BEGINILAH CARANYA…
KHILAFAH AKAN MELAKSANAKAN SISTEM POLITIK DAN EKONOMI YANG PRIHATIN
Islam menjadikan penyediaan keperluan umat sebagai satu kewajipan negara kerana umat mempunyai hak untuk dijaga. Negara bertanggungjawab menyediakan kekayaan dan perkhidmatan kepada rakyat, di samping mengagihkan kekayaan tersebut kepada anggota masyarakat supaya setiap orang dapat memiliki dan menggunakannya.
Rasulullah SAW bersabda:
فَالإِمَامُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Imam adalah penjaga ke atas manusia dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya.”
Berbeza dengan apa yang kita lihat hari ini, penyediaan keperluan rakyat, sama ada bagi kaum Muslim dan bukan Muslim, yang merupakan kewajipan negara sering dilalaikan!
Misalnya, Rasulullah SAW memberikan perhatian khusus kepada keperluan para balu. Tanggungjawab ini diteruskan oleh para Khalifah dengan perhatian dan keprihatinan yang sama. Abu Bakar (ra) membeli pakaian dan mengagihkannya kepada balu-balu yang miskin pada musim sejuk. Umar (ra) memberi bantuan kewangan secara berkala kepada para wanita yang berhijrah dari Mekah ke Madinah. Ali (ra) meneruskan pelaksanaan tanggungjawab ini kepada semua golongan miskin, balu, dan individu lain yang memerlukan — inilah tunjangan kebajikan untuk rakyat.
Ekonomi Islam hanya dapat berfungsi melalui pelaksanaan menyeluruh setiap hukum dan sistem Islam. Oleh itu, keperluan paling asas dahulu dan akan datang yang kita perlukan adalah, keberadaan Khilafah serta pemimpinnya yang bertakwa, yakni Khalifah. Sejarah umat Islam dipenuhi dengan tokoh-tokoh yang memerintah rakyat mereka berlandaskan takwa, namun Khalifah Umar bin al-Khattab (ra) telah meninggalkan contoh teladan yang paling banyak dan paling gemilang tentang sifat-sifat yang sepatutnya dimiliki oleh seorang pemerintah. Islam menyediakan matlamat yang jelas serta undang-undang khusus bagi pelaksanaan sistem politik dan ekonomi yang prihatin.
Khilafah Uthmaniyyah memeriksa dan memantau setiap bahan makanan sebelum memberikan kebenaran untuk dijual di pasaran. Bagi mengawal harga semasa kekurangan bekalan di kawasan tertentu, Khalifah akan menggalakkan persaingan melalui import dari berbagai bahagian lain dalam wilayah Khilafah.
Misalnya peristiwa yang berlaku semasa pemerintahan Khalifah Abdul Hamid I (1774–1789). Ketika berlaku kekurangan bekalan daging di Istanbul, para tukang daging mula menaikkan harga. Mereka bahkan enggan menjual daging. Khalifah pun mengarahkan tukang daging dari Thrace datang dan membuka kedai daging di Istanbul. Melalui peningkatan persaingan ini, harga daging kembali turun ke tahap yang mampu dibeli oleh rakyat. Khilafah juga melaksanakan denda terhadap mekanisme penjualan yang tidak bermoral. Mereka yang menimbang kurang akan didenda: 1 syiling perak (Akçe) bagi setiap 5 gram daging yang dijual secara tidak betul. Peruntukan undang-undang terhadap tukang daging juga menetapkan penangkapan terhadap mereka yang enggan menjual daging.
#Khilafah #KhilafahSistemIslam #PolitikEkonomiIslam