[Kenyataan Media] Mengundang Musuh Allah, Musuh Rasul-Nya Dan Musuh Kaum Mukminin Bermakna Mengundang Murka Allah Dan Malapetaka: Bertakwalah Anda Kepada Allah Wahai Perdana Menteri Malaysia!
Hizbut Tahrir Malaysia dengan ini mengecam dengan sekeras-kerasnya tindakan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang sanggup menjemput Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump – yang tangannya masih berlumuran dengan darah umat Islam di Gaza – ke bumi Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur. Sungguh, jemputan itu bukan sekadar sebuah langkah diplomatik yang memalukan tanpa nilai moral, tetapi suatu yang sangat mencemar maruah umat ini, dan satu pengkhianatan yang menghiris nurani setiap jiwa Muslim yang masih memiliki izzah (kemuliaan) khususnya jiwa warga Palestin.
Bagaimana mungkin seorang yang mengaku memperjuangkan isu Palestin, boleh dalam masa yang sama menjemput pembunuh warga Palestin dan penghancur bumi Palestin, datang ke tanah umat Islam? Di manakah letaknya maruah seorang Muslim apabila musuh Allah, musuh Rasul-Nya dan musuh kaum Mukminin diundang masuk ke negeri ini dengan sambutan kehormatan kenegaraan? Apakah secebis “nilai” yang ada pada musuh Islam yang tidak berperi-kemanusiaan ini, sehingga perlu diundang dan disambut dengan hamparan permaidani merah? Musuh Allah manakah yang lebih keji yang hidup di muka bumi Allah pada hari ini, daripada si pembunuh lebih 67,000 umat Islam, dan pemusnah Tanah Palestin Yang Diberkati?!
Trump bukan sekadar seorang kafir yang angkuh, tetapi melalui tangannya-lah, darah kaum Muslimin yang tidak berdosa ditumpahkan di bumi Gaza, dan dia sungguh bangga berbuat demikian. Melalui lisannya, Baitul Maqdis – yang merupakan kiblat pertama umat ini – diiktiraf sebagai ibu kota bagi entiti haram Yahudi. Melalui penanya-lah, dia menandatangani pelan “Deal of the Century” untuk menafikan hak penduduk Palestin dan menghapuskan Palestin dari peta dunia. Dan kini sekali lagi dia mengulangi kejahatannya dengan mengisytiharkan “Pelan Damai”nya ke atas sebuah tanah yang dia langsung tidak mempunyai hak ke atasnya! Lalu, apakah pantas dia diundang dan disambut di bumi yang penduduknya bersyahadah bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu Rasulullah?
Perdana Menteri Malaysia cuba menutup kehinaan ini dengan alasan bahawa jemputan tersebut dibuat atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN. Kami ingin bertanya, adakah terdapat kewajipan sebagai Pengerusi ASEAN untuk berbuat demikian? Padahal atas alasan yang sama, jika beliau tidak mengundang si penjenayah Trump, terlihatlah sedikit sisa-sisa maruah dan keberanian yang ada pada beliau. Apa pun alasan yang diberikan, ia tidak mampu menutup hakikat bahawa ia lahir daripada sikap ketundukan dan ketakutan terhadap Amerika. Sedangkan ketakutan dan ketundukan itu hanyalah kepada Allah (swt), bukan kepada musuh-Nya.
Lebih memalukan dan tidak dapat diterima apabila alasan yang diberikan ialah untuk menyampaikan mesej mengenai isu Palestin secara langsung kepada Trump. Sungguh ironis – apakah serigala yang membaham kambing akan mendengar nasihat tentang kasih sayang terhadap kambing? Sungguh aneh! Bagaimana mungkin kita boleh menyuarakan penyelesaian isu Palestin kepada orang yang memusnahkan Palestin? Bagaimana mungkin kita ingin menyuarakan penyelesaian atau bahkan menerima penyelesaian masalah kita, daripada musuh kita? Ketahuilah wahai Perdana Menteri Malaysia, bahawa penyelesaian isu Palestin tidak akan datang daripada Donald Trump. Penyelesaiannya ada di tangan anda dan di tangan seluruh penguasa kaum Muslimin – iaitu dengan anda dan rakan-rakan sejawat anda mengerahkan tentera yang kalian miliki bagi menghapuskan entiti Yahudi daripada akar-akarnya. Malangnya kalian tidak berbuat demikian, sebaliknya kalian “menyerahkan” leher-leher warga Palestin kepada Trump untuk disembelih!
Sesungguhnya mengundang Trump ke negara ini bukan sekadar mengundang murka Allah, malah kedatangannya akan menghilangkan kedaulatan negara ini apabila kita tidak lagi memiliki kekuasaan ke atas keseluruhan aset-aset kita, yang mesti tunduk kepada kehendak Trump – daripada polis, tentera, imigresen, dan seluruh jentera keselamatan negara akan dikerah untuk melindungi si pembunuh 67,000 nyawa ini agar satu debu pun tidak akan menyentuh tubuhnya. Inilah sebuah kerendahan dan kehinaan yang nyata – apabila musuh kita, si pembunuh bayi dan kanak-kanak, pembunuh para wanita dan orang-orang tua, disambut dan dilayan melebihi seorang raja!
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ﴾
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuhku dan musuhmu menjadi teman-teman setia” [Al-Mumtahanah (60):1].
Wahai Perdana Menteri Malaysia! Ketahuilah bahawa dengan mengundang Trump, dengan duduk bermesyuarat dan bergambar bersama Trump, tidak akan sama sekali memberikan anda izzah walau sebesar zarah. Sesungguhnya izzah itu semata-mata milik Allah, dan tidak ada apa-apa pada musuh Allah dan orang-orang yang mencari-cari muka dengannya kecuali kehinaan. Siapa pun yang cuba ingin mencantikkan imejnya di mata musuh Allah, maka ketahuilah sesungguhnya di mata orang-orang yang beriman, ia amat buruk, dan di mata Allah, ia lebih buruk lagi.
﴿أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا﴾
“Apakah mereka (orang-orang munafik itu) mencari kemuliaan (melalui kekuatan) di sisi orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kemuliaan (dan kekuatan itu) kepunyaan Allah” [An-Nisa’ (4): 139]
Sesungguhnya menjemput Trump ke negara ini tidak ada beza sedikit pun dengan menjemput Netanyahu, kerana kedua-duanya merupakan kafir harbi fi’lan, musuh Islam, musuh Allah, musuh Rasul-Nya dan musuh kaum Mukminin. Kedua-duanya merupakan penjenayah yang hina, tetapi Trump merasa dirinya mulia kerana dimuliakan oleh para penguasa Muslim. Sungguh, amat hinalah para penguasa Muslim yang memuliakan Trump. Sesungguhnya Hizbut Tahrir sedang berusaha untuk menegakkan Khilafah, sebuah negara yang akan mengajar entiti Yahudi dan Amerika erti persahabatan dan permusuhan yang sebenar. Pada saat itu, musuh Allah akan benar-benar merasakan betapa hinanya mereka di dunia, sebelum mereka “dihantar” menghadap Allah yang akan menghinakan mereka dengan sehina-hinanya di akhirat.
Abdul Hakim Othman
Jurucakap Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia