[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 18/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan dari Bahagian 17/46 )
Dalam konteks zaman moden, wujud beberapa bentuk harta yang pada asal hukumnya tergolong sebagai milik persendirian, namun pada realitinya ia dimiliki oleh negara dan bukan oleh individu. Antaranya ialah kilang pembuatan mesin dan kilang pengeluaran kenderaan, serta industri seumpamanya yang memerlukan pelaburan modal yang amat besar. Hal ini kerana pelaksanaan industri-industri sedemikian tidak mampu dilakukan kecuali oleh negara, memandangkan hanya negara memiliki kemampuan, sumber dan kekuatan kewangan yang mencukupi untuk membangunkan kilang-kilang berskala besar tersebut.
Keadaan ini berpunca daripada hakikat bahawa pembinaan kilang-kilang berkenaan menuntut modal yang sangat besar, yang berada di luar kemampuan individu. Justeru, dalam sistem Barat, lazim diwujudkan syarikat berasaskan saham (berhad) yang melalui mekanisme penubuhannya membolehkan pengumpulan modal dalam jumlah yang besar, sehingga dengannya industri-industri berat ini dapat dibina dan dimiliki sebagai pemilikan persendirian.
Namun demikian, Islam mengharamkan bentuk syarikat saham sedemikian, termasuk juga penggabungan beberapa syarikat saham menjadi satu entiti besar seperti trust dan kartel. Hal ini kerana konsep syarikat dalam Islam berpaksikan akad, seumpama jual beli dan sewaan, dan bukannya berasaskan kehendak sepihak seperti wakaf atau wasiat.
Oleh yang demikian, sesebuah syarikat menurut Islam hanya terbentuk melalui rakan-rakan kongsi yang secara langsung mengurus dan melaksanakan urusan syarikat, atau melalui penyertaan modal bersama seorang rakan kongsi yang sendiri menjalankan pengurusan. Secara semula jadi, struktur syarikat seperti ini tidak memungkinkan pengumpulan modal yang sangat besar. Maka berdasarkan hukum-hakam syarikat dalam Islam, tidak mungkin wujud syarikat persendirian yang mampu menguasai modal besar sehingga berkeupayaan membangunkan industri berat berskala mega. Dalam keadaan ini, hanya negara yang kekal berkemampuan melaksanakannya.
Oleh sebab itu, walaupun kilang-kilang tersebut tergolong sebagai milik persendirian dari sudut hukum, hakikat kos dan keperluan pelaksanaannya menyebabkan ia pada realitinya hanya dimiliki oleh negara. Dengan demikian, sistem ini menghalang kewujudan monopoli industri dan pengeluaran sebagaimana yang berlaku dalam sistem kapitalisme, walaupun industri-industri pembuatan mesin, kenderaan dan seumpamanya diklasifikasikan sebagai milik persendirian. Bahkan, penerapan hukum-hakam syarak secara praktikal menjadikan kilang-kilang seperti ini berada di bawah pemilikan negara.
Seiring dengan itu, negara berperanan sebagai pihak yang mengurus dan mentadbir segala perkara yang termasuk dalam pemilikan umum. Dalam masa yang sama, negara juga dibenarkan memiliki perkara-perkara yang tergolong dalam pemilikan persendirian. Namun, sesuatu yang dimiliki oleh negara daripada kategori pemilikan persendirian tidak berubah statusnya menjadi pemilikan umum hanya kerana pemiliknya ialah negara. Penentuan pemilikan umum adalah berdasarkan sifat dan hakikat sesuatu harta menurut syarak, bukan berdasarkan siapa pemiliknya. Oleh itu, harta persendirian yang dimiliki negara dikira sebagai harta negara, seumpama hasil cukai (ḍharībah), kharaj, jizyah dan seumpamanya.
Atas asas ini, negara dibenarkan menjual, menghibahkan atau memberikan konsesi (keistimewaan) penggunaan harta tersebut kepada individu. Berbeza halnya dengan harta yang tergolong dalam pemilikan umum, termasuk kilang-kilang dan kemudahan tertentu, kerana ia merupakan milik seluruh kaum Muslimin. Oleh itu, tidak halal bagi negara untuk menjual, menghibahkan atau memberikan konsesi (keistimewaan) pemilikan terhadap harta milik umum kepada mana-mana pihak.
Apabila negara memiliki kilang-kilang yang tergolong sebagai pemilikan persendirian seperti kilang pembuatan mesin, kilang kenderaan, industri berat, peralatan penjanaan elektrik untuk pencahayaan, kilang simen dan seumpamanya, atau memiliki aset persendirian seperti kenderaan awam, kapal laut, pesawat dan alat pengangkutan barangan, maka segala keuntungan daripadanya menjadi milik negara. Keuntungan tersebut dimasukkan ke dalam Baitulmal di bawah bahagian harta negara, bersama-sama hasil kharaj, jizyah, cukai (dharibah) dan seumpamanya, dan diurus serta dibelanjakan menurut pandangan dan ijtihad khalifah, sebagaimana harta negara yang lain.
Sebaliknya, apabila negara memiliki harta yang tergolong dalam pemilikan umum seperti kilang perlombongan bahan galian, sistem bekalan air awam, penjanaan tenaga untuk haba atau elektrik, serta sarana pengangkutan awam seperti kereta api, trem, metro dan trolleybus, maka keuntungan yang diperoleh daripadanya bukan milik negara, tetapi merupakan hak seluruh kaum Muslimin.
Harta tersebut dimasukkan ke dalam Baitulmal bukan sebagai harta negara, sebaliknya dalam bahagian khusus bagi pemilikan umum. Baitulmal dalam hal ini hanyalah berfungsi sebagai tempat simpanan dan penjaga, bukan sebagai pihak yang berhak ke atas harta tersebut, kerana pemilik sebenarnya ialah seluruh kaum Muslimin.
Harta tersebut diagihkan kepada seluruh kaum Muslimin tanpa sebarang pembezaan antara golongan kaya dan miskin, kanak-kanak dan dewasa, lelaki dan perempuan, mahupun antara yang soleh dan yang sebaliknya. Hal ini kerana ia merupakan harta milik bersama umat Islam, maka hak ke atasnya adalah milik semua kaum Muslimin.
Namun, pengagihan hasil daripada harta yang tergolong dalam pemilikan umum kepada rakyat bukanlah suatu kewajipan yang ditetapkan. Tidak disyaratkan agar nilai atau harga harta milik umum itu mesti diagihkan, dan tidak juga diwajibkan supaya ia diagihkan dalam bentuk fizikal semata-mata. Pengagihan boleh dilakukan sama ada dalam bentuk harta tersebut atau dalam bentuk nilainya, tertakluk kepada pertimbangan dan ijtihad imam (khalifah).
Oleh itu, negara boleh menyalurkan kepada rakyat segala perkara yang termasuk dalam pemilikan umum, seperti air dan elektrik, secara percuma berdasarkan kadar keperluan masing-masing tanpa sebarang perbezaan dan pengecualian. Negara juga berhak menjualnya kepada rakyat pada harga pasaran, seperti petroleum dan besi, serta mengagihkan hasil jualan tersebut kepada semua tanpa mengecualikan sesiapa pun. Segala tindakan ini dilakukan menurut pertimbangan maslahat yang ditentukan oleh negara.
Hal ini kerana pengurusan dan pemeliharaan segala harta yang tergolong dalam pemilikan umum telah diserahkan kepada khalifah, dengan syarat ia dilaksanakan selaras dengan ketetapan nas syarak. Oleh sebab syarak telah menetapkan harta tersebut sebagai pemilikan umum, maka ia wajib menjadi hak seluruh rakyat tanpa sebarang perbezaan atau pengecualian, dan tidak boleh sama sekali digunakan bagi urusan negara. Imam (khalifah) juga tidak mempunyai hak untuk membelanjakan apa-apa daripadanya. Namun begitu, kaedah pengurusan dan penjagaan harta milik umum tersebut diserahkan kepada pandangan dan ijtihad khalifah.
Khalifah berhak mengagihkan barangan tersebut kepada rakyat secara langsung dan percuma. Khalifah juga berhak menjualnya kepada rakyat pada harga pasaran dan mengagihkan hasil jualan itu kepada masyarakat. Khalifah melaksanakan apa sahaja yang dilihat sebagai maslahat bagi kaum Muslimin.
Hal ini demikian kerana tanggungjawab menjaga urusan masyarakat diserahkan kepada pendapat dan ijtihad Khalifah, berdasarkan nas syarak yang mewajibkannya mengurus kepentingan rakyat sebagaimana yang telah ditetapkan. Inilah hukum-hakam berkaitan industri, dan inilah batas antara pemilikan umum dan pemilikan individu mengenai kilang serta peralatan, sebagaimana ditetapkan oleh nas syarak.
Hukum-hakam ini memberikan penyelesaian kepada persoalan perindustrian yang berkait dengan kilang semata-mata, bukan aspek pekerja atau pemasaran hasil pengeluaran. Ini kerana kilang merupakan tunjang utama dalam industri. Menjelaskan hukum-hakam kilang bererti menjelaskan hukum-hakam perindustrian itu sendiri.
Adapun hal ehwal para pekerja, ia adalah topik lain yang dihuraikan di bawah sumber ekonomi yang lain, iaitu usaha manusia. Manakala isu pemasaran hasil pengeluaran pula juga merupakan topik berasingan dan dihuraikan di bawah sumber ekonomi lain, iaitu perdagangan. Dalam bidang industri, tidak ada hukum-hakam lain selain hukum-hakam berkaitan kilang.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #Ekonomi #EkonomiIslam