Mempersiapkan Diri Lebih Awal Menyambut Bulan Suci
Wahai kaum Muslimin rahimakumuLaah,
Mari kita senantiasa menjaga takwa. Agar hidup senantiasa bahagia. Di akhirat dan juga di dunia. Hanya takwa bekal kita satu-satunya ketika menghadap Allah SWT kelak. Oleh sebab itu, menjaga takwa mestilah jauh lebih serius dan lebih sungguh-sungguh melebihi keseriusan dan kesungguhan kita dalam memburu dunia yang fana.
Wahai umat Islam yang dimuliakan Allah,
Pada Bulan Syaaban ini, semilir angin Ramadhan sudah mulai kita rasakan. Aromanya pun sudah mulai menebarkan keharuman. Makin menumbuhkan kerinduan di hati setiap orang beriman. Untuk segera berjumpa dengan bulan yang penuh dengan ragam keberkahan.
Ramadhan adalah madrasah ketakwaan. Ramadhan sekaligus juga merupakan madrasah ujian. Namun, tidak ada orang yang berjaya dalam ujian tanpa masa persiapan. Dalam menghadapi ujian Ramadhan, Syaaban adalah kelas pendahuluan sekaligus kelas persiapan. Sayang sekali, bulan ini sering kita tinggalkan, bahkan sering kita lupakan. Padahal Rasulullah SAW telah mengingatkan:
ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ، وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ، فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
“Itulah Syaaban. Bulan yang sering dilalaikan oleh manusia kebanyakan. Bulan antara Rejab dan Ramadhan. Pada bulan Syaaban itu amal-amal diangkat kepada Tuhan semesta alam. Kerana itu, aku suka ketika amal-amalku diangkat kepada-Nya, aku dalam keadaan shaum.” (HR an-Nasa’i).
Para salafus-soleh memahami makna ini. Sebab itu mereka tidak menyambut Ramadhan dengan dingin dan suasana sepi. Akan tetapi, mereka menyambut kedatangannya dengan banyak berpuasa sunnah, tilawah al-Quran dan usaha penyucian diri. Khususnya pada bulan Syaaban ini.
Mereka memulakan perubahan diri jauh lebih awal sebelum Ramadhan. Mereka membersihkan hati jauh sebelum puasa diwajibkan. Demikian juga yang Rasulullah SAW teladankan. Ummul Mukminin Aisyah ra. menegaskan:
مَا رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللّٰهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ قَطُّ إِلَّا رَمَضَانَ، وَمَا رَأَيْتُهُ فِيْ شَهْرٍ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِيْ شَعْبَانَ
“Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh kecuali Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat beliau lebih banyak berpuasa daripada pada bulan Syaaban.” (HR al-Bukhari).
Wahai umat Islam yang Allah muliakan,
Syaaban juga dikenali sebagai bulan al-Quran. Sebagaimana yang Ibnu Rejab rahimahulLaah nyatakan. Ini kerana, sebelum Ramadhan tiba, generasi salafus-soleh sudah biasa hidup bersama al-Quran. Khususnya pada Bulan Syaaban. Pada bulan inilah al-Quran sering dikhatamkan. Ayat-ayatnya mereka baca dengan kefasihan lisan. Makna-maknanya mereka renungkan dengan fikiran dan jiwa yang penuh dengan kekhusyukan. Semua itu mereka lakukan. Tidak lain demi mempersiapkan diri menyambut kedatangan Ramadhan.
Dalam hal ini Amr bin Qais rahimahulLaah menyatakan:
طُوبَى لِمَنْ أَصْلَحَ نَفْسَهُ قَبْلَ رَمَضَانَ
“Beruntunglah orang yang memperbaiki dirinya atau menyucikan jiwanya sebelum kedatangan Ramadhan.” (Ibnu Rejab, Lathaa-if al-Ma‘aarif).
Kerana itulah, sejak masuk tanggal 1 Syaaban, Amr bin Qais segera menghentikan seluruh kegiatan perniagaannya. Menutup semua kedainya. Beliau memilih al-Quran daripada keuntungan dunia. Sebabnya, beliau faham bahawa keuntungan membaca dan mengkhatamkan al-Quran adalah melebihi keuntungan perniagaan duniawi berapa pun besarnya.
Ibadah individual seperti puasa Ramadhan tentu tidak akan sempurna dalam kehidupan yang rosak di mana-mana. Di sinilah Islam mengajarkan kita bahawa takwa bukan hanya urusan masing-masing atau peribadi sahaja. Takwa juga merupakan urusan masyarakat dan bahkan negara. Sebabnya, kemakmuran, kesejahteraan, keadilan dan pelbagai keberkahan hanya dapat diwujudkan tatkala ketakwaan terjaga dan terpelihara; baik di peringkat individu, masyarakat mahupun negara.
Lihatlah Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz rahimahulLaah, seorang pemimpin Muslim yang bertakwa. Ketika malam tiba dan selesai urusan negara, beliau segera memadamkan lampu di istananya. Mengapa? Kerana cahaya lampu itu milik rakyatnya. Bukan milik peribadinya.
Beliau biasa menunaikan shaum. Beliau juga biasa melaksanakan solat malam. Namun, yang lebih agung, beliau membersihkan sistem pemerintahan dari segala bentuk kezaliman. Wajar jika pada masa kepemimpinannya kemakmuran, kesejahteraan dan keadilan benar-benar dirasakan oleh kebanyakan rakyat. Bukan oleh segelintir orang. Pada masanya juga, mustahiq zakat sukar ditemukan. Itulah buah daripada ketakwaan. Bukan hanya di peringkat peribadi, tetapi juga di peringkat kebijakan dan sistem pemerintahan yang senantiasa tunduk pada al-Quran.
Oleh kerana itu, wahai umat Islam sekalian, tanpa kita hidup dalam sistem Islam, Ramadhan hanya akan menjadi ritual tahunan. Sebaliknya, dalam sistem Islam, Ramadhan akan mampu melahirkan peradaban yang penuh dengan ketakwaan.
Ramadhan juga mengingatkan kita agar senantiasa menjauhkan diri kita daripada pelbagai bentuk kezaliman. Tindakan zalim tentu akan merosak pahala shaum Ramadhan.
Dalam perspektif Islam, kezaliman mencakupi segala bentuk penyimpangan daripada kebenaran dan keadilan yang telah Allah tetapkan. Kezaliman tidak terhad pada tindakan fizikal yang penuh kekerasan semata, tetapi mencakupi pelanggaran terhadap hak Allah SWT, hak manusia dan seluruh tatanan keadilan.
Pelanggaran terhadap hak Allah SWT adalah dalam bentuk pengingkaran terhadap hukum-hukum-Nya dalam mengatur kehidupan. Allah SWT telah menegaskan:
وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
“Siapa saja yang tidak memutuskan perkara menurut wahyu yang telah Allah turunkan, mereka itulah para pelaku kezaliman” (TMQ al-Maidah [5]: 45).
Pelanggaran terhadap hak manusia merangkumi perampasan dan segala bentuk penindasan; baik yang dilakukan oleh individu, kelompok masyarakat mahupun oleh negara atau pemerintahan. Adapun perosakan tatanan keadilan terjadi ketika kekuasaan digunakan secara sewenang-wenangnya, sehingga hukum tidak lagi berfungsi sebagai pelindung, melainkan sebagai alat legitimasi kezaliman. Al-Quran secara tegas mengecam tindakan demikian. Allah SWT berfirman:
وَمَا اللَّهُ يُرِيدُ ظُلْمًا لِّلْعِبَادِ
“Allah tidak menghendaki kezaliman terhadap hamba-hamba-Nya.” (TMQ Ghafir [40]: 31).
Allah SWT pun berfirman:
وَمَا اللَّهُ يُرِيدُ ظُلْمًا لِّلْعَالَمِينَ
“Allah tidak menghendaki kezaliman bagi seluruh alam.” (TMQ Ali ‘Imran [3]: 108).
Bahkan sekadar cenderung kepada pelaku kezaliman telah diancam oleh Allah dengan ancaman yang tidak main-main:
وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ
“Janganlah kalian cenderung kepada para pelaku kezaliman yang menyebabkan kalian disentuh oleh api neraka. Sekali-kali kalian tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kalian tidak akan ditolong.” (TMQ Hud [11]: 113).
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa haram mendukung atau membenarkan segala bentuk kezaliman. Apatah lagi Allah sangat membenci para pelaku kezaliman. Sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran:
وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّٰلِمِينَ
“Allah tidak menyukai para pelaku kezaliman.” (TMQ Ali Imran [3]: 57).
Wahai umat Islam yang dimuliakan,
Takwa tidak mungkin tumbuh di atas pelbagai kezaliman. Oleh sebab itu, persiapan Ramadhan juga bermakna persiapan membangun kehidupan yang dipenuhi dengan keadilan dan kosong daripada ragam kezaliman. Itulah kehidupan yang tunduk pada al-Quran. Kehidupan yang diatur hanya oleh syariah Islam.
Sebabnya, umat ini tidak akan bangkit hanya dengan sekadar menjalankan ritual Ramadhan tahunan. Umat ini akan bangkit ketika syariah Islam diterapkan secara kaffah dalam semua aspek kehidupan. Baik di peringkat individu, masyarakat mahupun negara dan pemerintahan.
Semoga menjadi bahan renungan dan dapat kita amalkan dalam kehidupan.
Wahai umat Islam,
Syaaban adalah waktu terbaik untuk bertaubat kepada Allah dengan penuh kesungguhan. Walaupun Ramadhan adalah bulan penuh dengan ampunan, namun, pengampunan hanya akan diberikan kepada orang yang mahu kembali kepada Allah dengan penuh kesedaran untuk membersihkan jiwanya daripada segala kotoran dosa dan kemaksiatan. Allah telah berfirman:
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ تَزَكَّى
“Sungguh beruntung orang yang mensucikan dirinya.” (TMQ al-A‘laa [87]: 14).
Oleh itu, marilah kita sucikan hati dan jiwa kita sebelum Ramadhan. Mari kita sucikan kehidupan kita daripada sistem serta semua peraturan dan pengaturan yang bertentangan dengan syariah Islam. Hanya dengan itulah ketakwaan hakiki dapat kita wujudkan.
Sumber: Diolah daripada Naskah Khutbah Jumaat, (Volume 21 – Syaaban 1447 H/Februari 2026 M), terbitan Tim Media IDAROH [Ikatan Da’i Rohmatan lil ‘Aalamiin])

#Syaaban #Ramadhan