Posisi Umat untuk Mengusahakan Kembalinya Kekuasaan kepada Kaum Muslim
Oleh: Aliya Ab Aziz
Dr Aslam Diyana Selamat, Aktivis Muslimah Malaysia ketika merefleksi surah An-Nur, menyeru umat agar mengingat posisinya untuk mengusahakan kembalinya kekuasaan kepada kaum Muslim kerana ia merupakan janji (khabar gembira) kepada umat daripada Allah SWT.
“Dalam surah An-Nur sendiri telah dinyatakan tentang bahawa Allah akan kembalikan kekuasaan kepada kaum Muslimin, di mana memang akan tertegaknya kekuasaan yang merupakan sebenarnya janji (khabar) gembira kepada kita semua tentang merealisasikan satu masa yang memang Allah dah janji kepada kita perkara ni akan berlaku. Tapi di manakah kita punya position untuk mengusahakan ke arah ini? Dan di sinilah keberadaan kita untuk kita sama-sama mengusahakan insyaAllah,” ujarnya dalam acara Roundtable Discussion: Wahyu Sebagai Lentera Pembinaan Masyarakat, pada 24/1/2026 (Sabtu) di Putrajaya.
Beliau menjelaskan frasa anzalnāhā dalam Surah an-Nur ayat pertama membawa penegasan langsung daripada Allah bahawa surah ini diturunkan secara khusus dan mempunyai kedudukan yang istimewa, sekali gus menuntut perhatian penuh umat Islam terhadap keseluruhan kandungannya.
Sambungnya lagi, “Seterusnya, Allah menggunakan perkataan wajib (faradhnāhā) dalam kata permulaan, nak menegaskan ia adalah satu benda yang tegas dan tak boleh dirunding lagi.”
Tambahnya, kewajipan itu melibatkan aspek kehidupan peribadi dan sosial termasuklah aspek penutupan aurat, hubungan lelaki dan wanita, serta pengurusan konflik rumah tangga.
“Dalam surah an-Nur ini juga ada disentuh tentang kehidupan umum dan kehidupan khusus bagi seorang lelaki dan wanita, bagaimana kedudukan rumah itu apabila dihuni oleh seorang wanita dan bila didatangi oleh lelaki, apakah hukum-hukum yang kita kena kenali dan kita kena patuhi,” ujarnya memperincikan.
Beliau turut menyentuh isu penzinaan dan normalisasi maksiat dalam masyarakat yang menurutnya memberi kesan besar terhadap institusi keluarga dan sosial.
“Bila berlakunya zina yang berleluasa ni bukan sahaja membahayakan institusi nasab dan keturunan, tetapi apa impak dia dalam masyarakat,” katanya, sambil mengaitkannya dengan risiko penyakit seperti HIV dan AIDS.
Bagaimanapun, beliau mengakui pelaksanaan hukum tersebut berdepan kekangan dalam realiti semasa.
“Dalam konteks kehidupan kita sekarang, ianya tidak dapat dilaksanakan sebab tidak ada satu institusi yang dapat memperlakukannya,” ungkapnya.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan peranan negara dalam merealisasikan perundangan berasaskan wahyu.
“Tanpa institusi negara, seluruh konteks hukum yang ada di dalam al-Quran ini tidak dapat direalisasikan,” tegasnya.
Beliau turut menekankan peranan setiap individu dalam keluarga dan masyarakat untuk melakukan perubahan yang tuntas demi mengembalikan `cahaya’ dalam kehidupan hari ini.
Katanya, “Cahaya petunjuk ini bukanlah diperolehi secara tiba-tiba ataupun kebetulan, tapi mestilah dipelajari secara serius dan juga dengan kesungguhan, supaya menjadikan kita yang, insyaAllah, yang berada di sini, dan juga orang yang ada di luar sana tu semakin hampir kepada Allah, dan juga berusaha untuk melakukan ketaatan sesuai dengan tuntutan yang telah ditunjukkan di dalam surah ini.”
Mengakhiri ucapan, beliau menggesa masyarakat agar menjadikan Surah an-Nur sebagai panduan perubahan bukan sekadar sebagai bacaan atau tadabbur secara ritual.
“Kita kena lihat, ini bukanlah semata-mata untuk baca surah ini sebagai bacaan ritual ataupun tadabbur, tapi ia menuntut kesedaran kita yang memang benar-benar mencintai Allah dan Rasul-Nya, untuk memulakan kembali keberlangsungan kehidupan Islam. InsyaAllah, Islam akan kembali. Allahuakbar!” tutupnya penuh semangat.
#SurahAnNur #WahyuLenteraPeradaban #CahayaPetunjukMasyarakatBertakwa #MembumikanAlQuran