[Kenyataan Media] Dua Malapetaka yang Menimpa Umat Islam – Pemimpin yang Buruk dan Sistem yang Buruk – Kedua-duanya Mesti Diganti Serentak
Pada 26/07/2025, bandar raya Kuala Lumpur menyaksikan gelombang protes rakyat yang luar biasa – satu himpunan besar-besaran mendesak Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meletak jawatan. Himpunan ini adalah manifestasi kemarahan dan kekecewaan rakyat terhadap kepimpinan Anwar, yang bukan sahaja telah gagal menunaikan janji-janji reformasi, malah telah menambahkan penderitaan rakyat dengan kenaikan dan peluasan cukai, kenaikan tarif elektrik serta barangan keperluan harian dan banyak lagi.
Rakyat juga sangat marah dan kecewa dengan apa yang mereka sifatkan sebagai “pembohongan” Anwar. Kelantangannya ingin menghapuskan rasuah, namun apa yang terjadi ialah sebaliknya di mana kaki-kaki rasuah ternyata telah diangkat dan “dilindungi” oleh Anwar. Begitu juga dengan lawatan Anwar ke luar negeri yang agak banyak dan menelan kos yang sangat tinggi yang kononnya berjaya menarik potensi pelaburan berbilion-bilion ringgit, namun ternyata hanyalah sebuah retorik.
Pembangkang telah berjaya memanfaatkan kemarahan rakyat dengan mengadakan perhimpunan ini, tetapi gagal mengetengahkan calon pengganti, atau lebih tepat mereka sememangnya tidak ada calon pengganti, kerana fokus mereka hanyalah untuk menjatuhkan Perdana Menteri semata-mata. Sungguh sayang apabila umat hanya digerakkan berdasarkan emosi, tanpa pemikiran dan solusi yang benar lagi jernih. Umat ditanamkan dengan kefahaman bahawa yang bermasalah ialah individu bernama Anwar Ibrahim, sehingga individu inilah yang mesti ditukar. Mereka gagal memahami bahawa masalah yang sebenar bukanlah terletak di tangan individu (pemimpin) itu semata-mata, tetapi pada keseluruhan sistem yang diterapkan di dalam negara sejak zaman-berzaman.
Sejak merdeka pada tahun 1957, Malaysia telah dipimpin oleh 10 orang Perdana Menteri dan pelbagai parti politik – daripada Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, dan kini kerajaan Madani. Walaupun segelintir rakyat dapat hidup dengan selesa, namun sebahagian besarnya masih bergelut dengan masalah ekonomi. Masalah sosial semakin parah dan sangat membimbangkan. Begitu juga dengan bidang pendidikan yang tidak pernah sunyi daripada pelbagai isu. Kes jenayah tidak pernah surut dan semakin menakutkan, termasuk yang terjadi dalam pasukan polis sendiri. Politik sentiasa dicemari dengan skandal, rasuah, pecah amanah, perebutan kuasa dan bermacam kejelikan lainnya yang mana rakyat sentiasa menjadi mangsa.
Pendek kata, pemimpin telah bersilih ganti, namun rakyat tidak pernah menikmati kesejahteraan secara hakiki, sehingga di setiap era pemerintahan, rakyat sentiasa “memberontak” terhadap kezaliman kerajaan dan menuntut hak mereka. Sejak era pemerintahan Dr. Mahathir Mohamad lagi (kali pertama), Perdana Menteri telah ditekan untuk meletak jawatan, sama ada dari dalam partinya sendiri mahupun dari luar, dan ternyata apabila diganti dengan Perdana Menteri berikutnya, perubahan yang rakyat harapkan tidak pernah terealisasi. Apa yang kekal tidak berubah ialah sistem demokrasi – sebuah sistem yang diberikan oleh kafir penjajah sebagai syarat kemerdekaan negara ini.
Mana mungkin sebuah sistem yang datangnya daripada orang-orang kafir, yang bertentangan dengan Islam, boleh menyelesaikan masalah umat Islam? Inilah yang perlu difahami oleh umat Islam iaitu pertukaran pemimpin semata-mata tanpa pertukaran sistem tidak pernah dan tidak akan pernah menyelesaikan masalah.
Bukan sahaja di Malaysia, malah di banyak negara kaum Muslimin telah terbukti bahawa pertukaran wajah pemimpin semata-mata tidak pernah dapat mengeluarkan umat Islam daripada kegelapan. Lihat sahaja Tunisia, Mesir, Yemen dan Libya di mana revolusi Arab Spring telah berjaya menjatuhkan para penguasa di negara tersebut, tetapi sistem pemerintahannya tetap kekal, lalu penderitaan rakyat juga kekal. Begitu juga di Sudan, Turki, Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan lain-lain di mana penguasa umat Islam telah bersilih ganti di negara-negara tersebut, namun sistem pemerintahan yang diwarisi daripada penjajah tetap tidak berubah, lalu hasilnya nasib umat Islam di negara-negara tersebut juga tidak pernah mengalami perubahan yang signifikan.
Umat Islam perlu sedar bahawa mereka tidak boleh dipatuk daripada lubang yang sama dua kali. Malangnya di Malaysia, umat Islam telah dipatuk daripada lubang yang sama berkali-kali. Sudah terbukti bahawa penguasa di dalam sistem demokrasi bukan sahaja tidak pernah menerapkan Islam – yang menjadi punca kepada akar permasalahan umat Islam selama ini – malah mereka tidak mahu menerapkan Islam. Sudah terbukti juga bahawa sistem demokrasi warisan penjajah ini bukan sahaja bertentangan dengan Islam, malah ia sememangnya didesign untuk memisahkan agama (Islam) daripada kehidupan, dengan kata lain ia sememangnya didesign untuk menghalang penerapan Islam itu sendiri. Inilah dua malapetaka yang sedang menimpa umat Islam iaitu penguasa yang buruk dan sistem yang buruk di mana keburukan kedua-duanya sudah pun terbukti.
Sesungguhnya sistem yang buruk akan melahirkan penguasa yang buruk, dan penguasa yang buruk akan mempertahankan sistem yang buruk. Sistem komunis tentunya melahirkan penguasa komunis, dan penguasa komunis tentunya akan mempertahankan sistem komunis. Begitu juga sistem kapitalis tentunya melahirkan penguasa kapitalis, dan penguasa kapitalis tentunya akan mempertahankan sistem kapitalis. Jadi, begitulah dengan sistem demokrasi yang penuh keburukan, akan melahirkan penguasa yang juga buruk. Penguasa dan sistem umpama syiling dua muka yang tidak terpisah dan saling melengkapi antara satu sama lain.”
Oleh yang demikian, satu-satunya jalan keluar untuk umat Islam daripada keburukan ini ialah dengan menggantikan penguasa dan sistemnya sekali gus. Sesungguhnya penguasa dalam Islam tidak lain tidak bukan ialah Khalifah, dan sistemnya atau negaranya tidak lain tidak bukan ialah Khilafah. Inilah yang sedang diusahakan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia dan inilah yang diserukan oleh Hizbut Tahrir kepada seluruh umat Islam untuk kita sama-sama berganding bahu menegakkannya.
Abdul Hakim Othman
Jurucakap Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia
Sumber: mykhilafah