[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 25/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan daripada Bahagian 24/46)
Jual Beli Mata Wang Asing (Foreign Exchange)
Terdapat satu perkara lain yang berkaitan dengan perdagangan luar negara, iaitu perdagangan mata wang atau pertukaran mata wang. Pada zaman moden ia disebut sebagai mata wang asing (foreign exchange) atau sistem pertukaran asing.
Perdagangan luar negara bermaksud aktiviti menjual atau membeli komoditi dari negara lain. Ketika seluruh dunia masih beroperasi dengan sistem piawaian emas (gold standard), tidak timbul masalah mata wang antara negara. Hal ini kerana dalam sistem emas, mata wang memiliki sifat khusus, iaitu unit mata wang ditetapkan berdasarkan emas pada kadar tertentu, iaitu nilai mata wang tersebut secara sah terdiri daripada berat emas yang tertentu.
Pada masa itu, mengimport dan mengeksport emas adalah dibenarkan. Maka orang ramai boleh menyimpan mata wang emas, jongkong emas, atau emas mentah (tibr) serta bebas mengeksportnya.
Akibatnya, hubungan kewangan antara negara menjadi sangat mudah. Dunia terus menggunakan sistem piawaian emas sehinggalah tercetusnya Perang Dunia Pertama. Ketika perang bermula, sistem kewangan yang menguasai dunia masih lagi sistem emas. Mata wang yang beredar pada masa itu terdiri daripada syiling emas dan wang kertas yang boleh ditukarkan kepada nilai emasnya.
Dalam tempoh yang sama, sistem perak turut dilaksanakan. Pelaksanaan sistem emas dan perak ini memberikan kesan yang sangat positif terhadap hubungan ekonomi antarabangsa. Namun, apabila Perang Dunia Pertama tercetus pada tahun 1914, negara-negara yang terlibat dalam peperangan telah mengambil langkah-langkah yang menggoncang sistem mata wang berasaskan emas.
Sebahagian negara menggantung kebolehan menukar mata wang mereka kepada emas, sebahagian yang lain mengenakan sekatan ketat terhadap eksport emas, manakala ada pula yang menyukarkan proses pengimportannya. Akibat daripada tindakan-tindakan itu, sistem kewangan menjadi kacau-bilau lalu dan kadar pertukaran mata wang mula berubah-ubah. Sejak tempoh tersebut hingga ke hari ini, sistem kewangan dunia terus dipengaruhi oleh pelbagai pelbagai faktor sehingga sistem mata wang emas tidak lagi berfungsi sebagai sistem kewangan antarabangsa, sebaliknya hanya diamalkan oleh beberapa buah negara sahaja.
Dari sinilah bermulanya pelbagai halangan dan kesukaran dalam pergerakan mata wang, komoditi, dan manusia. Kesannya, hubungan kewangan antara negara menjadi semakin rumit. Pada masa kini, kebanyakan mata wang di dunia berbentuk mata wang kertas (paper money).
Antara jenis mata wang kertas ialah wang kertas gantian (substitusi), iaitu helaian-helaian yang mewakili nilai emas atau perak dalam bentuk syiling atau jongkong yang disimpan di lokasi tertentu. Wang ini mempunyai nilai intrinsik yang sama dengan nilai nominal (face value) yang tertera padanya dan boleh ditebus dengan emas atau perak mengikut permintaan.
Wang kertas substitusi ini hakikatnya setara dengan wang logam sepenuhnya dan tidak menimbulkan sebarang kesukaran dalam hubungan kewangan antara negara. Namun, jenis wang ini adalah jarang digunakan.
Jenis kedua ialah wang kertas bersandaran tuntutan (representative money), iaitu helaian-helaian yang ditandatangani oleh pihak tertentu dengan janji untuk membayar sejumlah wang logam tertentu kepada pemegangnya.
Nilai pertukaran wang ini dalam urus niaga bergantung kepada tahap kepercayaan yang diberikan kepada pihak yang menandatanganinya, serta kepada keupayaannya untuk menunaikan janji tersebut. Namun demikian, wang kertas jenis ini tidak disokong sepenuhnya oleh simpanan emas yang menyamai nilai nominalnya, sebagaimana halnya dengan wang kertas substitusi. Sebaliknya, pihak pengeluar lazimnya hanya menyimpan suatu rizab logam dalam perbendaharaannya sebagai jaminan kepada wang kertas tersebut pada kadar tertentu, sama ada tiga perempat, dua pertiga, satu pertiga, atau sekadar suatu peratusan tertentu seperti sepuluh peratus, sama ada lebih tinggi atau lebih rendah.
Oleh itu, bahagian wang kertas yang disokong sepenuhnya oleh rizab logam yang setara dengan nilainya dianggap sebagai wang kertas substitusi, manakala baki bahagian yang tidak disokong oleh rizab logam tersebut dianggap sebagai wang kertas yang bersandaran tuntutan (representative money). Keupayaan pertukarannya bergantung kepada tahap kepercayaan orang ramai terhadap pihak yang menandatanganinya. Justeru, nilainya boleh meningkat atau merosot bergantung pada keyakinan awam terhadap institusi yang mengeluarkannya serta keupayaannya sebagai mata wang.
Wang kertas jenis inilah yang digunakan oleh kebanyakan negara di dunia hari ini, dan sistem inilah yang menjadi sistem kewangan global yang dominan. Dari sinilah timbulnya kerumitan dalam hubungan kewangan antara negara.
Hubungan kewangan antara negara berlaku melalui pertukaran komoditi, iaitu eksport dan import yang bersifat nyata. Ia juga berlaku melalui pertukaran perkhidmatan, atau apa yang dikenali sebagai eksport dan import tidak nyata. Ini merangkumi perkhidmatan pengangkutan, bayaran pos, telegraf, talian telefon antarabangsa, perkhidmatan perdagangan, bayaran komisen atau yuran broker kepada ejen dan broker, serta semua perkhidmatan yang berkaitan dengan aktiviti pelancongan.
Apabila pembeli membeli komoditi dari negara lain, bayaran perlu dibuat menggunakan mata wang negara pengeksport atau mata wang lain yang diterima oleh negara tersebut. Sebaliknya, apabila seseorang menjual komoditinya, dia mesti menerima bayaran hasil jualannya dalam mata wang negaranya atau mata wang yang dikehendakinya.
Begitu juga halnya dengan pelancong yang melancong ke luar negara dan membelanjakan sebahagian pendapatannya; dia perlu menggunakan mata wang negara yang menjadi destinasi pelancongannya Melalui proses inilah terbentuknya hubungan kewangan antara negara-negara.
Bagi membayar nilai barangan import, kita perlu menawarkan mata wang tempatan kita untuk memperoleh mata wang asing, atau kita menawarkan komoditi kita di negara lain bagi mendapatkan mata wang mereka. Oleh itu, memperoleh mata wang asing merupakan suatu keperluan bagi sesebuah negara agar untuk menjalin hubungan perdagangan dan ekonomi dengan negara-negara lain.
Sekiranya mata wang asing itu diperoleh melalui penjualan komoditi kita di negara yang mata wangnya ingin kita perolehi dalam jumlah yang mencukupi atau melebihi keperluan, maka keadaan ini tidak menimbulkan masalah. Dalam situasi ini, kita tidak akan berhadapan dengan masalah mata wang keras (hard money) dengan negara tersebut.
Namun, jika komoditi yang kita jual di negara itu tidak mencukupi untuk memperoleh jumlah mata wang asing yang kita perlukan, maka pada ketika itu kita terpaksa menawarkan mata wang kita sendiri untuk mendapatkan mata wang negara tersebut. Di sinilah timbulnya masalah pertukaran mata wang, yang juga dikenali sebagai masalah mata wang keras (hard currency) atau masalah pertukaran asing. Pertukaran antara dua mata wang yang berbeza bagi dua buah negara atau lebih inilah yang menjadi punca berlakunya masalah tersebut.
Oleh itu, isu pertukaran dan kadar tukaran antara dua mata wang yang berbeza perlu dikaji sebagai suatu realiti ekonomi, dan hukum syarak mengenainya perlu dijelaskan, termasuk kadar pertukaran itu sendiri, iaitu nisbah pertukaran antara dua mata wang yang berlainan. Realiti menunjukkan bahawa setiap negara mengamalkan sistem kewangan yang berbeza-beza. Negara yang menggunakan sistem emas atau wang kertas substitusi berada dalam keadaan yang berbeza daripada negara yang menggunakan sistem wang kertas bersandaran tuntutan.
Apabila beberapa negara mengamalkan sistem emas atau wang kertas substitusi, kadar pertukaran antara mata wang mereka seharusnya kekal hampir tetap. Kadar pertukaran tersebut ditentukan berdasarkan nisbah antara berat emas tulen dalam mata wang negara pertama dengan berat emas tulen dalam mata wang negara kedua. Sekiranya berlaku perubahan dalam kadar pertukaran, perubahan itu bergantung kepada kos penghantaran emas antara kedua-dua negara. Kos tersebut lazimnya kecil, sehingga boleh dikatakan kadar pertukaran mata wang hampir tidak berubah. Hal ini tidak berbeza sama ada wang itu berbentuk logam atau wang kertas substitusi.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #Ekonomi #SistemKewangan #Matawang #ForeignExchange #FiatMoney #Perdagangan