[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 12/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan dari Bahagian 11/46)
Sesungguhnya syarak telah menetapkan harta-harta yang tergolong sebagai pemilikan umum yang tidak sah untuk menjadi pemilikan individu kepada tiga jenis:
Pertama, barang galian yang jumlahnya tidak terbatas. Kedua, sumber daya alam yang sifat semula jadinya menghalang ia dimiliki oleh individu secara peribadi. Ketiga, harta yang merupakan kemudahan umum. Jika sesuatu kemudahan itu tidak terdapat di dalam sesebuah negeri, kaum, atau komuniti yang hidup berterusan sebagai satu masyarakat, mereka akan berpecah-belah dalam usaha memperolehnya.
Adapun bahan galian yang tidak terbatas, dalil bahawa ia termasuk dalam pemilikan umum dan tidak boleh dijadikan milik individu ialah sebagaimana diriwayatkan daripada Abyadh bin Hammal. Diceritakan bahawa beliau pernah meminta kepada Rasulullah SAW agar dibenarkan mengusahakan lombong garam di kawasan Ma’rib. Setelah beliau pergi, ada seseorang bertanya, “Wahai Rasulullah, tahukah engkau apa yang telah engkau berikan kepadanya? Sesungguhnya engkau telah memberikan sesuatu yang ibarat air yang mengalir.” Rasulullah kemudian bersabda, “Tariklah lombong itu daripadanya.” [HR Ibnu Majah dan ad-Darimi].
Dalam riwayat Amru bin Qays al-Ma’ribi, beliau berkata, “Aku pernah meminta kepada Rasulullah SAW lombong garam yang terdapat di Ma’rib. Baginda pun memberikannya kepadaku. Namun ada seseorang berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya lombong garam itu seperti air yang mengalir (tidak terbatas).’ Maka Rasulullah SAW bersabda, ‘Kalau begitu, tidak boleh.’” [HR Ibnu Majah dan ad-Darimi].
Maksud air yang tidak terputus al-mā’ al-‘add ialah air yang bekalannya berterusan dan tidak habis. Garam diserupakan dengan air yang tidak terputus kerana sifatnya yang tidak terhenti. Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW pada awalnya telah memberikan (iqṭā‘) ke atas garam gunung kepada Abyadh bin Ḥammāl, dan hal ini menunjukkan bahawa iqṭā‘ (pemberian negara) pada asalnya adalah dibenarkan.
Namun apabila baginda mengetahui bahawa ia termasuk dalam jenis galian yang tidak terbatas, baginda menarik kembali pemberian tersebut, dan Abyadh pun menyerahkannya semula. Rasulullah SAW melarang lombong itu menjadi milik individu kerana ia merupakan pemilikan kolektif atau milik umum.
Hadis di atas bukan menekankan kepada garamnya, tetapi kepada sifat lombong yang tidak terbatas. Peristiwa ini berlaku pada mineral dalam salah satu jenisnya, iaitu garam, dengan sifatnya sebagai galian, dengan syarat ia ibarat air mengalir, iaitu bekalannya berterusan dan tidak terhenti. Maka hadis ini menjadi dalil bahawa galian termasuk dalam pemilikan umum dan tidak boleh dimiliki oleh individu.
Ini mencakupi semua jenis galian, sama ada yang zahir dan mudah diperoleh tanpa usaha berat, yang didatangi oleh orang ramai dan mereka manfaatkan seperti garam, antimoni, batu permata, dan sebagainya; mahupun yang tersembunyi di dalam perut bumi dan hanya boleh diperoleh melalui kerja keras dan kos yang besar seperti emas, perak, besi, tembaga, plumbum, dan seumpamanya. Juga sama ada berbentuk pepejal seperti kristal atau bersifat cecair seperti petroleum dan merkuri. Semuanya termasuk dalam kategori galian yang dimaksudkan oleh hadis tersebut.
Adapun harta yang sifat semula jadinya menghalang untuk dimiliki oleh individu, maka dalil bahawa ia termasuk dalam pemilikan umum ialah pengakuan Rasulullah SAW bahawa semua manusia berkongsi dalam pemilikan jalan-jalan umum.
Rasulullah SAW bersabda: “Mina adalah tempat persinggahan bagi sesiapa yang datang terlebih dahulu.” [HR at-Tirmidzi, Abu Dawud, Ibnu Majah, Ahmad, dan ad-Darimi]
Minā ialah suatu tempat yang terkenal di Hijaz, yang didatangi oleh orang ramai setelah mereka menyempurnakan wukuf di ‘Arafah. Maksudnya, kawasan Minā merupakan milik bersama seluruh manusia. Oleh itu, sesiapa yang terlebih dahulu tiba di mana-mana tempat di situ lalu menetap di sana, maka tempat tersebut menjadi hak penggunaannya.
Maka hal ini menjadi dalil adanya perkongsian antara manusia dalam pemilikan kawasan Minā. Sesiapa yang meneliti realiti jalan awam dan realiti kawasan Minā akan mendapati bahawa sifat kejadiannya secara semula jadi menghalang penguasaan peribadi oleh individu terhadapnya. Jalan umum adalah milik bersama, maka tidak mungkin ia dimiliki secara eksklusif oleh individu atau kumpulan tertentu.
Begitu juga kawasan Minā, yang didatangi oleh para jemaah haji untuk melaksanakan amalan-amalan tertentu dalam ibadah haji. Sifat kejadiannya sebagai tempat pelaksanaan manasik haji bagi semua orang secara semula jadi menghalang ia daripada menjadi milik individu atau kelompok tertentu.
Maka dalil yang datang berkaitan kedua-duanya terpakai ke atas setiap perkara yang mempunyai sifat-sifat yang sama. Penerapannya bukanlah melalui qiyas, sebaliknya melalui pengkhususan individu-individu daripada satu jenis yang sama (ifrād al-jins al-wāḥid).
Berdasarkan hal tersebut, setiap perkara yang sifat semula jadinya menghalang penguasaan eksklusif oleh individu adalah tergolong sebagai pemilikan umum, seperti laut, sungai, tasik, terusan umum, teluk, selat, Terusan Suez dan seumpamanya. Kesemua ini, serta apa-apa yang sejenis dengannya, termasuk dalam kategori pemilikan umum.
Demikian juga masjid-masjid, sekolah-sekolah milik negara, hospital-hospitalnya, padang dan kemudahan sukan milik negara, tempat perlindungan umum, dan seumpamanya, semuanya tergolong sebagai pemilikan umum.
Adapun perkara-perkara yang tergolong sebagai kemudahan umum, maka dalil bahawa ia merupakan pemilikan umum ialah riwayat daripada Abu Kharāsy, daripada sebahagian sahabat Nabi SAW, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Kaum Muslimin berkongsi dalam tiga perkara: air, padang rumput dan api.” [HR Abu Dawud, Ibnu Majah, dan Ahmad]
Hadis ini juga diriwayatkan oleh Anas daripada Ibn ‘Abbās, dengan tambahan lafaz: “Dan harganya adalah haram.” Begitu juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidak boleh dihalang air, api dan padang rumput (daripada sesiapa pun)”
Hadis-hadis ini menjelaskan bahawa barang-barang tersebut adalah milik umum. Namun demikian, petunjuk-petunjuk syarak yang berkaitan dengan perkara ini menunjukkan bahawa perkara-perkara tersebut telah ditetapkan sebagai pemilikan umum kerana adanya sifat tertentu padanya yang menuntut penetapan tersebut.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam
#PolitikEkonomiIslam #Ekonomi