Kesatuan Umat Islam Bukan Sekadar Formaliti Atau Teoretikal, Dan Khilafah (Kekhilafahan) Adalah Bentuk Praktikalnya
Umat Islam adalah satu ummah, berbeza daripada umat lain; Tuhan mereka satu, agama mereka satu, Nabi mereka satu, kiblat mereka satu, dan kitab mereka satu. Allah SWT berfirman:
﴿إِنَّ هَذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ﴾
“Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.” [TMQ Al-Anbiyaa’ (21): 92]
Nabi SAW bersabda:
«بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ، هَذَا كِتَابٌ مِنْ مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ ﷺ بَيْنَ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُؤْمِنِينَ مِنْ قُرَيْشٍ وَيَثْرِبَ وَمَنْ تَبِعَهُمْ فَلَحِقَ بِهِمْ وَجَاهَدَ مَعَهُمْ أَنَّهُمْ أُمَّةٌ وَاحِدَةٌ دُونَ النَّاسِ»
“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ini adalah surat daripada Muhammad, Rasulullah SAW , semoga Allah memberkati dan memberinya rahmat, antara kaum Muslim dan orang-orang mukmin Quraisy dan Yathrib dan sesiapa yang mengikuti mereka, menyertai mereka dan berjihad bersama mereka, bahawa sesungguhnya mereka adalah satu umat, berbeza dengan manusia yang lain.” (HR Al-Bayhaqi dalam Al-Sunan Al-Kubra)
Baginda SAW juga bersabda:
«الْمُسْلِمُونَ تَتَكَافَأُ دِمَاؤُهُمْ، وَيَسْعَى بِذِمَّتِهِمْ أَدْنَاهُمْ، وَيُجِيرُ عَلَيْهِمْ أَقْصَاهُمْ، وَهُمْ يَدٌ عَلَى مَنْ سِوَاهُمْ، يَرُدُّ مُشِدُّهُمْ عَلَى مُضْعِفِهِمْ، وَمُتَسَرِّيهِمْ عَلَى قَاعِدِهِمْ، أَلَا لَا يُقْتَلُ مُسْلِمٌ بِكَافِرٍ، وَلَا ذُو عَهْدٍ فِي عَهْدِهِ»
“Kaum Muslimin adalah setara dalam hal darah (nyawa). Yang paling rendah di antara mereka berhak memberi jaminan perlindungan bagi pihak mereka, dan yang berada jauh juga berhak memberi jaminan bagi pihak mereka. Mereka ibarat satu tangan terhadap selain mereka. Orang yang mempunyai tunggangan cepat hendaklah kembali kepada yang bertunggangan perlahan, dan mereka yang keluar bersama pasukan hendaklah kembali kepada yang tinggal. Seorang mukmin tidak boleh dibunuh kerana seorang kafir, dan orang yang berada dalam perjanjian tidak boleh dibunuh selama perjanjiannya masih berlaku.” (HR Abu Dawud, Ibn Majah, dan Ahmad)
Kesatuan umat Islam bukanlah kesatuan yang bersifat formaliti atau teoretikal, tetapi merupakan kesatuan praktikal yang lahir daripada akidah mereka, yang menjadikan mereka bersaudara.
﴿إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ﴾
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara.” [TMQ Al-Hujuurat (49): 10]
Kesatuan ini wajib dizahirkan dalam seluruh aspek kehidupan mereka; dalam ibadah dan amalan ritual, khususnya ibadah yang dilakukan secara kolektif pada waktu atau tempat tertentu seperti puasa Ramadhan, haji, serta Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha; dan juga dalam perasaan mereka, sehingga seorang Muslim bergembira dengan setiap kebaikan yang menimpa Muslim lain, dan berdukacita serta merasai penderitaan atas setiap keburukan atau musibah yang menimpa seorang Muslim di mana-mana bahagian bumi.
Rasulullah SAW mengumpamakan kaum Muslimin seperti satu jasad, sebagaimana sabda Baginda SAW :
«مَثَلُ الْـمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى»
“Perumpamaan orang-orang beriman dalam kasih sayang, belas kasihan dan empati sesama mereka adalah seperti satu tubuh; apabila satu anggota sakit, seluruh tubuh turut merasai kesakitan dengan berjaga malam dan demam.” (Muttafaq ‘alaih)
Kesatuan ini juga mesti terserlah dari sudut pemikiran, dengan menjadikan akidah Islam sebagai asas kepada pemikiran dan tingkah laku, menolak sebarang pemikiran atau pandangan yang tidak berasaskan atau tidak lahir daripada akidah tersebut, serta tunduk sepenuhnya kepada perintah Allah SWT dengan meletakkannya mengatasi kehendak dan kepentingan peribadi. Allah SWT berfirman:
﴿وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللهُ وَرَسُولُهُ أَمْراً أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ﴾
“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka.” [TMQ Al-Ahzaab (33): 36]
Daripada Abdullah bin ‘Amr bin al- ‘As, daripada Nabi SAW , Baginda bersabda:
«لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَوَاهُ تَبَعاً لِمَا جِئْتُ بِهِ»
“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga hawa nafsunya tunduk kepada apa yang aku bawa.”
Hakikat bahawa umat Islam adalah satu umat yang berbeza daripada umat-umat lain menuntut agar hal ini dizahirkan dalam kesatuan politik mereka, sehingga negeri-negeri umat Islam menjadi satu kesatuan politik dan geografi yang diperintah oleh seorang pemerintah, yang melaksanakan satu perlembagaan yang bersumberkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya SAW. Inilah yang telah dizahirkan secara praktikal dalam negara Khilafah sejak Rasulullah SAWmendirikannya di Madinah sehingga ia dimusnahkan oleh kafir Barat melalui tangan Mustafa Kemal pada 28 Rejab 1342H bersamaan 3 Mac 1924M.
Ketiadaan Khilafah inilah yang menyebabkan kesatuan umat mengalami luka yang parah, menjadikan umat hidup dalam keadaan berpecah-belah dan tidak bersatu selama lebih daripada satu abad, serta menyebabkan negeri-negeri kita diceraikan menjadi negara-negara kecil yang diperintah oleh para pemerintah pengkhianat. Bahkan, perpecahan ini terus merobek apa yang telah sedia terkoyak, sebagaimana yang berlaku di Sudan.
Khilafah adalah sebuah negara yang secara langsung memelihara dan menjaga manifestasi serta ciri-ciri kesatuan umat Islam. Ia merupakan terjemahan praktikal kepada kesatuan pemikiran dan perasaan umat. Dengan ketiadaannya, idea-idea Barat telah menyerang kita, dan para penjajah bersama kakitangan mereka dalam kalangan para pemerintah telah berusaha menggantikan akidah Islam dengan pemikiran kapitalisme sekular sebagai asas pemikiran dan tingkah laku.
Dari sudut kesatuan perasaan, kita melihat diri kita dilanda kesakitan dan kepedihan atas apa yang menimpa saudara-saudara kita di Gaza, Sudan, Myanmar, Turkistan Timur dan wilayah-wilayah Islam yang lain. Namun, sempadan-sempadan buatan dan para pemerintah penjenayah menghalang kita daripada bertindak untuk membantu saudara-saudara kita yang tertindas. Bahkan dalam ketiadaan Khilafah, ibadah dan ritual yang dengannya kita mendekatkan diri kepada Tuhan kita dan yang menzahirkan kesatuan kita, telah dimanipulasi dan dicemari oleh para pemerintah, serta dihalang daripada disatukan pelaksanaannya. Bukti yang paling jelas adalah kita mula berpuasa Ramadhan pada hari yang berbeza, berbuka dan menunaikan solat Hari Raya pada hari yang berlainan. Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.
Perlu ditegaskan bahawa walaupun umat Islam ditimpa kelemahan dan perpecahan, keadaan ini bersifat sementara dan tidak menafikan kewujudan umat tersebut, serta tidak menghalang kesatuan dan kembalinya keberkesanan peranannya. Umat ini masih memiliki unsur-unsur asasnya: akidah yang menyatukan, serta sistem-sistem kehidupan yang lahir daripada akidah tersebut. Allah SWT berfirman:
﴿قَدْ جَاءكُم مِّنَ اللّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُّبِينٌ * يَهْدِي بِهِ اللّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلاَمِ﴾
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya.” [TMQ Al-Maaidah (5): 15-16]
Rasulullah SAW bersabda:
«تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ ﷺ »
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara; kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya: Kitabullah dan Sunnah Nabi-Nya SAW.”
Umat ini bukanlah tidak wujud atau telah berakhir. Menjadi kewajipan umat Islam hari ini untuk berusaha mengembalikan fungsi dan kesatuannya, serta bekerja dengan bersungguh-sungguh bersama para pejuang yang ikhlas untuk menghidupkan kembali umat dan menegakkan Khilafah Rasyidah yang kedua mengikut manhaj kenabian sebagaimana yang telah diberi khabar gembira oleh Rasulullah SAW. Mereka tidak sepatutnya dilemahkan oleh keputusasaan, mahupun oleh tipu daya Barat dan kakitangannya. Sebaliknya, mereka hendaklah terus berusaha dalam kerja dan dakwah mereka, bertawakal kepada Allah dan yakin akan pertolongan-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang beriman, serta yakin kepada diri mereka, umat mereka, dan apa yang dimilikinya daripada unsur dan ciri yang membolehkannya kembali menduduki tempat kemuliaan, insya-Allah.
﴿وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْناً يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئاً وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ﴾
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” [TMQ An-Nur (24): 55]
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Bara’a Manasrah
#Khilafah #KesatuanUmmah #OneUmmah #ItsTimetobeOneUmmah #KhilafahSistemIslam #PolitikIslam