Kemenangan Para Dai Menghadapi Rejim Durjana
Oleh: Irfan Abu Naveed : M.Pd.I (Penyelidik Balaghah al-Quran & Hadis Nabawiyyah)
Antara cebisan sejarah umat manusia adalah sejarah kemenangan para rijâl (tokoh sejarah) menghadapi saingannya, terutama sejarah para nabi dan rasul menentang para rejim jahat pada zaman mereka. Sejarah mereka membuktikan semuanya. Nabi Ibrahim a.s misalnya, berhadapan dengan Raja Namrudz yang mendakwakan rububiyyah kepada dirinya. Akibatnya, Nabi Ibrahim a.s dicampakkan ke dalam api yang membara. Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s berdakwah kepada Firaun dan tenteranya. Kedua-duanya bersaing dengan lebih daripada 70 orang ahli sihir. Kemudian mereka berdua dikejar sehingga ke Laut Merah yang terbelah. Ini semua adalah bukti penentangan rejim dan penganiayaan mereka terhadap dakwah yang disampaikan dengan lantang oleh para dai utusan Allah ini.
Mereka adalah para rejim jahat yang tertipu. Mereka lupa bahawa sebenarnya mereka dikelilingi oleh tentera-tentera Allah dalam setiap dimensi masa dan ruang. Malah, setiap inci diri mereka, semuanya adalah makhluk ciptaan-Nya!
أَفَأَمِنُواْ مَكۡرَ ٱللَّهِۚ فَلَا يَأۡمَنُ مَكۡرَ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ ٩٩
“Patutkah mereka (bersuka ria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.” (TMQ al-A’raaf [7]: 99).
Potret Keberanian Rasulullah SAW dan Para Sahabat
Begitu juga sayyid-nya rasul dan nabi, Rasulullah SAW. Beliau menghadapi pelbagai entiti kekuasaan: entiti kaum musyrik (Quraisy dan Parsi), entiti kaum Nasrani (Romawi) dan entiti kaum Yahudi (suku-suku Yahudi). Sangat kompleks. Ini berkadar terus dengan sifat risalah beliau yang ditujukan kepada seluruh umat manusia (Surah Saba’ [34]: 28). Hal ini menuntut keberanian dan kekuatan tekad di jalan perjuangan. Keberanian ini digambarkan dalam syair:
«أنا النبي لا كذب ٭ أنا ابن عبد المطلب»
Akulah nabi, tiada dusta/Akulah keturunan ‘Abdul Muthallib.
Syair inilah yang dialunkan oleh Rasulullah SAW ketika berada di barisan hadapan menyerbu ke barisan musuh dalam Perang Hunain. Beliau menguatkan tekad untuk mengalahkan musuh di medan perjuangan. Ini membuktikan apa yang dinyatakan oleh Al-’Allamah Ali ash-Shabuni dalam Min Kunûz as-Sunnah an-Nabawiyyah, bahawa Rasulullah SAW adalah contoh keberanian dan kekuatan terbaik. Ketika ramai orang berlari keluar dari Perang Hunain, tiada seorang pun yang tinggal bersama Rasulullah SAW di medan perang kecuali sekumpulan kecil sahaja. Rasulullah SAW menunggang baghalnya dan menyerbu ke barisan musuh sambil mengalunkan untaian syair semangat di atas. Rasulullah SAW dan para sahabatlah yang Allah SWT gambarkan dalam ayat ini:
ٱلَّذِينَ قَالَ لَهُمُ ٱلنَّاسُ إِنَّ ٱلنَّاسَ قَدۡ جَمَعُواْ لَكُمۡ فَٱخۡشَوۡهُمۡ فَزَادَهُمۡ إِيمَٰنٗا وَقَالُواْ حَسۡبُنَا ٱللَّهُ وَنِعۡمَ ٱلۡوَكِيلُ ١٧٣
Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”. (TMQ Ali ‘Imran [3]: 173).
Keberanian mereka lahir dari keyakinan dan tawakal kepada Allah SWT. Ia menggabungkan kekuatan fizik, mental, pemikiran dan intelektual, bahkan yang paling mendasar, ialah kekuatan iman dan ruhiyah. Semua itu termaktub dalam kesedaran hubungan mereka dengan Allah. Semua ini tercakup dalam al-quwwah yang diisyaratkan dalam hadis dari Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ، خَيْرٌ وَأَحَبّ إِلَى اللهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ، وَفِي كُلِّ خَيْرٍ احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ، وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلاَ تَعْجِزْ»
“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah. Pada kedua-duanya ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah untuk mendapatkan apa yang bermanfaat bagi kamu. Mintalah pertolongan kepada Allah (dalam semua urusanmu) dan janganlah sekali-kali engkau merasa lemah.” (HR Muslim dan Ibn Majah).
Al-’Allamah Ali ash-Shabuni menjelaskan bahawa hadis ini mendorong kita untuk mencapai potensi kekuatan dan sebab-sebab kemuliaan serta pertolongan Allah SWT.
Dengan demikian Islam adalah deen (agama) yang kuat, yang memiliki kemuliaan dan kehormatan. Islam tidak membiarkan pengikutnya berada dalam kehinaan, kelemahan dan kerendahan. Seorang mukmin hanya mempunyai dua perkara: hidup mulia dengan Islam atau mati syahid dengan legasi sebagai pejuang:
«عش عزيزًا أو مت وأنت كريم ٭ بين طعن القنا وخفق البنود»
Hidup dengan kehormatan atau mati dengan kemuliaan/Di antara tusukan tombak dan panji-panji yang berkibar
Al-’Allamah Ali ash-Shabuni menjelaskan bahawa makna wasta’in bilLâh dalam hadis ini adalah “Carilah pertolongan dari Allah dan bergantung kepada-Nya semata-mata.”
«إذا لم يُعِنكَ الله فيما تريده ٭ فليس لمخلوق إليه سبيل
وإن هو لم يرشدك في كل مسلك ٭ ضللتَ ولو أن السماك دليل»
Jika Allah tidak menolong kamu dalam apa yang kamu inginkan/maka tiada jalan apa pun bagi makhluk untuk mencapai keinginannya
Jika Dia tidak memberi kamu petunjuk pada setiap jalan/nescaya kamu akan tersesat walaupun langit menjadi petunjuk
Meminta Pertolongan Allah
Keberanian para nabi dan rasul, termasuk Rasulullah SAW dilandasi keimanan kepada Allah dan keyakinan terhadap pertolongan-Nya. Rasulullah SAW bahkan berdoa dengan doa yang Allah SWT ajarkan kepada beliau:
وَقُل رَّبِّ أَدۡخِلۡنِي مُدۡخَلَ صِدۡقٖ وَأَخۡرِجۡنِي مُخۡرَجَ صِدۡقٖ وَٱجۡعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلۡطَٰنٗا نَّصِيرٗا ٨٠
Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa):”Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku”. (TMQ al-Isra’ [17]: 80).
Al-‘Allamah Ali ash-Shabuni menukilkan atsar dari al-Hasan dan adh-Dhahhak bahawa maksudnya adalah masuk ke Al-Madinah al-Munawwarah dan keluar dari Mekah al-Mukarramah. Pada masa itu kaum musyrik Quraisy cuba membunuh Rasulullah SAW. Namun, mereka gagal. Saat itu Rasulullah SAW berdoa: Anugerahilah aku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong (sulthân[an] nashîr[an]), iaitu kekuatan dan perlindungan (quwwat[an] wa man’at[an]), ”yang menolong diriku dalam menghadapi musuh-musuh-Mu, hingga dengan itu mulialah Dîn-Mu”.
Jadi, adakah perjalanan dari Mekah ke Madinah yang ditempuh oleh Rasulullah SAW dengan Buraq sebagaimana dalam peristiwa al-Isra’ ke Al-Masjid Al-Aqsâ? Tidak. Rasulullah SAW dan Abu Bakar r.a jelas-jelas melakukan perjalanan panjang penuh dengan ujian dan tantangan. Hal ini mengajar kita bahawa pertolongan Allah SWT semata-mata turun kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan berjuang untuk Dîn-Nya; berikhtiar dan berkorban di jalan-Nya. Allah SWT berfirman:
إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدۡ نَصَرَهُ ٱللَّهُ إِذۡ أَخۡرَجَهُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ ثَانِيَ ٱثۡنَيۡنِ إِذۡ هُمَا فِي ٱلۡغَارِ إِذۡ يَقُولُ لِصَٰحِبِهِۦ لَا تَحۡزَنۡ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَنَاۖ فَأَنزَلَ ٱللَّهُ سَكِينَتَهُۥ عَلَيۡهِ وَأَيَّدَهُۥ بِجُنُودٖ لَّمۡ تَرَوۡهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ ٱلسُّفۡلَىٰۗ وَكَلِمَةُ ٱللَّهِ هِيَ ٱلۡعُلۡيَاۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ٤٠
Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya:”Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (TMQ at-Taubah [9]: 40).
Menariknya, dalam peristiwa hijrah Nabi SAW itu, Allah menurunkan makhluk-Nya, iaitu seekor labah-labah dengan sarangnya, untuk memperdaya kaum kafir Quraisy. Kemudian Allah benar-benar menurunkan pertolongan-Nya dengan tegaknya Ad-Daulah Al-Islamiyyah di Madinah, yang memenangkan Islam di atas agama-agama:
وَقُلۡ جَآءَ ٱلۡحَقُّ وَزَهَقَ ٱلۡبَٰطِلُۚ إِنَّ ٱلۡبَٰطِلَ كَانَ زَهُوقٗا ٨١
Dan katakanlah: “Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap”.
(TMQ al-Isra’ [17]: 81).
WalLâhu a’lam.
Sumber : Alwaie
#daie #kemenangan #perjuangan #kebenaran