Wanita Solehah: Bersedia untuk Bahagia dan Bersabar
Oleh: Nabila Zidane (Jurnalis)
Wanita solehah bukan hanya wanita yang pandai tersenyum kepada suaminya ketika hidup berjalan seperti yang dirancang. Dia adalah wanita yang tetap tenang ketika hidup tidak baik, ketika doa belum terkabul, dan ketika ujian datang bertubi-tubi.
Kerana kebahagiaan boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja. Namun, kesabaran hanya dimiliki oleh jiwa yang matang. Wanita yang hanya bersedia untuk bahagia akan hancur apabila diuji. Tapi wanita yang bersedia untuk sabar akan tetap utuh walaupun hatinya terluka.
Syeikh Ibnu ‘Atha’illah As-Sakandari berkata dalam Al-Hikam, “Jika Allah ingin memuliakan seorang hamba, Dia mengujinya terlebih dahulu.”
Ujian bukanlah tanda dibenci. Ujian adalah tanda bahawa seseorang sedang bersedia untuk kemuliaan.
Bahagia itu satu nikmat, sabar adalah kematangan. Allah memberikan nikmat sebagai satu bentuk kasih sayang dan Allah memberikan kesabaran sebagai satu bentuk kemuliaan.
Imam Al-Ghazali berkata, “Sabar adalah separuh daripada iman.” Ertinya, iman tanpa sabar akan sentiasa goyah. Wanita solehah memahami bahawa hidup tidak selalunya berjalan lancar. Namun, dia tidak menggugat takdir. Dia menjalaninya dengan lapang dan tawakal.
Dia tidak mudah marah dengan keadaan. Dia tidak menyalahkan Allah apabila hidup terasa berat. Dia tahu, setiap kesulitan membawa makna yang belum tentu langsung terlihat.
Kesabaran Wanita: Sandaran Keluarga
Dalam sesebuah rumah tangga, wanita solehah sering menjadi pelindung. Bukan kerana dia lemah, tetapi kerana dia kuat dalam menahan diri.
Dia tidak meluahkan rungutannya. Dia tidak memburukkan lagi keadaan apabila timbul masalah. Dia memilih untuk menjaga adab kepada Allah dan pasangannya.
Rasulullah SAW bersabda: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.”
Wanita solehah bukanlah wanita yang sempurna, tetapi dia sentiasa kembali kepada Allah ketika letih, dan tetap menjaga akhlak ketika hatinya diuji. Sabar bukan bermaksud menyerah tanpa usaha. Sabar adalah terus ikhtiar mencari penyelesaian dan percaya bahawa Allah sedang bekerja.
Syeikh Ibnu ‘Atha’illah berkata, “Jangan biarkan tertundanya pertolongan membuatmu putus asa, kerana Allah mengetahui waktu yang paling tepat untuk memberikannya kepadamu.”
Wanita solehah tidak berputus asa hanya kerana masanya panjang. Dia tidak berhenti berdoa hanya kerana jalannya sukar. Dia tahu bahawa Allah tidak pernah lalai.
Jadi, seorang wanita solehah bukan sahaja bersedia untuk bahagia, dia juga besedia untuk bersabar. Kerana dia faham bahawa cinta sejati bukan hanya tumbuh pada saat bahagia, tetapi menguat pada saat ujian.
Oleh itu, pilihlah wanita yang solehah. Selain dia menjadi seindah perhiasan dunia, dia juga akan membuatmu menjadi lelaki yang beruntung dunia akhirat.
Rasulullah SAW bersabda, “Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang beragama, nescaya engkau beruntung.” (HR. Bukhari Muslim)
Wanita solehah bukan sahaja memanjakanmu ketika senang, tetapi juga menguatkanmu di kala susah, dan tetap setia ketika takdir sedang menguji. Barakallahufikum.
#muslimah #muslimahsolehah #sabar #bahagia #menjadiwanitabahagia