KAMU ADALAH DENGAN SIAPA KAMU BERTEMAN
Oleh: Abuya Muhammad Ayyubi (Khadim Maahad Islami Umdatul Ummah Bima)
Dalam sebuah perjalanan kehidupan dan perjuangan, wajar sebagai manusia yang tidak ma’shum adakalanya tergugat hati oleh godaan dan bisikan syaitan sehingga membuat hati yang yakin dan tsiqah menjadi berubah.
Di antara penyakit hati yang hinggap di kalangan para pejuang adalah:
- tidak ikhlas,
- ragu-ragu akan tujuan perjuangan,
- hasad di antara mereka,
- lalai dengan pekerjaan lain,
- menunda-nunda amal,
- merasa paling baik amalnya,
- meremehkan sesamanya,
- berfikir minimalis dalam beramal.
Penyakit hati ini tidak nampak daripada luaran, boleh jadi mereka adalah orang yang kuat, sihat, bertenaga namun mental mereka sakit. Bahkan di satu titik, akan terjadi kematian cahaya hati yang menyebabkan mereka baik-baik sahaja dengan segala kemaksiatan, hingga seluruh nasihat tidak akan mampu menyentuh relung bashirahnya.
Jika sudah sampai pada tahap tersebut, maka tidak ada bencana apa pun di muka bumi yang lebih buruk daripada ini. Digambarkan oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 7:
ختم الله على قلوبهم وعلى سمعهم وعلى ابصارهم غشوة ولهم عذاب عظيم
“Allah telah mengunci mata hati dan pendengaran mereka, penglihatan mereka telah tutup, dan mereka akan mendapat azab yang berat.” [TMQ al-Baqarah (2): 7]
Berdasarkan fakta inilah Imam al-Qusyairi merumuskan cara untuk menyembuhkan hati yang sakit, perkara ini berdasarkan hasil introspeksi dan istiqra’i dari dalil-dalil yang terdapat dalam Al-Quran dan As-Sunnah.
Berdasarkan risalahnya, beliau menyebutkan lima perkara yang boleh mengubati hati yang sakit, iaitu:
ومن كلامه أيضا دواء القلب خمسة أشياء: قراءة القرآن بالتدبر، وخلاء البطن، وقيام الليل؛ والتضرع عند السَحر، ومجالسة الصالحين ذكره القشيري في الرسالة
Ertinya, “Salah satu ucapannya (Ibrahim Al-Khawash adalah, ‘Ubat hati terdiri atas lima perkara,
(1) membaca Al-Quran disertai penghayatan,
(2) mengatur pola pemakanan agar perut tidak kenyang (boleh berpuasa atau dengan cara lain),
(3) bangun malam (tahajud, zikir, atau amal lainnya),
(4) merendahkan diri di hadapan Allah pada akhir malam,
(5) bergaul dengan orang-orang soleh.’
(Ar-Risalatul Qusyairiyah)
Apa yang menarik daripada resepi yang ditawarkan oleh Imam Al-Quasyairi di atas adalah bergaul dengan orang-orang soleh.
Imam Syafie menegaskan dalam kitab Diwan As-Syafie, beliau menyebutkan,
عن المرء لا تسأل وسل عن قرينه
ففيه دليلٌ عنه بالطبع تهتدي
فكلّ قرينٍ بالمقارن يقتدي
“Jangan engkau tanya tentang seseorang, tetapi tanyalah tentang temannya. Pada temannya ada petunjuk tentang tabiatnya. Kerana setiap teman akan mengikuti tabiat temannya.”
Lebih tegas lagi Rasulullah SAW bersabda:
المرئ على دين خليله فلينظر من يخالل
“Seseorang itu bergantung pada agama temannya, maka lihatlah dengan siapa dia berteman.”
Sifat putus asa itu berjangkit sebagaimana juga semangat dan optimis itu berjangkit. Semakin sering kita terjangkiti penyakit keputusasaan, maka kita akan putus asa walaupun pada awalnya kita bersemangat.
Sebaliknya, optimis, yakin, tsiqah itu juga berjangkit jika intensif kita berteman dengan orang seumpama itu, walaupun mungkin pada awalnya kita adalah orang yang hampir putus asa.
Maka, saudaraku janganlah engkau silap dalam memilih dan bergaul dengan teman kerana mereka adalah cerminan dirimu. Wallahu a’lam bisshawab.
#sahabat #teman #muhasabah #hasad #penyakithati #nasihat