Bahaya Iman Setengah-Setengah
Allah Azza wa Jalla berfirman,
فَإِن زَلَلْتُمْ مِّن بَعْدِ مَا جَاءتْكُمُ الْبَيِّنَاتُ فَاعْلَمُواْ أَنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Akan tetapi, jika kamu menyimpang (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (TMQ. al-Baqarah [2]: 209).
Setelah mewajibkan manusia untuk masuk Islam secara kâffah (keseluruhan) dalam ayat sebelumnya, Allah Azza wa Jalla kemudian menjelaskan bahawa jika mereka tidak masuk ke dalam Islam secara keseluruhan, dengan mempertahankan apa pun daripada syariat terdahulu yang tidak disetujui oleh Islam, maka dalam hal itu mereka terjerumus ke dalam murka Allah Azza wa Jalla dan hukuman-Nya, —khususnya setelah bukti-bukti yang jelas yang menunjukkan bahawa Islam adalah kebenaran dan bahawa agama-agama sebelumnya telah rosak dan diubah—dijelaskan kepada mereka.
Allah Azza wa Jalla berfirman,
[وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلاَمِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ]
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (TMQ. Ali ‘Imran [3]: 85).
Tidak ada syariat lain yang diterima selepas Islam.
[فَإِن زَلَلْتُمْ] Fa in zalaltum “Akan tetapi, jika kamu menyimpang” iaitu jika kalian menghindar daripada masuk Islam secara keseluruhan. Kata dasarnya (الزلل – az-zalal) bermakna ‘jatuh’ (السقوط – as-suqûth) dan tujuannya adalah menyebutkannya sebagai metafora (majâz).
[فَاعْلَمُواْ أَنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ] Fa‘lamû annallâha ‘azîzun hakîm “ketahuilah bahawa Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”
Iaitu Allah berkuasa atas urusan-Nya dan tidak ada yang membuat-Nya tidak mampu menimpakan balasan kepada kalian dan Dia Maha Bijaksana, Dia tidak menghukum tanpa alasan yang benar (hak). Ini adalah makna tekstual (manthûq) bagi keseluruhan ayat.
Adapun makna tersirat (mafhûm) dari keseluruhan ayat, ia bermaksud bahawa jika kalian enggan masuk ke dalam Islam secara keseluruhan, maka Allah Azza wa Jalla akan menghukum kalian dengan keras, sebagaimana yang layak kalian terima.
Sumber: “At-Taisir fi Ushul at-Tafsir” – Syeikh ‘Atha’ bin Khalil
#tafsir #syariatAllah