Sudut Pandang Seorang Muslim Terhadap Kehidupan
Islam adalah jalan hidup yang unik, berbeza dengan yang lain. Islam mewajibkan pemeluknya untuk hidup dalam satu pola kehidupan tertentu secara konsisten, tidak berganti dan berubah, sama ada disebabkan oleh situasi mahupun keadaan. Islam mengharuskan mereka untuk sentiasa terikat dengan pola hidup tersebut yang membentuk keperibadian mereka, sehingga pemikiran dan jiwa mereka tidak merasakan ketenangan dan kebahagiaan, kecuali berada dalam pola kehidupan tersebut.
Islam membawa rangkaian pemahaman tentang kehidupan yang membentuk pandangan hidup tertentu. Islam hadir dalam bentuk garis-garis besar (khuthuth ‘aridhah), iaitu makna-makna yang bersifat umum, yang mampu mencakupi seluruh permasalahan kehidupan manusia. Daripada garis besar itu, solusi bagi setiap masalah yang muncul pada manusia dapat diambil. Semua itu diletakkan di atas landasan pemikiran yang melahirkan seluruh pemikiran tentang kehidupan, dan menjadi kayu ukur untuk membangunkan semua pemikiran cabang. Islam juga menjadikan hukum-hukum —sama ada berupa solusi, pemikiran, mahupun pandangan— bersumberkan akidah, dan diambil daripada garis-garis besar tersebut.
Islam telah memberikan batasan kepada manusia dengan pelbagai pemikiran tertentu, tetapi tidak membatasi aktiviti berfikir manusia, malah memberikan kebebasan kepada akal manusia. Islam turut mengikat perilaku manusia dengan pelbagai pemikiran dan hukum tertentu, tetapi tidak mengekangnya. Sebaliknya, Islam memberikan keluasan kepadanya.
Oleh itu, pandangan seorang Muslim terhadap kehidupan dunia ini adalah pandangan yang penuh dengan optimisme, namun tetap serius dan realistik. Dia juga menempatkan dunia secara seimbang. Maknanya, dunia perlu diraih, tetapi bukan menjadi tujuan, dan tidak boleh dijadikan tujuan. Seorang Muslim akan bekerja di pelbagai penjuru dunia, memakan rezeki (yang halal) dan menikmati pelbagai keindahan yang telah dianugerahkan Allah bagi hamba-hambaNya serta pelbagai rezeki yang baik. Namun, dia sedar bahawa dunia hanyalah tempat persinggahan sementara, manakala akhirat adalah tempat kehidupan yang abadi dan kekal.
Sumber: “Al-Fikr al-Islami” – Muhammad Muhammad Ismail
#PemikiranIslam #PerspektifHidup