[Kenyataan Media] Menyambut Kedatangan Modi: Pengkhianatan Terbuka Terhadap Darah dan Kehormatan Umat Islam
Perdana Menteri India, Narendra Modi dijadualkan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada 7-8 Februari 2026, dan dilaporkan akan diberi sambutan besar oleh kerajaan dan komuniti Hindu di Malaysia. Agen Amerika ini sering mendapat sambutan hormat di banyak negara di dunia dan mendapat banyak penganugerahan dari negara-negara yang dilawatinya, termasuk dari penguasa Muslim Ruwaibidhah, hingga ada yang sanggup membina berhala demi menggembirakan pemimpin musyrik tersebut.
Dunia hari ini terus menyaksikan bagaimana para penguasa Muslim terus sahaja mempamerkan pengkhianatan mereka terhadap Allah, Rasul-Nya, dan kaum Mukminin, dengan berbaik-baik dengan musuh Allah. Selain itu, para penguasa ini juga langsung tidak peduli akan sensitiviti dan maruah kaum Muslimin apabila menjemput penyembelih umat Islam ini ke negara mereka. Jenayah Modi ke atas umat Islam di India tidak ubah dengan jenayah Yahudi ke atas umat Islam di Palestin dan jenayah China ke atas Muslim Uighur. Pembunuhan, penyeksaan dan segala bentuk kezaliman yang dilakukan oleh para penjenayah itu disaksikan oleh seluruh dunia, yang menunjukkan kebencian mereka yang bersangatan terhadap Islam dan umatnya. Benarlah firman Allah (swt):
﴿لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةً لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلْيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشْرَكُوا۟﴾
“Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik” [Al-Ma’idah (5): 82].
Hizbut Tahrir Malaysia dengan ini menyatakan bantahan keras dan peringatan tegas kepada kerajaan Malaysia berhubung lawatan Modi. Modi bukanlah sekadar pemimpin negara asing, tetapi merupakan musuh Islam yang nyata. Dia adalah simbol kepada Hindutva ekstrem yang memusuhi Islam dan umatnya. Di bawah kepimpinannya, umat Islam di India terus ditindas, dibunuh, dan diperlakukan dengan kejam. Lebih dari itu, dia turut melakukan perobohan masjid dan mengenakan segala bentuk diskriminasi ke atas umat Islam dalam usahanya mengeluarkan umat Islam dari agamanya, dan menjadikan India sebagai negara Hindu dengan ideologi kebencian ke atas Islam sepenuhnya. Pembunuhan dan penindasan di Kashmir juga tidak lepas dari tangannya. Pendek kata, tangannya masih berlumuran dengan darah kaum Muslimin hingga sekarang. Menyambut individu sebegini dengan hamparan permaidani merah adalah satu tindakan menyalahi syarak, mengkhianati darah serta maruah umat Islam, dan sangat menyakitkan hati umat Islam, lebih-lebih lagi yang berada di India dan Kashmir.
Menyambut si penyembelih Gujarat ini atas alasan hubungan persahabatan, diplomatik dan kepentingan ekonomi hanya menambah bukti bahawa penguasa dan sistem demokrasi yang diamalkan hari ini telah secara nyata memisahkan agama daripada politik dan pemerintahan negara. Bagi mereka, persahabatan dengan musuh Allah dan neraca keuntungan perdagangan jauh lebih penting daripada mentaati perintah Allah, dan daripada menjaga nyawa dan kehormatan saudara seagama. Alangkah beraninya mereka melanggar perintah Allah (swt):
﴿لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ﴾
“Janganlah orang-orang Mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali (teman setia / pelindung) dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Barang siapa berbuat demikian, nescaya lepaslah ia dari pertolongan Allah” [Ali Imran (3): 28].
Sesungguhnya pengkhianatan para penguasa kaum Muslimin dan kelemahan umat Islam akibat batas sempadan negara-bangsa telah menjadikan musuh-musuh Allah bukan sekadar berani untuk menjejakkan kaki ke tanah umat Islam, bahkan merasa kedudukannya lebih tinggi berbanding umat Islam yang terpaksa menghormatinya walaupun dia dengan jelas menunjukkan sikap permusuhannya terhadap Islam. Pemimpin Muslim pada hari ini lebih sanggup menjaga poket dan “kepentingan nasional” yang sempit, sambil menutup mata terhadap penderitaan saudara mereka di seberang sempadan.
Kami ingin menegaskan lagi sekali bahawa kerajaan Malaysia tidak seharusnya menerima kedatangan Modi, bahkan seharusnya memutuskan segala hubungan dengan rejim yang menumpahkan darah umat Islam. Ingatlah bahawa lawan sama sekali tidak boleh dijadikan kawan, dan musuh Allah sama sekali tidak boleh dijadikan sahabat. Di bawah pimpinan yang tidak peduli hukum, telah berapa kali bumi Malaysia dipijak oleh musuh Allah dari Britain, China, Amerika dan kini India pula diberi peluang untuk mengotorinya. Para penguasa ini lupa bahawa kekuasaan itu hanyalah sementara, dan mereka akan dihisab di hadapan Allah (swt) atas siapa yang mereka jadikan kawan dan siapa yang mereka biarkan ditindas.
Sesungguhnya umat ini sudah amat memerlukan pimpinan seorang Khalifah yang bertakwa, berani, tegas, yang akan menjadikan musuh sebagai musuh dan kawan sebagai kawan. Khalifah ini bukan sahaja tidak akan membiarkan saudara-saudaranya dibunuh, malah tidak akan membiarkan maruah saudaranya dicemari sedikit pun, yang mana jika ada mana-mana musuh yang berani berbuat demikian, maka jawapannya ialah apa yang mereka akan lihat, bukan apa yang mereka akan dengar. Sesungguhnya kembalinya Sang Khalifah ini sudah sangat dekat dengan izin Allah (swt).
Abdul Hakim Othman
Jurucakap Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia
Sumber: Mykhilafah