka kilang mekanikal mula menggantikan kilang tradisional. Kemudian, dengan munculnya pelbagai penemuan moden, berlakulah revolusi besar dalam bidang perindustrian yang menyebabkan peningkatan pengeluaran secara luar biasa, jauh melebihi apa yang pernah dibayangkan sebelumnya.
Sejak itu, kilang mekanikal menjadi salah satu asas utama kehidupan ekonomi. Revolusi perindustrian ini turut menyingkap dengan jelas kezaliman sistem kapitalis, iaitu kezaliman yang terserlah melalui eksploitasi para pemilik modal terhadap tenaga kerja buruh, serta kemunculan monopoli dan gabungan syarikat gergasi (trusts) yang menindas masyarakat.
Oleh sebab itu, muncullah gagasan sosialisme, dan dikemukakan untuk perbahasan persoalan pemilikan industri: adakah ia milik negara atau milik individu, atau adakah ia tergolong sebagai pemilikan umum atau pemilikan individu?
Isu ini diketengahkan berikutan terserlahnya kerosakan sistem kapitalisme yang diterapkan di negara-negara yang mengalami revolusi perindustrian, serta terbongkarnya kezaliman sistem tersebut secara nyata dan ketara.
Oleh itu, dalam membahaskan permasalahan industri, tidak wajar kita memaksakan ke atas diri kita persoalan: adakah industri-industri itu tergolong sebagai pemilikan umum atau pemilikan individu? Ertinya, tidak wajar kita memaksakan ke atas diri kita kerangka pemikiran yang lahir daripada konteks tersingkapnya kerosakan sistem kapitalisme sehingga membawa kepada kemunculan gagasan sosialisme, lalu kita mengikat dan mengurung diri dalam batas-batas tersebut.
Sebaliknya, industri hendaklah dikaji berdasarkan realitinya sebagai suatu alat, serta ditinjau dari sudut hasil pengeluarannya. Dengan itu, persoalan pemilikannya dinilai berasaskan hakikat tersebut. Oleh sebab itu, kajian mengenai industri tidak wajar dilihat berdasarkan pandangan sistem kapitalisme dan kemunculan gagasan sosialisme sebagai jalan penyelesaian terhadapnya. Hal ini kerana tujuan sebenar dalam melihat permasalahan industri bukanlah untuk menjelaskan kerosakan kapitalisme, atau untuk menzahirkan kesalahan mahupun kebenaran sosialisme.
Sebaliknya, yang dimaksudkan ialah melihat industri berdasarkan hakikatnya sebagai suatu alat pengeluaran, sama ada ia tergolong sebagai pemilikan individu atau sebagai pemilikan umum. Maka apabila industri itu dilihati berdasarkan asas tersebut, iaitu berdasarkan hakikat realitinya sebagaimana adanya, dengan tujuan untuk mencari penyelesaian yang sesuai bagi realiti tersebut, maka pada ketika itu permasalahan tersebut dianggap telah ditangani dan diselesaikan.
Adapun jika industri itu dilihat berdasarkan realiti kezaliman yang berlaku di dalamnya seperti kezaliman terhadap para pekerja dan masyarakat secara umum melalui eksploitasi tenaga buruh, monopoli pasaran dan penguasaan bahan mentah sebagaimana yang dilakukan oleh sosialisme, maka penyelesaian yang dihasilkan pada ketika itu sebenarnya hanyalah penyelesaian terhadap kezaliman yang diwujudkan oleh sistem kapitalisme. Dengan kata lain, ia merupakan penyelesaian terhadap sistem kapitalisme itu sendiri, dan bukannya penyelesaian terhadap permasalahan industri.
Sedangkan yang dituntut ialah suatu hukum yang menangani realiti industri itu sendiri, bukan hukum untuk menyelesaikan masalah sistem kapitalisme. Oleh itu, berasaskan pendekatan ini, penyelesaian terhadap masalah industri hendaklah berupa penerapan hukum-hukum yang khusus bagi menangani realiti industri itu sendiri.
Islam telah datang dengan menjelaskan hukum-hakam berkaitan industri, dengan menetapkan bahawa hukum asal pemilikannya ialah pemilikan individu. Oleh itu, setiap individu daripada kalangan rakyat berhak memiliki industri tersebut. Maka industri, dari sudut hakikatnya, tergolong dalam pemilikan individu, dan bukan termasuk dalam pemilikan umum mahupun pemilikan negara.
Dalil bagi ketetapan ini ialah bahawa Rasulullah SAW pernah menempah pembuatan cincin, dan Baginda juga pernah menempah pembuatan mimbar, serta menempah kedua-duanya daripada pihak yang memiliki tempat pembuatan sebagai pemilikan individu. Selain itu, masyarakat pada zaman Rasulullah SAW turut melakukan tempahan pembuatan (istiṣnā‘), dan Baginda tidak melarang perbuatan tersebut. Sikap diam Baginda ini menunjukkan pengakuan (iqrār) terhadap pemilikan individu ke atas industri.
Hal ini membuktikan bahawa Rasulullah SAW telah mengiktiraf pemilikan individu terhadap industri, sama ada industri senjata, industri logam, bengkel pertukangan kayu, atau selainnya. Tidak diriwayatkan sebarang larangan terhadap pemilikan industri, dan tidak terdapat satu pun nas yang menunjukkan bahawa industri tergolong sebagai pemilikan umum. Begitu juga, tidak ada nas yang menunjukkan bahawa industri merupakan pemilikan negara. Oleh itu, dalil kekal bersifat umum bahawa industri termasuk dalam kategori pemilikan individu.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#Ekonomi #PolitikIslamEkonomi #Perindustrian #Sosialisme #Kapitalisme